Kali Kedua Ke Mersing, Kami Jumpa Satu 'Hidden Gem' Terbaru Yang Buat Kami Menangis
Mersing oh Mersing, kenapa engkau lawa sangat?
Mersing oh Mersing. Ada sesuatu yang tersangat istimewa dengan tempat ini yang membuatkan saya tak kisah untuk datang seberapa banyak kali pun. Lepas dah pergi kali pertama pada bulan Mei seminggu sebelum puasa, kini saya kembali menjejakkan kaki ke kepulauan Mersing yang kecantikannya saya kira tak mampu didefinisikan melalui kata-kata.
Bagi siapa-siapa yang follow TSG #KasiJadi secara dekat, pasti anda perasan artikel pertama kami ke kepulauan Mersing yang kami terbitkan pada 25 Julai lalu. Buat yang tak perasan, boleh klik sini untuk baca pengalaman kami di sana. Artikel panjang sikit tapi serius berbaloi untuk korang baca. Hehe.
Pertama kali kami pergi haritu kami kena mandi telaga ala-ala zaman Jepun. Tapi kali ni dah tak boleh mandi telaga. Habis kering kontang jadinya sebab seluruh isi air telah disedut oleh mesin penyedut untuk memberi bekalan air yang mencukupi kepada penduduk di Pulau Besar. Tapi apa yang bagusnya, Pulau besar sekarang dah tak ada masalah air. Sebab masa kami pergi bulan Mei haritu memang susah betul nak dapatkan air. Nasib baiklah ada telaga. Kalau tak mesti masing-masing dah jadi ikan masin.
Haaa tiba-tiba sembang pasal telaga pulak dah. Untuk artikel kali ni, saya bukan nak bercerita pasal telaga sebenarnya, jauh sekali tentang bekalan air di Pulau Besar. Alhamdulillah masalah itu semua dah selesai. Now let's talk about something else yang lebih menarik dan lebih jitu.
1. First time buka trip untuk orang luar. Sebelum ni berjalan dengan kawan-kawan je.
Agak nervous sebenarnya bila fikirkan saya yang tak ada pengalaman dan masih nubis kubis dalam bidang travel ni tiba-tiba buka trip untuk orang luar. Group TSG #KasiJadi ni pun baru je setahun jagung, masih baru, masih lagi adik-adik kalau nak dibandingkan dengan 'The Big Boys' yang lain seperti Pakatan Bejalan, Rentas Adventures, dan banyak lagi outdoor groups yang lebih otai.
Namun berbekalkan semangat dan kecekalan dalam mempromosi Mersing kepada dunia, saya berani sahut cabaran. Disebabkan saya pun pernah pergi ke Mersing pada bulan Mei, jadi rasa confident sikitlah nak open trip. Kalau tempat tu saya tak pernah pergi, itu saya tak berani buat.
So sekarang ni misi pertama ialah design poster cantik-cantik untuk dimuat naik ke laman Instagram TSG #KasiJadi. Mengambil masa beberapa jam, akhirnya siap juga poster. Harap-harap ada lah yang berminat nak join.
Cuma satu masalah, ramai orang tanya saya, "Kenapa buat hari Jumaat-Sabtu bukan Sabtu-Ahad?". Maklumlah, kalau buat Sabtu-Ahad mudah sikit untuk orang join sebab tak payah ambil cuti. Bila nampak je ada hari Jumaat, masing-masing macam main tarik tali pada mulanya nak join ke tak nak, nak join ke tak nak. Tak pasal-pasal kena ambil cuti sehari.
Nak buat macam mana, dah itu je tarikh yang saya free. Hari Ahad 4 September tu ada wedding. Haha.
2. Berjaya mendapatkan 14 orang, termasuk dua foreigners!
Dah lah first time buat trip untuk orang luar, ada pulak dua orang foreigners nak join. Dua-dua perempuan dan dua-dua datang all the way from Australia; sorang warganegara Nepal, sorang lagi dari China. Menarik juga ni. Tak sangka akan ada foreigners yang berminat nak join.
Yang mana ada pm kami kat insta ataupun Whatsapp Leha secara personal tu, terima kasih banyak-banyak kami ucapkan. Memang ramai yang nak join tapi malangnya maksimum kapasiti yang kami boleh bawa hanyalah sebanyak 14 orang. Ada yang tak sempat buat keputusan lagi tiba-tiba trip dah penuh. Kami memohon maaf. Kami pun tak expect akan dapat sambutan yang amat memberangsangkan macam ni. Belum ada rezeki untuk kita berjumpa. Maybe next time insyaAllah.
Let's hit the road! Berbekalkan tiga kereta berkuasa kuda, 14 orang mula bergerak ke Mersing pada jam 12.30 malam (atau pagi). Destinasi yang dituju adalah Jeti Mersing. Kami selamat sampai ke Masjid Jamek Mersing pada pukul 6 pagi, solat Subuh kejap, tidur sejam sampai pukul 7.30, lepastu pukul 8 bergerak ke jeti yang memakan masa tak sampai 5 minit dari masjid.
3. Sand bank yang hilang
Destinasi kami yang pertama adalah ke Pulau Mentinggi (atau ada orang panggil Pulau Maldives). Boat ride mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk ke sini. Tapi 45 minit tak terasa langsung. Rasa macam 10 minit je. Mungkin sebab semua orang tengah excited gila masa ni dan masih bertenaga, walaupun tidur sejam je.
Tapi kali ni, sebaik sampai ke Pulau Mentinggi, saya nampak ada sesuatu yang seakan-akan tak kena dengan mata saya. Macam ada benda yang lain daripada sebelum ni. Selepas melihat dengan teliti, baru saya perasan sand bank di Pulau Mentinggi dah hilang!
Jangan salah faham. Bukanlah terus hilang dan pupus dari muka bumi. Cuma kali kedua saya pergi ni, masa tu tengah air pasang. Jadi, sand bank yang cantik ala-ala Pulau Maldives ni pun tenggelam dek air laut lalu bertukar kebiruan. Kecewa sikit pada awalnya. Sebab memang gambar sand bank inilah yang saya selalu hantar dalam Whatsapp group kami sebelum datang ke sini, dengan harapan agar peserta-peserta kali ni dapatlah merasa pengalaman mengambil gambar di situ.
Walaupun begitu, kekecewaan pada awal tadi bertukar menjadi gembira! Sebab bila kami cuba ambil gambar di sand bank yang tenggelam ni, gambar jadi lagi cantik rupanya. Air laut cetek yang betul-betul menutupi sand bank ini memberi effect seakan-akan kami sedang terapung di atas air! Lebih-lebih lagi kalau rakam video sambil berlari. Dah macam terbang!
4. Menyusuri The Magnificent Gerbang dan air surut di Gua Rahsia
Perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya yang saya panggil The Magnificent Gerbang. Sengaja saya bagi nama macam ni sebab pertama kali saya datang masa bulan Mei, saya betul-betul terkesima dan teruja melihat struktur batu gerbang yang berdiri megah sambil menunggu kedatangan manusia untuk menyusuri di celahnya.
Air laut berwarna biru pekat diadun dengan batu coklat gergasi, disinari dengan pancaran sinaran matahari yang sangat terik, menjadikan pemandangan di sini amat mengagumkan! Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kepuasan kami berenang menyusuri celahan gerbang ini. Mula-mula rasa agak cuak. Sebab sebelum masuk gerbang ni air laut sangat dalam dan tak nampak dasar. Bagi siapa-siapa yang baru berjinak-jinak dalam dunia snorkeling, mesti rasa takut nak terjun dari bot.
Tapi nak tak nak kena jugak. Boatman akan berhenti kat satu tempat untuk menurunkan kami, dan kami perlu berenang sendiri dan melalui gerbang, kemudian naik semula bot di tempat lain. Fuuhh memang adventure!
Cuma kalau nak pergi sini kena berhati-hati. Teritip yang melekat pada batu-batu di sini sangatlah tajam dan arus ombak juga mampu buat anda sedikit hanyut. Bila dah hanyut, mestilah nak berpaut pada batu, tapi batu semua tajam-tajam. End up ramai juga di antara kami yang mengalami sedikit luka di bahagian tangan dan kaki. Ouch! Lain kali datang kena pakai glove dan stokin lah nampaknya.
Next is Gua Rahsia.
Tapi sebelum pergi ke Gua Rahsia, ada sedikit pesanan penaja dari boatman yang kami terpaksa akur dan patuh.
"Nak pergi gua tu boleh tapi bot kena berhenti jauh sikit sebab air kat situ dah surut. So bot memang tak boleh masuk," kata boatman. Oh begitu ya. Di Pulau Mentinggi tadi air pasang, di Gua Rahsia ni air surut pula. Ok tak apa, tak menjadi masalah pun kalau bot berhenti jauh sikit dari tempat yang sepatutnya.
Cuma bila air surut, Gua Rahsia tampak seakan-akan kehilangan sedikit taring bila dibandingkan pada bulan Mei lepas. Kalau sebelum ni rasa excited, kali ni rasa macam sedikit hambar. Kami turun dari bot semata-mata nak ambil gambar berlatarbelakangkan gua ini sahaja. Nak berenang-renang pun kurang best sebab air surut.
Tapi, bagi sesiapa yang kaki tiruk dan suka lompat-lompat dari atas tebing masuk ke dalam air atau Mat Salleh panggil cliff jumping, di sini ada satu spot terbaik untuk aktiviti itu. Suka hatilah nak buat backflip ke, frontflip ke, tiruk ke, lompat malu-malu kucing ke, semua pun boleh. Sebab on the way berenang nak ke gua dari bot ada satu tebing yang boleh saya kira agak tinggi juga dalam 2.5 meter untuk aktiviti terjun-terjun.
5. Kami jumpa hidden gem terbaru yang sangat awesome!
Di awal ekspedisi sebelum sampai ke Gua Rahsia, boatman ada cakap kat saya yang berbunyi:
"Aku ada jumpa tempat baru nak bawak korang pergi sana. Haritu kau tak pergi sebab kitorang belum jumpa lagi. Tempat ni kitorang baru jumpa dua bulan lepas masa bulan Julai. Jom aku bawak korang."
Alright! A new hidden gem! Lepas dah cakap tu dia pergi belanja pulak satu gambar kat tempat terbaru. Fulamak aihh, lawa gila! Tak sabar betul rasanya nak pergi situ. Gambar itu memaparkan sekumpulan lelaki yang sedang berselfie di atas bukit berlatarbelakangkan sebuah terusan sempit di celahan batu dipenuhi air laut menghijau yang begitu jernih. Terbeliak mata saya tengok!
Selepas kira-kira 10 minit perjalanan, kami akhirnya tiba di Terusan Tersembunyi, satu lagi tempat rahsia yang saya suka hati je bagi nama.
Bot pun berhenti dan kami terjun beramai-ramai untuk berenang ke hadapan. Boatman cakap, jangan sekadar berenang kat bawah ni je sebab ada laluan batu kat depan sana yang kitorang boleh panjat dan ambil gambar dari atas. Memang itulah misi saya yang utama bila datang ke sini. Mana boleh boatman sekadar belanja gambar tanpa saya sendiri pergi ambil gambar di exact spot tersebut.
Dengan gigihnya kami melangkah. Cuma masa ni ada satu masalah yang tak dapat nak diselesaikan malah terpaksa kami redahkan saja iaitu batu-batu di sini sangatlah panas. Kaki boleh melecur weh kalau berdiri lama-lama di satu tempat. Maka terkinja-kinja lah kami melangkah sambil memanjat batu-batu tadi dengan berkaki ayam tidak berselipar atau berkasut. Dah lah panas dia punya tajam pun boleh tahan jugak. Aduh seksa. Tapi itu tidak sedikit pun mematahkan semangat kami untuk teruskan perjalanan.
Dari atas, boleh nampak dah betapa memukaunya pemandangan Terusan Tersembunyi ni. Bukan setakat pemandangan terusan, 360 view kat atas memang cantik tahap subhanAllah sumpah tak tipu. Pusing belakang, boleh nampak gugusan Pulau Tinggi tersegam megah dan hamparan luas Laut China Selatan yang membiru. Spot macam ni memang sesuai sangat kalau nak buat cover album atau untuk ambil gambar kahwin.
Pusing balik ke depan, voilaa! Detik yang ditunggu-tunggu oleh kami semua, bergambar di atas tebing tinggi berlatarbelakangkan Terusan Tersembunyi! Nah kau, cantik gila Ya Allah. Siapa sangka boleh ada tempat yang awesome macam ni kat Mersing. Kalau dapat kat Singapore ni confirm diorang akan cakap tempat ni terbaik di dunia. Singapore kan pandai bab-bab marketing ni.
Keterujaan memuncak! Mana boleh kalau sekadar tengok sahaja. Mesti kena bergambar. Barulah boleh post gambar kat insta sambil buat followers semua jealous dan pada masa yang sama dapatkan banyak likes. Bukankah itu satu nikmat dunia yang dikejar-kejar? Lol. Jadi, sorang-sorang lah beratur tunggu turn untuk bergambar kat atas tebing tu. Sampai kamera habis bateri.
Tak ada hal lah bateri habis pun. Janji puas hati dapat bergambar kat sini. Terusan Tersembunyi sememangnya menjadi highlight utama untuk trip kali ini. Terima kasih boatman sebab bawa kami ke sini.
Kenapa Mersing? Ada apa kat sana?
Ramai juga yang tanya saya soalan ni bila saya cakap nak pergi Mersing. Tak boleh nak salahkan diorang. Sebab saya sendiri akui kepulauan Mersing ni masih lagi virgin dan kurang popular jika dibandingkan dengan gugusan pulau di Pantai Timur Terengganu. Yang paling popular pun adalah Pulau Tioman. Tapi dah ramai sangat orang dan too touristy.
Jadi, kenapa Mersing? Sini saya bagi 4 jawapan:
1. Masih banyak lagi pulau-pulau dan tempat-tempat rahsia yang masih belum diteroka atau ditemui.
Contohnya kali ini, saya dibawa ke Terusan Tersembunyi yang dikatakan baru saja ditemui dua bulan lepas. Mungkin kalau pergi Mersing lagi lepas ni, boatman akan bawak pergi tempat lain pulak. Kan?
2. Kepulauan Mersing sangat unik, berbeza dan sangat istimewa.
Pengalaman saya kalau pergi snorkeling sebelum ini, katakanlah ada 5 snorkeling points, kebanyakannya menawarkan pemandangan yang sama iaitu hidupan bawah laut. Tapi berbeza dengan Mersing. Ada snorkeling tengok hidupan laut, ada tengok gua, ada yang berenang menyusuri gerbang, ada yang kena memanjat, dan macam-macam lagi. Variasi dalam aktiviti island hopping ini yang saya sangat suka sebenarnya.
3. Lebih private berbanding trip pulau lain.
Duduk di Pulau Besar, kami rasa dah macam jadi orang kampung di situ. Boleh berjalan bebas, tegur-tegur orang sambil lepak-lepak dengan orang di sana, pinjam basikal kejap pergi jalan-jalan, tak ada orang kacau, tak ramai orang, sunyi, tenang, nak terjun-terjun di jeti pun tak ada orang kisah. Pergi snorkeling pun memang kami sahaja yang ada. Tak ada orang lain langsung. That's the best part.
4. Mersing sangat lawa!
Rasanya, tak usahlah saya terangkan panjang-panjang point ni. Cukup sekadar anda tengok saja gambar-gambar yang ada dalam artikel ini dan juga di Instagram TSG #KasiJadi. Senang kata, bila saya tunjuk kat orang, semua macam tak percaya melihat kecantikan Mersing yang tidak popular ini.
Follow kami di Instagram @tsgkasijadi untuk lebih banyak adventure dan gambar-gambar yang WOW!
TSG #KasiJadi adalah sekumpulan sahabat yang tak henti-henti berkeliaran. Mana kami mahu pergi, kami kasi jadi!