Bekerja Di Singapura? Ini Pengalaman Pekerja Malaysia Di Sana Dan Tips Yang Anda Kena Tahu
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.
Sehingga hari ini, mungkin ada di antara rakyat Malaysia yang masih mencari peluang untuk bekerja di luar negara. Antaranya ialah negara jiran iaitu Singapura.
Ini kerana Singapura adalah antara negara yang paling dekat dengan negara kita dan menawarkan pendapatan yang agak lumayan buat penduduk Malaysia.
Jadi, hari ini kami ingin ceritakan kepada anda mengenai pengalaman seorang rakyat Malaysia yang bekerja di sana, Syed Amirul yang dikongsi olehnya di laman Facebook
Setelah lebih setahun bekerja di Singapura, ia menjadi detik penghijrahan yang amat bermakna bagi saya dan keluarga.
Sekitar pertengahan tahun lepas, rakan sekerja Mohd Ubaidillah Norzihan memaklumkan bahawa ada syarikat Singapura yang mencari Jurutera Lapangan dengan kadar segera. Tanpa berfikir dua kali, saya terus memohon dan ditawarkan kerja dalam tempoh kurang 2 minggu.
Peluang itu terlalu sukar ditolak, walaupun boss dan bekas rakan sekerja berpendapat bahawa jumlah tawaran tersebut tidak memadai. Saya agak hairan, walhal tawaran yg diterima hampir 4 kali ganda dari gaji asal dan elaun laut yang hampir sama.
Walau apa pun yang terjadi kepada kerjaya saya kini, saya tetap bersyukur dengan penghijrahan ini. Bagi rakan-rakan yang ingin mengubah nasib hidup, tidak perlu terbang jauh ke Australia hanya untuk bekerja sebagai Pemetik Buah, sebaliknya boleh cuba untuk mencari rezeki di Singapura.
• Sehingga kini, terdapat hampir 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Apa yang saya perhatikan, kebanyakannya terdiri dari India dan Cina. Hanya sekitar 10% peratus Melayu sahaja, mungkin Melayu lebih selesa untuk berada di negara sendiri.
• Tempat tinggal adalah perkara yang paling utama untuk difikirkan sebelum berhijrah. Umum tahu harga rumah di Singapura terlalu tinggi. Untuk menyewa sebuah bilik kecil, anda perlu membayar tidak kurang SGD 600 sebulan.
• Jika tinggal di Singapura, anda tidak dibenarkan untuk membawa kenderaan yang berdaftar di Malaysia. Namun, apa yang pasti sistem pengangkutan Singapura adalah sangat efisien. Begitu mudah untuk kemana-mana dengan harga yang agak berpatutan.
• Dengan harga bilik yang terlalu tinggi dan privasi yang terhad di Singapura, tinggal di Johor merupakan satu pilihan yang lebih baik. Kadar sewa sekitar Gelang Patah / Nusajaya adalah RM 400 untuk bilik kecil dan RM 1000 untuk sebuah unit pangsapuri 3 bilik lengkap dengan perabot.
• Kebiasaannya mereka yang tinggal di Johor, akan makan pagi sebelum pergi kerja dan bungkus makanan tengahari. Secara tidak lansung, segala perbelanjaan dalam Ringgit Malaysia. Secara purata, perbelanjaan bulanan lebih jimat sedikit berbanding tinggal di KL.
Terdapat 3 cara untuk ulang-alik setiap hari:
1. Motosikal
Cara paling cepat, fleksibel tetapi agak penat. Masa untuk pergi kerja dalam 1 jam 30 minit manakala balik mengambil masa 2 jam. Bayangkan anda perlu menyedut asap kenderaan lain ketika beratur di ‘checkpoint’ Singapura. Bayaran tol dan ‘entry pass’ sebanyak RM17 / hari tidak termasuk minyak.
2. Bas
Cara paling jimat dan tidak berapa penat. Masa untuk pergi dan balik secara purata adalah 2 jam, tidak termasuk masa dari rumah ke hentian bas dan dari hentian bas ke tempat kerja. Agak janggal bagi anda yang pertama kali menaiki bas ke tempat kerja, anda akan dapat lihat semua orang berlari bagai nak gila di ‘checkpoint’ Malaysia / Singapura. Ini demi untuk mendapatkan tempat duduk di dalam bas. Saya pernah tersilap langkah dan berdiri hampir 2 jam di dalam bas. Tiket bas pergi dan balik adalah RM16 / hari.
3. Kereta / Van
Cara paling selesa tetapi mahal dan tidak fleksibel. Amat tidak berbaloi untuk memandu kereta secara bersendirian, kadar ‘entry pass’ ialah SGD 35, tol SGD 7 dan ‘parking’ SGD 5 . Oleh itu, ‘car pool’ adalah pilihan yang lebih bijak untuk mereka yang mengutamakan keselasaan. Kebiasaannya pemandu akan menetapkan masa dan tempat ‘pick-up point’. Ada juga orang persendirian yang menjalankan khidmat penghantaran menggunakan van. Kadar purata untuk ‘car pool’ dan van adalah SGD 12 – 14 untuk pergi dan balik.
Jika kita bandingkan epal dan epal, angka gaji bagi Malaysia dan Singapura hampir sama (mungkin Singapura lebih sedikit bagi pekerja kolar biru). Berdasarkan pengalaman rakan-rakan, gaji pekerja restoran makanan segera sekitar SGD 1800 termasuk ‘OT’ manakala pekerja kilang boleh dapat lebih SGD 2000 termasuk ‘OT’. Bagi pekerja kolar putih, gaji ‘fresh grad’ tidak lebih SGD 3000 dan bagi mereka yang mepunyai pengalaman boleh ‘demand’ SGD 4000 ke atas.
Sejujurnya, penghijrahan ke Kota Singa serba sedikit mengukuhkan kewangan keluarga saya dan memberikan pengalaman yang baru tentang erti kehidupan. Yakinlah jika kita terus melangkah, rezeki akan sentiasa terbuka untuk kita. Selamat berhijrah!
P/S: Kadar tukaran wang pada hari ini, SGD 1 = RM 3.01575.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!