Najib Jelaskan Bahawa BR1M Bukan Untuk Raih Undi, Idea Asal Bank Negara Malaysia
Bukan bersifat kepentingan parti politik, jelas beliau.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menjelaskan tentang pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang didakwa kononnya untuk meraih undi adalah tidak benar
Najib menjelaskan bahawa bantuan itu merupakan idea Bank Negara Malaysia (BNM) yang bukan bersifat kepartian politik dalam usaha membolehkan kaedah subsidi bersasar dilakukan, lapor Free Malaysia Today.
"Idea nak buat BR1M ini bukan dari saya, bukan dari mana-mana orang politik tetapi dari BNM, yang tak ada soal kepartian sama sekali tetapi BNM mencadangkan bahawa kaedah subsidi bersasar adalah lebih baik daripada subsidi pukal.
"Subsidi pukal banyak ketirisannya. Misalnya, kalau kita bagi subsidi mungkin dia boleh jual di sempadan kepada orang lain, mungkin pekerja asing akan dapat, pelancong boleh dapat, jadi banyak ketirisan.
"Keduanya, orang yang sepatutnya menerima subsidi secara relatifnya mendapat kurang berbanding orang yang tinggi kemampuan, contohnya petrol RON95. Orang berkereta besar mendapat manfaat lebih daripada mereka yang memandu Proton Saga atau Myvi," katanya.
Beliau juga berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan membuat perubahan dasar yang memberi manfaat besar kepada rakyat melalui pemberian BR1M
BR1M telah dilaksanakan pada 2012 dengan bantuan RM500 sebelum dinaikkan kepada RM1,000 pada 2016 dan RM1,200 pada 2017.
“Janji kita 5 tahun dahulu dalam manifesto Barisan Nasional (BN), kita akan naikkan BR1M kepada RM1,200 dan dalam jangka masa ini, janji telah ditepati. Kita tidak akan membuat janji, kalau kita fikir tidak boleh ditunaikan.
“Saya takkan keluarkan kenyataan sesuatu manifesto itu kita kaji semula…ada orang buat kenyataan bukan nak tepati, nak kaji semula 60% daripada manifesto. Apa guna manifesto yang mana janji kita takkan tunaikan,” ujar beliau.
Najib juga menjelaskan bahawa BR1M yang menjadi antara pertanyaan popular pengguna media sosial setiap kali beliau memuat naik pelbagai status di Facebook dan Twitternya turut membantu merangsang ekonomi negara
"Apabila kita dapat BR1M, kita gunakan untuk membeli barang-barang asas seperti beras, gula, susu dan pakaian sekolah, ini merangsang ekonomi domestik.
"BR1M tidak salah dari segi teori ekonomi. Ia bukan bersifat populis tetapi asasnya untuk kembangkan ekonomi," katanya lagi.
Beliau turut menempelak mereka yang mengkritik pemberian BR1M tetapi tidak memberikan cadangan yang lebih baik dalam menyampaikan subsidi
Katanya, pihaknya bersedia menimbang sebarang cadangan untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Kalau nak kata dedak atau ‘cash is king’, ini mengarut sebab zaman dia dahulu tidak buat, kita kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat," ujarnya.