"Niat Asal Nak Bantu Golongan Terjejas" - 10 Usahawan Ini Kongsi Jatuh Bangun Dalam Bisnes
Jom kita sokong produk tempatan. Respect!
Setiap orang yang menceburi bidang bisnes dan keusahawanan pasti mahu berjaya. Namun, jalan menuju kejayaan itu bukanlah perkara yang mudah.
Gagal dan jatuh dalam dunia perniagaan juga merupakan sesuatu yang amat ditakuti oleh semua usahawan. Biasalah, kehidupan sebagai seorang usahawan memang kadang-kala ada jatuh dan bangun. Pendek kata, langit tak selalunya cerah.
Namun, kejatuhan tidak bermakna anda harus putus asa yang menyerah kalah begitu sahaja. Perkara yang perlu anda lakukan setelah jatuh adalah bangkit semula. Cari semula formula untuk menjadikan anda lebih berjaya di masa akan datang.
Sama juga seperti 10 peniaga tempatan ini. Anda pasti akan rasa kagum bagaimana mereka mampu untuk bangkit selepas ditimpa pelbagai dugaan untuk meneruskan perniagaan mereka sehingga kini.
"Jangan cepat putus asa dan sentiasa belajar dalam bisnes serta baiki kelemahan diri" - Norhafiza Sahari
Pengasas Sambal Goreng Zamisha ini berasal dari Kuching, Sarawak dan diberikan pendidikan di SMK Petra Jaya, merupakan anak bongsu daripada 4 orang adik-beradik serta dalam keluarga yang sederhana.
Menurut Norhafiza Sahari, dia memilih menginovasikan sambal goreng berasaskan hasil laut dan tani untuk merwarnai industri makanan dan produk halal. Niatnya cuma satu bagi membantu petani dan nelayan yang terjejas.
Bercerita mengenai cabaran dan persaingan, dia mengalami kesukaran untuk memasarkan produknya ke antarabangsa. Selain itu, dia bersaing secara sihat dan banyak belajar daripada pesaing yang lain dari segi semua aspek.
Pecapaian paling membanggakannya adalah dia memperoleh banyak respon yang positif dalam kalangan pembeli dan mendapat geran Agropreneur Muda. Nasihatnya kepada usahawan muda ialah jangan cepat putus asa dan sentiasa belajar dalam bisnes serta baiki kelemahan diri.
Lawati laman web Sambal Goreng Zamisha untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk yang ditawarkan.
"Kenal pasti 'demand' sebelum keluarkan modal yang banyak" - Siti Sofiah Ramli
Pada mulanya pengasas Medic Pets ini merupakan bekas penjawat awam, kemudiannya berhenti kerja dan seterusnya sepenuh masa untuk menjadi usahawan.
Menurut Siti Sofiah Ramli, syarikat yang diusahakannya itu merupakan pengeluar produk kesihatan haiwan. Produk yang ditawarkannya adalah 100% natural, selamat dijilat dan diuji berkesan. Medic Pets menawarkan produk untuk menghilangkan kutu, kurap, bulu gugur dan serta masalah kulit haiwan.
"Saya merupakan pencinta haiwan dan seorang cat rescuer. Saya bekerja sebagai assistant veterinarian selama 3 tahun sebelum menubuhkan Medic Pets," katanya.
Sehingga kini Medic Pets telah diedarkan di 61 petshop, 30 klinik haiwan dan membantu mengedarkan sebanyak 67,000 unit secara percuma kepada cat rescuer dan cat feeder seluruh Malaysia.
Berbicara mengenai cabaran dihadapi olehnya ialah kesukaran untuk educate orang ramai tentang kepentingan menggunakan produk semula jadi pada haiwan. Selain itu, dia juga berdepan dengan persepsi harga produk semula jadi adalah 5 kali lebih mahal dari produk yang ada di pasaran.
Begitupun, Medic Pets mengetengahkan product value iaitu kualiti produk yang berkesan dalam masa 3 hari. Dalam pada itu, dia juga mengalami permulaan yang mencabar dalam berkongsi idea dan inovasi produk kepada pihak agensi berkaitan.
Berkat kegigihan dan kesabaran yang dihadapinya itu, akhirnya dia telah memasarkan produk Medic Pets di beberapa buah negara luar seperti Brunei, Kemboja dan Indonesia serta pada masa yang sama turut memiliki 2 cawangan petshop (Medicat).
Siti Sofiah juga sempat memberikan beberapa nasihat kepada usahawan lain supaya mengenalpasti 'demand' terlebih dahulu sebelum mengeluarkan modal yang banyak. Dalam pada itu, dia juga mengingatkan usahawan untuk 'spend' kewangan yang ada ke arah pemasaran dan branding.
Lawati Shopee Medic Pets untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk yang ditawarkan.
"Kita perlu jalankan bisnes dengan cara tersendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain" - Norli Yusop
Anak jati dari Kuala Lumpur ini telah memulakan perniagaannya sejak tahun 2001 lagi dengan meniaga kecil-kecilan di rumah.
"Saya mula dengan modal sendiri dengan membuat tart nanas sendiri. Jem nanas pula saya proses dari hasil buahnya untuk membuat inti sendiri.
"Selepas beberapa tahun saya mula membuat biskut-biskut lain dengan cara tersendiri. Kini, saya telah mempunyai 30 produk halal dan saya juga amat menekankan produk yang sangat berkualiti dan premium.
Menurut Norli Yusop, bisnes itu dimulakannya adalah kerana dia ingin mencuba bidang yang baru disamping menjaga anak-anaknya sendiri.
Jelas Norli lagi, dia juga pernah berdepan kesukaran mendapatkan bahan mentah bagi bisnesnya kerana ianya amat terhad dan permintaan amat tinggi ketika itu.
Dalam pada itu, dia perlu mencari premis untuk pemprosesan kilang biskut kerana rata-rata par pelanggannya tahu bahawa dirinya amat kekalkan prinsip premium walau bahan mentah meningkat naik setiap tahun.
Antara kenangan manisnya sepanjang melakukan bisnes tersebut ialah dia pernah tercalon sebagai Ikon Usahawan Wanita MAHA 2018 dan juga berjaya eksport produk sneknya ke 400 cawangan Circle K Vietnam.
Lawati Instagram Cookies by Yusa untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk yang ditawarkan.
"Tiada jalan pintas untuk terus naik. Kita perlu melalui proses pembelajaran berterusan" - Nur Izzah Mohd Salleh
Bermula hanya sekadar part time tahun 2008 seterusnya secara sepenuh masa pada tahun 2009. Pengasas kepada jenama Passionate About Cheese ini mula memberanikan diri menyewa rumah khas untuk membuat dessert dan sehingga kini dia telah berjaya membina kilang kecil (rumah juga) untuk pembuatan produk pasarannya di Kuala Lumpur.
Menurut Nur Izzah Mohd Salleh, dia mengusahakan produk berasaskan tart shell iaitu yang digunakan untuk membuat cheese tart. Katanya lagi, produknya dapat membantu usahawan membuat cheese tart dengan mudah dan cepat dalam kuantiti yang banyak.
Bermula dengan 1000 keping sehari, kini kilangnya mampu mengeluarkan 9000 keping tart shell dalam sehari. Dia juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 20,000 keping sehari dan pengedaran diperluaskan ke seluruh Malaysia pada masa akan datang.
Berbicara soal cabaran utama pula, katanya pada mulanya dia mengalami kesukaran untuk meletakkan produk di pasaran dan diterima oleh orang ramai. Persaingan ketika itu sangat banyak, tetapi dia tetap berjaya meletakkan produknya di pasaran.
Jelasnya lagi, dia akan memastikan para pekerjanya untuk sentiasa update di media sosial dan juga menjadikan pelanggannya sebagai keutamaan syarikat serta memperbaiki pengurusan produk dan syarikat adalah caranya bersaing secara sihat.
Pernah muncul di segmen Borak Kopitiam dia TV3 pada tahun 2020, impak peningkatan jualan selepas itu menjadikan kuantiti pengeluaran produknya terus meningkat dari 6000 keping kepada 9000 keping sehari.
"Tiada jalan pintas untuk terus naik. Kita perlu melalui proses pembelajaran berterusan, kegagalan dan kesilapan semasa mengendalikan perniagaan harus di ambil pengajaran seterusnya di perbaiki.
"Sentiasa berfikir 'what next'. Saya mengambil inisiatif untuk masuk mana-mana kelas INSKEN, MDEC, MARA, MYNIC demi mencari ilmu bagi membaiki pengurusan perniagaan dan mengendalikan perniagaan sebaik-baiknya," ujarnya.
Lawati laman web Passionate About Cheese untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk yang ditawarkan.
"Perlu berusaha bersungguh-sungguh serta berterusan demi untuk memajukan perniagaan" - Che Saad Saep
Sebut sahaja capal, mesti anda akan terbayangkan busana baju Melayu lengkap dengan tanjak bersama sepatu berkenaan bukan?
Begitupun tahukah anda siapakah yang membuat capal tersebut, salah seorang pembuat capal yang ada di Malaysia inilah Che Saad Saep sendiri atau lebih dikenali dengan Dr Saad atau Saad Capal.
Menurut Che Saad, dia telah menceburi bidang pembuatan capal sejak 2001 lagi, produk utama yang dikeluarkannya ialah selipar capal untuk kanak-kanak dan dewasa, produk tambahan sandal, barangan berasaskan kulit dan keychain capal.
Demi untuk memartabatkan produk warisan, Che Saad sentiasa memerlukan pengiklanan yang lebih supaya umum mengetahui bahawasanya Sentuhan Budi Trading masih lagi membuat selipar capal dan terus berusaha untuk memartabatkan warisan capal.
Menurut Che Saad, cabaran awal yang dihadapinya ialah dia perlu berusaha sendiri untuk bangunkan (R&D) pembuatan capal dan mereka cipta peralatan yang serba kekurangan.
Selain itu, dari segi pesaingan pula ianya agak berkurangan kerana tidak ramai yang menceburkan diri, malah berdasarkan rekod yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia di dalam bidang pembuatan capal ialah cuma 5 orang iaitu di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis (Che Saad). Bentuk dan cara pembuatan juga berlainan.
"Perlu berusaha bersungguh-sungguh serta berterusan demi untuk memajukan perniagaan dan merebut peluang yang yang disediakan oleh kerajaan serta lain-lain agensi untuk membantu.
"Selain itu, kena sanggup berjuang bersendirian. Tiada istilah gagal. Tanamkan dalam diri usaha dan terus berusaha tangga kejayaan. Fikirkan boleh serta yakin boleh. Anda pasi boleh," katanya.
Lawati Facebook Saad Capal untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk yang ditawarkan.
"Don't give up, you can do it!" - Ong Chia Yee
Pengasas kepada jenama Life Design Studio ini tidak menyangka akan menceburi industri seni dan perniagaan walaupun berlatarbelakangkan bidang ekonomi.
"Apa yang membuatkan saya menceburi industri ini, adalah pada suatu hari semasa saya berjalan di Pasar Seni, saya lihat dan sedar bahawa cenderahati dan cenderamata yang dipamerkan di situ, kebanyakannya diimport dari luar negara.
"Jadi kami dihujani satu idea dan fokus dimana kami mahu mempamerkan cenderahati yang diperbuat daripada Malaysia sendiri, daripada kilang di Malaysia, artis dan pelukis di Malaysia," katanya.
Menurut Ong Chia Yee, dia memulakan perjalanan keusahawanannya dengan Woven Batik and Songket Bookmarks.
Sejak pandemik Covid-19 terjadi, syarikatnya merupakan salah satu perniagaan yang terkesan kerana bergantung pada sektor pelancongan. Jadi, bagi menghadapi cabaran itu dia kembangkan produknya dalam pelbagai bentuk perniagaan atas talian.
Tambahnya lagi, dia berpegang pada motto 'collaborate not compete' di mana selagi semua orang mempromosi dan memperkasakan keindahan Malaysia, dia meganggap ia adalah kerjasama dan bukan persaingan.
Katanya lagi, dia percaya apa yang membezakan produknya dan pesaing lain adalah dirinya terbuka untuk bekerjasama dengan artis-artis lokal untuk mempamerkan lagi keindahan Malaysia dari pelbagai perspektif. Dengan cara ini, dia percaya ia boleh membezakan produknya dengan pesaing lain daripada industri ini.
Lawati laman web Life Design Studio untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk yang ditawarkan.
"Perbaiki kemahiran komunikasi personal dan berbahasa" - Norazlan Abdullah Satar
Pengasas dari ASR Deco ini asalnya mempunyai ijazah dalam bidang perakaunan, tetapi dia mempunyai minat yang mendalam dalam bidang hiasan dalaman, rumah dan cenderamata.
"Saya mulakan perniagaan dengan menghasikan frame hiasan rumah yang berasaskan kepada pasir dan kerangan di mana bahan-bahan tersebut saya bentuk untuk menghasilkan objek, pemandangan atau representation kepada sesuatu idea kreatif.
"Sehingga kini, ASR Deco telah menghasilkan pelbagai produk seni kreatif; khas untuk pelanggan tertentu.
"Boleh dikatakan hampir semua produk yang saya hasilkan untuk jualan umum dan korporat adalah berbentuk customised.
"Daripada produk berasaskan pasir dan kerangan, ASR Deco kini juga menghasilkan produk seni kreatif dan kraftangan berasaskan kayu, besi dan kristal," ujarnya.
Menurutnya, cabaran ketika memulakan bisnes itu adalah penerimaan umum terhadap produk hiasan dan cenderamata yang berbeza bentuk dan fungsiannya.
Umum hanya mengetahui produk kraftangan seperti batik, seramik, rotan dan kayu dan agak mencabar untuk produk yang berbentuk 'artisanal dan functional' memasuki pasaran sedia ada.
Oleh itu, dia mengambil pendekatan menjuruskan produknya kepada 'niche' tertentu yang lebih spesifik. Selain itu, tambahnya lagi dia sentiasa memperbaiki dan menghasilkan produk baru secara R&D.
Pada masa yang sama, syarikatnya turut menawarkan produk seni kreatif itu dijual secara atas talian bersama-sama produk lain.
Lawati laman web Ole Ole Kita daripada ASR Deco untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk yang ditawarkan.
"Jangan mudah mengalah kerana kejayaan tidak datang sekelip mata sahaja" - Hazian Saleh
Pengasas kepada Agarwood Global Venture atau barangan jenamanya yang dikenali sebagai Black Gharu ini, asalnya berlatarbelakangkan pendidikan di dalam bidang seni bina.
Namun, kerana itulah ianya telah melatihnya untuk melihat dari sudut yang berbeza dalam bidang perniagaan yang diceburinya sekarang.
Produk utama yang ditawarkan itu adalah kopi gaharu, ianya adalah produk kopi yang berasaskan ekstrak daun gaharu. Kebiasaannya, gaharu selalu sinonim dengan minyak dan kayu gaharu.
Tetapi hasil daripada inovasi dan penyelidikannya dengan universiti tempatan, dia telah berjaya menghasili suatu produk berupa serbuk kopi daripada pokok kayu gaharu itu.
Berbicara soal cabaran, menurut Hazian Saleh, dia mengalami kesukaran untuk mempromosikan kepada orang ramai. Hal ini kerana pengetahuan masyarakat tentang hasil pokok karas atau gaharu itu sendiri hanya tahu tentang kewujudan minyak dan kayu sahaja.
Hakikatnya ialah hasil daripada pokok gaharu itu sendiri adalah banyak iaitu dari pucuk pokok hinggalah ke akar pokok. Sebenarnya, kewujudan kegunaan produk hasil gaharu ini telah lama diguna dan diamalkan dalam masyarakat dunia dalam kehidupan harian, kesihatan dan juga keagamaan mereka.
Lawati Facebook House of Agarwood Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk yang ditawarkan.
Jom sokong dan beli barangan buatan tempatan!
Pastinya semua dah semakin bersemangat dan terinspirasi selepas baca kisah kesemua usahawan yang kami kongsi ini bukan? Melalui perkongsian mereka, kita dapat lihat kejayaan tidak seperti bulan jatuh ke riba. Semuanya memerlukan usaha dan kerja keras.
Oleh itu, apa salahnya kalau kita pula memainkan peranan dalam menyokong perniagaan yang diusahakan rakyat tempatan kita ini. Ingatlah, barang baik barang kita, berbelanjalah untuk Malaysia!