seismik

"Inilah Trip Paling Suffer" - 5 Sekawan Kongsi Kesengsaraan Selama 4 Hari 3 Malam Di Cebu

Kami yakin, siapa-siapa yang baca turut boleh rasa kesengsaraan kami.

Cover image via TSG #KasiJadi

Perasaan membuak-buak untuk saya meneroka bumi Cebu timbul saat saya sibuk menggunakan waktu kerja untuk menelaah satu backpacking group yang tak berapa nak famous di Facebook

Nah kau, gambar seorang lelaki tak pakai baju, berseluar tiga suku, sedang sibuk berenang di sebelah ikan gergasi comel yang saya kira tiga kali ganda saiz beliau, Whale Shark. Kagum dan cemburu, saat itu saya tekad suatu hari saya akan pergi juga ke tempat tersebut dan ambil gambar dengan ikan yang sama. Bayangkan berapa banyak like saya boleh dapat di Instagram dengan gambar se-cool itu. Lol.

Lebih kurang macam ni lah gambar yang saya tengok tu.

Image via www.islandtrekcars.com

Selepas berbulan kajian tentang Cebu dibuat yang kebanyakannya saya rasa hanya berpandukan hashtag di Instagram, baru saya tahu yang tarikan Cebu bukan hanya pada Whale Shark. Cebu mempunyai puluhan jenis air terjun yang setiap daripadanya sangat unik dan berlainan, dari air terjun 5 tingkat yang cantiknya persis cerita dongeng, sampailah ke air terjun yang paling banyak difotograf di dunia. Tak sabar nak sumbang lagi satu.

Tanpa tempahan hotel, tanpa pemandu arah, tanpa destinati yang tetap, berbekalkan ration makanan penuh satu backpack 55L lengkap dengan stove, dengan bajet yang sangat limited, kami berlima #kasijadi projek kembara Cebu selama 4 hari 3 malam

Siapa sangka, di sebalik gambar ala-ala National Geography yang kami upload di Instagram, tersirat pelbagai macam kepayahan dan kesengsaraan yang kami berjaya tempuh dengan tabah. Berikut adalah antara fakta-fakta menarik dan gambar-gambar kami sepanjang kami di Cebu sebelum saya kongsi lagi pengalaman kami dengan lebih panjang.

Perjalanan ke puncak Osmena Peak dihiasi dengan bunga-bunga kuning yang kecil dan lawa. Sesuai untuk sesi fotografi ala-ala hindustan.

Image via TSG #KasiJadi

Di Kawasan Falls, bersama rakyat tempatan yang sibuk minta kami tangkap gambar dia, berasal dari Mindanao katanya, dan masih single.

Image via TSG #KasiJadi

Pemandangan pagi di Oslob, kawasan yang ada banyak sampan beratur itu adalah tempat memberi makan dan melihat Whale Shark, tak jauh pun dari pantai, ada lah dalam 200m.

Image via TSG #KasiJadi

Dibawa ke kawasan Whale Shark menggunakan bot nelayan DIY.

Image via TSG #KasiJadi

Sempat bergambar dengan Whale Shark yang jinak dan comel.

Image via TSG #KasiJadi

Tumalog Falls, ahli kumpulan kami yang paling tinggi tampak begitu ketot dihadapan Waterfall ini.

Image via TSG #KasiJadi

13 Fakta menarik sepanjang kami di Cebu:

1. Tiket return KL-Cebu-KL kami beli dengan harga RM401.00. Agak mahal sebenarnya.

2. Jumlah keseluruhan ground cost kami di Cebu adalah PHP 6,196.00 bersamaan dengan RM520~

3. Kami bawa satu beg galas 55L penuh dengan segala macam makanan dari Malaysia lengkap dengan stove untuk memasak sepanjang 4 hari 3 malam.

4. Kami hanya 3 kali makan di kedai.

5. Semua shopping mall di Cebu melakukan pemeriksaan keselamatan di pintu masuk, siap gate berpenggera dan polis yang jaga pun berpistol. Habis semua beg kami kena periksa setiap kali keluar masuk shopping mall.

6. Kami hidup secara nomad di Cebu, sentiasa berpindah randah. Semua hotel kami hanya duduk lebih kurang 10 jam sahaja.

7. Disebabkan kami hidup nomad, kami perlu sentiasa memikul beg galas kami ke mana mana kami pergi. Hanya semasa Whale Shark watching dan ke Sumilon Island sahaja kami sempat simpan beg di dalam bilik hotel.

8. Menaiki habal habal di Filipina adalah bahaya kerana anda tidak memakai helmet, motor telah diubahsai untuk membawa lebih penumpang, jalan raya di Filipina pula dikategorikan sebagai antara jalan raya paling bahaya di dunia dan rider habal-habal ni juga kami syak tidak memiliki lesen memandu. Tapi macamlah anda ada pilihan lain. Nak tak nak kena naik juga.

9. Tiada kedai makanan halal yang kami jumpa di luar kawasan Cebu City.

10. Penduduk Cebu sangat baik dan tiada yang meninggikan suara walaupun dalam proses tawar menawar harga.

11. Salah seorang daripada kami terpaksa tidur berdiri di dalam bas selama 3 jam kerana terlalu penat dan tak dapat tempat duduk.

12. Cebu adalah tempat yang sangat menarik dan jika anda seorang penggemar tegar alam semula jadi, anda pasti akan enjoy Cebu. Leha bagi 5 bintang untuk Cebu!

13. Bonus video dan itinerari lengkap kami lampirkan di penghujung artikel ini.

Ini pula cerita perjalanan kami sepanjang berada di sana. Macam-macam ragam, kepayahan, dan kesengsaraan yang terpaksa kami lalui, dari mula trip sampai ke habis.

1. Mula bergerak seawal 4 pagi

Dari bangun seawal jam 4 pagi, dari berjalan lebih kurang dua pusingan padang bola ke stesen LRT, dari menaiki LRT yang paling awal untuk ke KL Sentral, dari tambang terlajak mahal dengan jaminan 35 minit dari KL Sentral ke KLIA2, dari 4 jam duduk kaki terkepit tanpa sebarang add-on makanan dalam kapal terbang sebab kami kedekut, kami akhirnya tiba di Mactan International Airport, Cebu.

Dengan rupa yang dah nak sama macam rakyat tempatan, siapa sangka tiga jejaka ini sebenarnya adalah rakyat Malaysia.

Image via TSG #KasiJadi

2. Pencarian teksi murah

Keluar dari lapangan terbang, kami tekad untuk ambil teksi tempatan untuk ke South Bus Terminal. Harga teksi airport agak berbeza, mungkin sebab cukai khas yang dikenakan. Beza berapa tu kami letak belakang, yang penting misi kami adalah untuk minimumkan kos, lebihkan kudrat. Dari balai ketibaan ke kawasan teksi tempatan tak susah, tak rumit, cuma jauh. Patutlah lagi murah. Dan bermulalah langkah berjalan kaki kami yang pertama di Cebu.

3. Belajar menaiki Jeepney

Kami jumpa satu cara paling jimat untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat dalam kawasan Cebu. Tambang tak sampai pun RM1. Orang tempatan panggil Jeepney, benda ni macam van sapu, tapi halal. Setiap Jeepney hanya dilabelkan dengan angka yang setiap daripadanya mewakili destinasi tertentu. Lepas bertanya kepada beberapa orang baru kami dapat jumpa angka yang betul, Jeepney nombor 12 kalau tak silap.

Naik dalam Jeepney kami berhimpit-himpit dengan makcik yang baru nak balik dari pasar, abang sado nak pergi kerja syif petang, rakyat-rakyat marhaen Filipina yang lain dalam 15 orang dan paling menarik, budak umur lebih kurang 12 tahun yang tak berhenti merenung kami, kadang dia tersenyum sendiri. Pelik agaknya, mungkin kali pertama budak tu jumpa someone yang muka macam Filipina tapi cakap Bahasa Melayu.

Apa entah abang kita tu seronok sangat.

Image via TSG #KasiJadi

Selepas beberapa stop dan penumpang pun makin kurang, kami makin cuak. Ah sudah, nak turun dekat mana? Macam mana nak tahu kalau dah sampai South Bus Terminal? Jeepney ni bukan ada pengunguman setiap kali sampai destinasi macam LRT. Tak lama lepas kami cuak, gadis cantik duduk sebelah tegur.

“You, South Bus Terminal, go down, here, down, here.”

Cantik juga awek ni, awek cantik kan selalunya jujur. Percaya dengan informasi dari gadis tadi, kami terus turun dari Jeepney menyelit-nyelit celah penumpang lain, dengan masing masing bawa beg besar macam kampit beras 10 kg. Keluar je Jeepney, tengok kiri kanan, kami terpinga-pinga sambil ternganga. Toleh kiri toleh kanan, satu bas pun tak nampak, apatah lagi terminal. Ah sudah, tak kan kena game dengan awek tadi kot? Siot punya awek cun.

4. Pencarian South Bus Terminal

Toleh kiri lagi toleh kanan lagi, ada orang tempatan buat eye-contact, cun. Aku senyum dan terus jalan menuju dia, tanya betul ke sini South Bus Terminal. Rupanya Jeepney memang tak berhenti sebelah South Bus Terminal. Kami kena jalan merentasi sebuah shopping mall saiz sederhana macam kompleks PKNS dan jalan lagi dalam 400 meter. Menapak lagi. Selamat masa berjalan dalam shopping mall tu kami terjumpa restoran makanan halal, berhenti rehat kejap untuk makan tengahari campur malam sekali. Syukur, baru teringat yang kali terakhir kami makan, pagi tadi masa sarapan di KLIA2. Kesian perut.

Habis makan, kami sambung berjalan terus ke South Bus Terminal. Jam dah pukul 6.30 petang. Kami target nak ambil bas pukul 7 malam, sampai Dalaguette dalam pukul 9 malam, jalan-jalan cari hotel, check-in dan pukul 9.30 malam tu dah boleh baring hilangkan penat setelah mengembara hampir 2500 kilometer hari ni. Optimis sungguh kami masa ni.

5. Penantian suatu penyiksaan – beratur 5 jam untuk bas ke Dalaguette

Sampai di South Bus Terminal, masing-masing tenganga, pandang sesama sendiri. Dua barisan manusia sepanjang-panjang alam tengah beratur, ada dekat 400 meter panjang dia. Tak tipu. Satu barisan pergi ke arah barat daya Cebu, satu lagi ke arah tenggara. Kami kena ambil bas ke arah tenggara. Bas di Cebu ni tiada sistem tiket, makanya semua orang perlu beratur untuk naik bas, cukup 43 orang bas pun jalan dan yang lain kena tunggu bas berikutnya. Jarak masa antara satu bas ke satu lagi ada lebih kurang dalam 45 minit.

Gila! Kau bayangkan dari KL nak ke Rompin, Pahang, dia pergi buat sistem bas ala RapidKL. Sejam boleh tahan lagi, ni dekat 5 jam beratur tunggu bas! Hancur plan nak tengok drama sinetron Filipina. Paling unik, naik bas tak payah tiket, tapi nak masuk tandas di terminal bas tu kena ada tiket pula. Apa benda ni.

Siapa potong barisan memang kami tak cakap banyak, terus sebat dengan batang GoPro.

Image via TSG #KasiJadi

Dalam jam 11.45 malam, akhirnya sampai giliran kami, itupun seorang kena berdiri. Bayangkan, 3 jam perjalanan, dia kena berdiri. Kami hanya mampu tengok, nak kesian pun dah tak larat, apatah lagi nak tolong. Saya, dapat tempat duduk terus tertidur.

6. Terpaksa check-in hotel di tengah malam gelap gelita masa hotel dah tutup

Dalaguete adalah sebuah pekan kecil yang semua orang tutup kedai untuk luangkan masa dengan keluarga pukul 7 petang. Lampu jalan pun tak berapa banyak. Kami tiba di Dalaguete jam 2 pagi. Suasana sangat krik-krik-krik. Bunyi anjing menyalak bersahutan seakan mengalu-alukan ketibaan kami. Mujur kami turun betul-betul seberang jalan berhadapan dengan pintu pagar hotel, yang dah tertutup rapat, dan dah siap dimanggakan. Tak mujur sangat rupanya.

Dengan keadaan pewai separuh sedar tapi masih lagi optimis, kami gigihkan diri menyeberang jalan terus ke pintu pagar berkunci tadi. Lama kami berpaut pada pagar tadi, menjenguk-jenguk ke kawasan halaman dalam hotel, tak berapa nampak sebab lampu yang menyala boleh kira dengan jari. Tak lama kemudian nampak kelibat pak guard datang ke arah kami. Menjerit, melompat keriangan kawan saya seorang ni.

Dah seperti burung kakak tua kami tawar-menawar dengan pak guard tadi. Hotel dah tutup katanya, receptionist pun dah balik, kami buat ayat kesian cakap nak tidur saja di pantai sebelah tu kalau dia x bagi masuk. Akhirnya pak guard tadi mengalah, dan bukakan pintu bilik untuk kami tidur. Urusan dengan receptionist dia kata boleh buat esok pagi lepas bangun. Lega sikit hati kami, ada juga tempat berehat selepas lebih kurang 22 jam bergerak. Akhirnya, jam 3 pagi dapat juga kami baring. Sebelum tidur sempat juga saya ingatkan ke ahli kumpulan, kita kena check-out awal pagi, dan bergerak terus ke Osmena Peak. Terdiam kawan-kawan saya.

Tempat persinggahan kami. Pagar putih belakang tu lah yang dah ditutup habis siap dimangga malam semalam. Selamat ada pak guard yang entah datang dari mana kami pun tak pasti.

Image via TSG #KasiJadi

7. Membonceng ke Osmena Peak

Pagi esoknya, rancangan kami untuk bergerak awal pagi terkandas. Semua terlajak tidur. Kami terpaksa anjakkan segala perancangan hari tersebut 2 jam ke hadapan. Sekitar jam 10 pagi, kami keluar dari hotel. Sempat kami bertanya kepada receptionist hotel tadi, macam mana nak ke Osmena Peak. Diterangkannya secara terperinci, dari hotel ke pick-up site untuk ke Osmena Peak, kami terpaksa berjalan lagi dalam 1 km, sebelum jambatan, akan ada orang yang buat servis ke Osmena Peak.

Apalah sangat menapak 1 km dengan beg berat kalau ditemani desiran ombak pantai dan bayu angin.

Image via TSG #KasiJadi

Sampai sahaja di kawasan yang diterangkan oleh receptionist tadi, di satu sudut kedai sebelum jambatan, kelihatan sekumpulan mat motor sedang rancak berborak sesama mereka, sambil merokok. Tiada apa-apa papan iklan ke Osmena Peak, saya beranikan diri bertanya kepada mereka. Mujur ada seorang yang boleh cakap omputih. Rupanya geng inilah yang buat servis penghantaran ke Osmena Peak. Kami ingatkan mereka ini mat rempit. Motor yang telah diubahsuai ini adalah pengangkutan normal untuk pelancong di sini, mereka panggil Habal-Habal.

Dengan tak pakai helmet, dan berhimpit 3 org satu Habal-Habal, berserta beg-beg kami yang besar gedabak, kami bertolak ke Osmena Peak, melalui kampung-kampung, jalan-jalan yang tak berturap, lereng-lereng bukit, tepi gaung. Memang gayat.

Pemandangan dari Osmena Peak yang menakjubkan sampai akak ni pun terpukau.

Image via TSG #KasiJadi

Puncak Osmena Peak adalah lebih kurang 1000 meter dari aras laut. Selepas lebih kurang 40 minit menaiki motosikal tadi, kami sampai ke ketinggian 900 meter. Baki pendakian 100 meter hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit, dan pemandangan di puncak, memang terbaik!

8. Dari Osmena Peak ke Kawasan Falls

Trek ke puncak Osmena Peak yang sangat unik. Terasa seakan berada di alam kayangan.

Image via TSG #KasiJadi

Rancangan asal kami adalah untuk turun sedikit ke Mantalongon, pekan kecil kira-kira 10 minit dari Osmena Peak. Dari situ kami perlu ambil bas tempatan untuk ke Kawasan Falls. Tapi sebaik sahaja turun dari Osmena Peak, rider tadi cuba menawarkan khidmat mereka untuk membawa kami terus ke Kawasan Falls.

Pada awalnya harga yang ditawarkan memang agak mahal, tetapi selepas dia dapat tahu yang kami ni memang jenis kedekut dan tak akan keluarkan duit sewenang-wenangnya, dia pun memberi kami tawaran yang memang sangat berbaloi. Dan sekali lagi, dengan tak pakai helmet, dan berhimpit 3 orang satu Habal-Habal, berserta beg-beg kami yang besar gedabak, kami membonceng lagi selama lebih kurang satu jam ke Kawasan Falls. Betapa sakitnya punggung, biar kami simpan sendiri.

Dengan beg disandarkan pada handle motor macamtu tak tahu lah macam mana nak belok kiri kanan.

Image via TSG #KasiJadi

9. Kawasan Falls ke Oslob - tunggu bas tak sampai-sampai

Kolam 1 Kawasan Falls, rahsia untuk ambil gambar tanpa kena photobomb dengan ratusan pelancong lain, stay sampai 7 malam.

Image via TSG #KasiJadi

Disebabkan jadual perjalanan kami dah lari 2 jam, kami terpaksa keluar agak lewat dari Kawasan Falls. Pelancong-pelancong lain mula bergerak keluar seawal jam 6 petang tapi kami, 1 jam selepas itu. Seakan hebat kami rasa kerana hanya kami berlima dan beberapa orang rakyat tempatan berada di kawasan tersebut, berbanding dengan waktu puncak petang tadi yang saya kira boleh sampai ratusan pelancong dari dalam dan luar negara.

Anda perlu melalui sungai berwarna azure untuk sampai ke Kawasan Falls, memang mengancam!

Image via TSG #KasiJadi

Perjalanan balik, kami perlu berjalan keluar lebih kurang 30 minit. Sampai saja di pintu masuk tadi, kami terpinga-pinga mencari pengangkutan untuk ke Oslob. Yang ada hanyalah van kecil berbentuk macam lori, dimodifikasi untuk membawa lebih ramai penumpang. Harganya pun mahal, tapi kami tak nafikan perjalanan dari Kawasan falls ke Oslob memang agak jauh, sepadan dengan harga yang ditawarkan, cuma bila kami buka wallet masing-masing, ah takpelah, naik bas jelah. Tak mampu nak naik van.

Kami buat keputusan untuk naik bas ke Samboan, dan dari sana, kami perlu menukar bas untuk ke Oslob pula. 30 minit menunggu, bas masih lagi tak sampai-sampai, jam dah pukul 7.30 malam, bas tetap tak muncul-muncul. Bayangkan kalau naik kereta pun ambil masa lebih kurang 2 jam, kalau naik bas tempatan rasanya boleh sampai 4 jam juga.

Tidak mahu peristiwa malam semalam berulang kembali, dan jadual kami terpaksa di anjak lagi, kami cuba bernegosasi dengan pemandu van tadi. Selepas dia benar-benar yakin yang kami tak mampu bayar sebanyak itu, barulah dia bersetuju dengan harga yang kami cadangkan. Mungkin juga sebab dia tahu tak kan ada pelanggan lain lagi sebab dah lewat malam. Bagus juga sebenarnya ambil van ni, kami minta dia terus hantar ke mana-mana hotel yang masih buka, tak perlu kami melilau mencari tempat penginapan.

Merempat di bahagian belakang van yang telah diubahsuai. 2 Jam perjalanan duduk macam ni. Best sebab berangin.

Image via TSG #KasiJadi

10. Whale Shark, Sumilon Island, dan trek pacak di Tumalog Falls

Pagi hari ketiga, kami bangkit awal. Pagi itu kami habiskan masa dengan aktiviti berenang bersama spesis jerung paling besar dan paling comel dalam dunia, Whale Shark. Mula-mula kami ingatkan kami akan dibawa ke tengah laut, seram juga bunyinya. Rupanya sesi Whale Shark watching dilakukan hanya 200 meter dari persisiran pantai. Kami ke sana dengan menggunakan bot nelayan DIY yang kecil tapi unik, tak sampai 10 minit pun perjalanan.

Kena photobomb dengan Whale Shark saat kami cuba ber-group photo. Nakal Whale Shark ni.

Image via TSG #KasiJadi

Selepas itu kami berkesempatan untuk melawat Sumilon Island, sebuah gugusan pulau kecil dengan laut jernih kebiruan tak ingat dunia dan pantai berpasir lembut. Pulang dari Sumilon Island, kami berkemas dan ready untuk check-out dari hotel dan untuk ke destinasi seterusnya, Tumalog Falls.

Reka bentuk unik bot untuk ke Sumilon Island ini buat kami teruja!

Image via TSG #KasiJadi

Seperti biasa kami ambil Habal-habal dari hotel terus ke Tumalog Falls. Perjalanan dari hotel ke pintu masuk air terjun ini tidaklah begitu jauh. Yang jauhnya, dari pintu masuk nak ke air terjun tersebut. Banyak servis motor yang membawa pelancong terus ke air terjun tersebut tapi seperti biasa, kami pilih untuk berjalan kaki. Kedekut punya pasal. Perjalanan pergi agak santai kerana kami hanya perlu menuruni cerun tetapi perjalanan balik, kami perlu melalui trek pacak, ada lah dalam 400 meter jauhnya.

Tumalog Falls ni memang besar gila.

Image via TSG #KasiJadi

11. Oslob ke Cebu City sambil tersangkut di dalam kesesakan trafik yang dahsyat

Lebih kurang jam 2 petang, dari Oslob, kami ambil bas tempatan menuju ke Cebu City. Hanya tunggu di tepi jalan utama, nampak bas dengan papan tanda Cebu di cermin depan, kami terus tahan dan naik. Perjalanan mengambil masa 3 jam lebih dan kami ambil peluang ini untuk berehat dan lelapkan mata. Sejurus bangun, kami sudah pun berada di kawasan bandar Cebu dan bas sedang menayangkan filem 127 Hours. Kami tersangkut di dalam kesesakan trafik waktu petang di Cebu, tambah lagi 1 jam dari masa 3 jam tadi. Kesesakan trafik dia memang luar biasa.

Tiket bss menuju ke Cebu City, masih menggunakan sistem puncher. Sangat klasik.

Image via TSG #KasiJadi

12. Pencarian hotel di Cebu City dengan saki-baki wang ciput di dalam wallet

Kriteria hotel kami untuk malam terakhir ini, kami tetapkan ia mestilah murah, selesa dan berdekatan dengan SM City Mall. Kerana esok awal pagi kami ingin membeli belah buat kali terakhir di mall tersebut sebelum pulang. Berbekalkan apps AirAsia Go untuk mencari lokasi hotel dan survey harga, kami berpusing-pusing di bandar Cebu dengan berjalan kaki untuk mencari hotel yang sesuai. Selepas keluar masuk lebih kurang 3 hotel, kami ambil keputusan untuk menginap di Sugbutel Hotel yang jaraknya hanya 1 km dari SM City Mall. Harganya berpatutan, receptionist pun cantik dan nama hotelnya juga agak fancy. Apa lagi kami mahu?

Sebab segalanya lebih menarik di Philippines!

Image via TSG #KasiJadi

13. Masa yang terhad – hari terakhir

Pagi terakhir di Cebu, kami mulakan dengan bermalas-malasan sambil menikmati pemandangan pelabuhan dari tingkap hotel. Selepas checkout, kami terus menapak lagi ke SM City Mall. Kami hanya ada masa lebih kurang 3 jam sahaja untuk window shopping dan melihat apa yang ada di pusat membeli belah ketiga terbesar di Filipina itu.

Tahukah anda pemain Dota 2 dari satu dunia bergabung pun belum tentu lagi dapat melawan kehandalan pemain-pemain Dota 2 dari Filipina. Pinoy Doto Best Doto!

Image via TSG #KasiJadi

Percubaan untuk mencari souvenir murah di sini gagal, semua barang harga membunuh. Peso pun dah kurang, nanti nak keluar Filipina ada lagi kena bayar terminal fee. Cari punya cari, kami sempat juga jumpa tempat cari souvenir murah di kawasan Mactan Shrine berdekatan dengan airport. Apa lagi, berlari kami dapatkan teksi untuk ke sana kerana masa hanya tinggal lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja lagi.

14. Beg sangkut di mesin imbas sebelum meninggalkan Cebu

Flight pulang kami jam 3 petang. Kami tiba di airport seawal jam 1.30 petang kerana takut terjadi apa-apa kesulitan. Selamat semua beg kami bawa masuk cabin, tak berlu beratur panjang untuk drop luggage.

Seperti biasa kami berjalan melepasi security checkpoint. Beg kami lalukan di conveyer belt untuk masuk ke mesin imbas. Saya melepasi gate sekuriti tanpa sebarang masalah, tapi lain pula ceritanya dengan beg saya. Saat saya menunggu beg saya melepasi mesin imbas, saya terkejut melihat muka akak polis yang menjaga mesin itu terkejut. Kami sama-sama terkejut.

Aduh, saya lupa nak keluarkan gas memasak dari dalam beg. Penat saya explain kepada akak polis tadi yang kami datang ke Cebu untuk berkhemah, gas itu kami beli di SM City Mall, terlupa nak keluarkan masa berkemas untuk pulang pagi tadi. Selepas memohon maaf berjuta kali dan membuat muka kesian, akhirnya akak polis tadi memberi kebenaran untuk saya masuk ke kawasan boarding, dengan amaran supaya lebih berhati-hati selepas ini.

Kami teruskan perjalanan ke departure gate dan kami disambut mesra dengan pramugari cantik AirAsia. Hilang terus rasa cuak tadi. Tapi rasa sedih untuk meinggalkan Cebu, masih lagi kami rasa rindu hingga saat ini. Sampai sekarang, kadang-kadang kami masih lagi tersenyum seorang diri bila kenangkan kembali detik-detik sepanjang berada di Cebu. Dan bila kami fikir balik, kami pun pelik macam manalah kami boleh survive dengan segala penderitaan yang kami dah senaraikan di atas.

Projek Cebu #kasijadi dah jadi. Syukur.

Ini dia itinerari ground cost kami di Cebu:

Image via TSG #KasiJadi
Image via TSG #KasiJadi

Suffer memang suffer, tapi bila tengok video ni kami rasa berbaloi gila!

Follow kami di Instagram @tsgkasijadi untuk lebih banyak adventure dan gambar-gambar yang WOW!

TSG #KasiJadi adalah sekumpulan sahabat yang tak henti-henti berkeliaran. Mana kami mahu pergi, kami kasi jadi!

A photo posted by TSG #KasiJadi (@tsgkasijadi) on

Baca juga tentang trip TSG ke Koh Lipe DI SINI:

Leave a comment