Panduan Asas Serta Teks Khutbah Hari Raya Aidilfitri Di Rumah Bagi Tahun 2020 Oleh JAKIM
Hukum mendengar khutbah adalah sunat.
Raya pada tahun ini mungkin menjadi kenangan serta detik yang paling bermakna buat kita semua
Meskipun ada dalam kalangan kita yang bakal merasai kesedihan tidak dapat beraya bersama keluarga, namun 1 Syawal tetap perlu disambut bagi meraikan hari kemenangan kita selepas sebulan berpuasa.
Susulan daripada pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia pada ketika ini, perayaan yang seringkali disambut dengan sangat meriah ini bakal diraikan dengan serba kelainan.
Kelainan yang dimaksudkan itu termasuklah tiada lagi aktiviti pulang ke kampung halaman, amalan ziarah-menziarahi tidak dibolehkan, sembahyang sunat hari raya tidak ditunaikan di surau atau pun masjid malah hanya digalakkan dibuat di rumah bersama keluarga, dan banyak lagi.
Menyentuh perihal solat sunat hari raya Aidilfitri, umat Islam di Malaysia adalah digalakkan untuk menunaikan ibadah itu di rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19
Umat Islam hanya akan melaksanakan solat sunat untuk hari raya sebanyak 2 kali sahaja dalam setahun iaitu pada hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha.
Tidak perlu risau jika solat sunat hari raya kali ini tidak boleh dilakukan di masjid atau di surau kerana solat ini juga boleh dilakukan di rumah secara berjemaah mahupun bersendirian.
Jika sebelum ini kami di Says Seismik telah menyediakan panduan untuk menunaikan solat sunat hari raya di rumah, kali ini kami akan memberikan serba sedikit panduan asas mengenai khutbah raya serta teks khutbah di rumah seperti yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Apakah syarat khutbah raya?
Pada dasarnya, syarat khutbah hari raya adalah seperti khutbah Jumaat iaitu:
1) Khatib perlu berdiri jika mampu.
2) Di antara 2 khutbah diselangi dengan duduk. Bagi mereka yang tidak mampu berdiri iaitu yang membaca dalam keadaan duduk, hendaklah diam seketika selepas habis khutbah pertama.
3) Khatib perlu suci daripada hadas kecil dan besar.
4) Rukun khutbah dibaca dalam bahasa arab.
5) Berturut-turut di antara khutbah pertama dan kedua (bermakna tidak ada jarak waktu yang terlalu panjang di antara 2 khutbah.
Apakah rukun khutbah raya?
Khutbah raya di rumah pada kebiasaannya dibaca oleh ketua keluarga selepas sahaja selesai menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri.
Khutbah hari raya mempunyai 2 khutbah dan berserta 5 rukun sama seperti Khutbah Jumaat. Namun bezanya adalah ia dilaksanakan selepas sembahyang hari raya dan didahului dengan takbir. Jika khutbah hari raya itu dilakukan dahulu dari solat sunat hari raya, maka khutbah itu tidak dikira dan sunat diulang semula selepas solat.
Rukun-rukun khutbah raya adalah seperti berikut:
1) Memuji Allah dengan mengucapkan Alhamdulillah.
2) Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
3) Memberi pesanan dengan takwa
4) Membaca sepotong ayat dari al-Quran pada salah satu dari dua khutbah.
5) Membaca doa untuk kaum muslimin dalam khutbah kedua.