seismik

Ingin Jadi Penternak Seperti Bapanya, Kenali Adik Syukor Yang Terkenal Lepas Gambar Viral

Selain Kampung Boy, adik Syukor Khamis turut dikenali sebagai Mowgli Malaysia.

Cover image via Facebook Syukor Khamis - Kampong Boy

Sejak semalam, tular beberapa gambar seorang remaja lelaki bermanja dengan beberapa ekor kerbau

Image via SIPA Contest

Salah satu daripada gambar tersebut, yang ditangkap oleh jurugambar profesional, Nazri Sulaiman yang diberi nama Sharing Emotions atau Berkongsi Emosi telah dinobatkan antara pemenang bagi Anugerah Istimewa dari Siena International Photo Awards bagi kategori Wajah dan Karektor Menarik.

Bukan itu sahaja, gambar yang sama turut dinobatkan antara pemenang bagi Asian Geographic: Imej Asia 2018 bagi kategori Manusia/Jalanan (Street/People).

Ekoran penularan gambar-gambar itu, ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan remaja lelaki tersebut

Dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia', Mohd Syukor Khamis merupakan seorang remaja berusia 14 tahun yang berasal dari Kuala Terengganu.

Menurut laporan Harian Metro, selain Nazri Sulaiman, sebelum ini sudah ramai jurugambar yang memenangi anugerah hasil daripada gambar-gambar yang memaparkan saat-saat remaja itu bersama haiwan ternakannya.

“Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa minat dan kelebihan saya bermanja dengan kerbau membuatkan saya terkenal sehingga ke luar negara,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu.

Mohd Syukor berkata, sejak usia empat tahun dia sudah terbiasa mengikut bapanya, Khamis Jusoh, 63, ke kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu menyebabkan hubungannya dengan haiwan itu sangat rapat dan akrab.

Mohd Syukor yang lebih mesra disapa Kur di kalangan ahli keluarganya berkata, dia tidak takut bermanja dengan peliharaan yang dianggap sebagai rakannya

Malah, ada yang menyatakan bahawa Kur mempunyai 'ilmu penunduk' menyebabkan haiwan berkenaan umpama taat dan mendengar kata, serta menurut segala arahan yang diberikan remaja itu.

"Ada orang kata saya ada ilmu penunduk sedangkan tidak. Mungkin sebab saya dah biasa dengan mereka sejak kecil jadi mereka kenal tuan dan mendengar kata," katanya.

Ibarat watak cereka Mowgli, Kur bukan sahaja rapat dengan kerbau bahkan lembu, kambing, angsa dan haiwan-haiwan lain turut dianggapnya sebagai sahabat sehinggakan haiwan-haiwan itu diberi nama seperti Awang, Wahab, Saat dan Boy.

Kur juga mengakui berbual dengan haiwan-haiwan itu seperti manusia, malah ada yang tidur bersamanya ketika kecil.

Walaupun sering didatangi jurugambar yang mahu merakam gambarnya namun keluarganya tidak pernah mengenakan sebarang bayaran

Menurut anak bongsu dari lapan beradik itu, "Kebanyakan jurugambar ada memberi 'tips' dan jika ada, saya terima, jika tak ada pun tak mengapa. Saya bersyukur kerana dengan kelebihan saya ini, sehingga kini saya dapat menyimpan kira-kira RM1,000 hasil 'tips' yang diterima."

Tambah Kur lagi, "Saya tidak bangga apabila menjadi tular, tetapi gembira sebab dulu ayah sering dihina kerana pekerjaannya sebagai penternak kerbau. Tetapi hari ini, saya seronok kerana dapat buat ayah bangga dan mengubah persepsi orang terhadap pekerjaan ayah," katanya yang bercita-cita ingin menjadi seorang penternak seperti bapanya.

Remaja tingkatan 2 itu turut mempunyai fanpage di laman Facebook bernama Syukor Khamis - Kampong Boy

Walaupun mengetahui bahawa anaknya kini menjadi tumpuan ramai, namun Khamis Jusoh yang lebih mesra disapa Pak Khamis itu tidak pernah mengambil kesempatan untuk menjadi kaya.

"Ramai yang kata, jurugambar yang merakam gambar Mohd Syukur dan masuk pertandingan menang beribu-ribu ringgit dan saya patut minta bayaran, tetapi bagi saya, cukuplah mereka doakan saya sihat dan sedekahkan Alfatihah jika saya sudah tiada nanti," katanya.

Bagi sesiapa yang nak ingin mengambil gambar atau melawat kandang kerbau Pak Khamis, anda boleh ke kampung mereka di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.

Di sana Pak Khamis ada menyediakan bilik di kawasan halaman rumahnya yang mana anda boleh merasai suasana kampung yang sebenarnya.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel di SAYS Seismik:

Leave a comment