Nenek Berusia 74 Tahun Ini Masih Bekerja di McDonald's Mutiara Damansara
Jika nenek seusia ini masih mampu bekerja dan tidak memilih dalam mencari rezeki, apa pula alasan kamu?
Tatkala wanita lain seusianya sudah bersara, duduk di rumah dan melayan cucu cicit, Cynthia Sebastian, 74 tahun, masih lagi gigih bekerja di McDonald's
Nenek kepada tujuh orang cucu ini bekerja di McDonald's sejak tahun 1983, setahun selepas McDonald's membuka cawangannya yang pertama di Malaysia iaitu di Yow Chuan Plaza
Ini menjadikan beliau salah seorang pekerja McDonald's Malaysia yang paling lama.
Tugasan Cynthia di McDonalds termasuklah mengambil pesanan, mengelap lantai dan meja dan berinteraksi dengan pelanggan dalam shift penuh tujuh jam, enam hari seminggu
Dia secara sukarela menjadi pegawai khidmat pelanggan McDonald's, dan kadang-kadang menjadi kaunselor kepada pengunjung yang datang ke restoran segera tersebut.
Selain kerana ingin berdikari, Cynthia lakukan pekerjaan ini kerana dia tak boleh duduk diam di rumah. Nanti bosan, katanya.
Menurut Cynthia, dia selesa hidup berdikari kerana memahami bahawa anak-anaknya juga ada kehidupan dan keluarga sendiri.
Apa yang penting bagi beliau ialah menyediakan pendidikan yang sempurna untuk anak-anaknya. Bila semuanya sudah dicapai, dia bebas untuk melakukan apa saja yang dia suka, iaitu bekerja.
Bekerja di McDonald's juga menjadikan beliau seorang yang aktif secara fizikal. Ini kerana Cynthia memilih untuk berjalan kaki pulang ke rumah bila sudah tamat masa kerja. Inilah yang dikatakan, badan sihat, hati pun senang.
Cynthia yang kini bertugas di McDonald's Mutiara Damansara sangat sayangkan pekerjaannya kerana dia boleh kenal dengan ramai orang
Cynthia yang sering bertukar-tukar cawangan McDonald's sejak mula-mula bekerja menceritakan bahawa apabila dia bertukar ke cawangan yang lain, pasti ada pelanggan yang tercari-carikan dirinya. Dia merasa puas bila mengetahui bahawa kehadirannya di McDonald's telah memberi impak kepada kehidupan orang lain. Kata Cynthia lagi, kadang-kadang manusia perlukan galakan dan kata-kata peransang. Inilah yang dia tawarkan kepada pengunjung McDonald's dan ia adalah perkara yang tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit.
Seperti yang diceritakan oleh Cynthia dalam artikel asalnya di The MalayMail Online, isteri kepada bekas pegawai anti rasuah ini berkata dia tetap akan terus bekerja di McDonald's selagi termampu.