[SHARE] Benarkah Wanita Diharamkan Menjadi Imam Kepada Lelaki Dalam Solat?
Ada yang cakap haram, ada yang cakap tak haram.
Boleh atau tidak jika seorang perempuan menjadi imam dalam solat, dengan jemaahnya mengandungi kaum adam?
Jawapan bagi soalan ini tentunya agak straightforward bagi kebanyakan orang Islam, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Masing-masing merasakan kaum hawa tidak sepatutnya menjadi imam kepada jemaah lelaki.
Wanita dibenarkan menjadi imam hanya kepada jemaah wanita sahaja. Hal ini memang telah sedia maklum oleh majoriti umat Islam. Hukumnya haram dan tak perlu dibahaskan lagi.
Meskipun begitu, isu imam wanita ini semakin menjadi-jadi dan semakin mendapat tempat di negara luar. Salah satu yang terawal adalah Amina Wadud pada tahun 2005 di USA.
Seorang profesor di Amerika Syarikat telah menjadi wanita Muslim pertama memimpin solat Jumaat bercampur jantina. Lebih daripada 100 lelaki dan wanita menghadiri perkhidmatan dan khutbah yang diberikan oleh Amina Wadud, profesor Pengajian Islam di Virginia Commonwealth University.
Perbuatan ini mendapat kritikan hebat oleh beberapa pemimpin Islam, yang mendakwa ia bertentangan dengan ajaran Islam. Tempat bagi mengadakan solat Jumaat ini juga terpaksa dipindahkan ke sebuah bangunan Gereja Anglican di New York selepas mendapat tentangan daripada pihak masjid di situ.
"Isu kesaksamaan jantina adalah satu yang sangat penting dalam Islam. Malangnya, umat Islam telah menggunakan tafsiran yang sangat ketat dan terkebelakang."
"Perkhidmatan solat Jumaat ini menunjukkan bahawa kita sedang melangkah ke hadapan. Ini merupakan simbolik kemungkinan dalam Islam," ujar Amina Wadud.
Jemaah yang menghadiri dibahagikan sama rata antara lelaki dan wanita. Kebanyakan wanita dilihat memakai tudung dan jubah, tetapi ada juga yang tidak menutup kepala dan melepaskan rambut.
Selepas itu, muncul pula seorang penulis dari Kanada, Raheel Raza yang dijemput untuk menjadi imam di Oxford, England pada tahun 2011
Seorang penulis dari Kanada menjadi wanita Islam pertama membawa jemaah British bercampur jantina menunaikan solat Jumaat dalam satu gerakan yang sangat kontroversi serta mencetuskan perbahasan tentang peranan kepimpinan wanita dalam Islam.
Raheel Raza, seorang aktivis hak asasi dan penulis berpangkalan di Toronto, diminta untuk memimpin solat dan menyampaikan khutbah dalam satu majlis solat kecil di Oxford, England.Beliau telah dijemput oleh Dr Taj Hargey, seorang lelaki Muslim Eropah yang menggelarkan dirinya sebagai imam. Dr Taj mempunyai fahaman Islam ultra-liberal termasuk membenarkan lelaki dan wanita solat bersama-sama dan mempercayai bahawa imam perempuan seharusnya membawa jemaah bercampur di dalam solat.
Raheel Raza merupakan sebahagian daripada kumpulan feminis Muslim kecil yang cuba untuk mencabar pemikiran tradisional bahawa golongan wanita tidak sepatutnya diberi peranan untuk menjadi imam
Kumpulan kecil ini berhujah, tidak ada mana-mana ayat dalam Al-Quran yang melarang wanita menjadi imam sama sekali. Sebaliknya, para ulama banyak bergantung kepada hadis-hadis yang mengecualikan wanita. Mereka menganggap hadis-hadis ini tidak cukup kuat untuk menjadikan wanita terkecuali daripada tugas menjadi imam.
"Ini bukan soal mengambil tugas lelaki atau menentang ajaran Islam. Ia lebih kepada mengingatkan umat Islam bahawa 50 peratus daripada penganutnya adalah wanita yang sama dengan lelaki. Wanita juga sama-sama prihatin dan layak didengar," katanya.
Namun, Raheel Raza mengakui pernah menerima ancaman bunuh selepas mengetuai solat berjemaah bercampur jantina di Toronto suatu ketika dahulu.
Bukan itu sahaja. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, penglibatan wanita dalam hal ehwal masjid dilihat semakin meningkat, terutamanya menjadi imam. Ini merupakan satu trend yang amat membimbangkan.
Secara tidak langsung, hal ini memberi gambaran dan persepsi berbeza terhadap peranan wanita dalam Islam pada abad ke-21 ini. Walaupun ada sesetengah yang menyokong, majoriti umat Islam dipercayai menentang konsep wanita menjadi imam kepada lelaki. Antara hujah-hujah popular yang sering disebut ialah:
1. Islam mengharamkannya
2. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam
3. Para ulama telah merujuk hadis-hadis sahih yang melarang perbuatan ini
4. Wanita Islam tidak sepatutnya menjadi seperti feminis barat yang mahu bertanding dengan lelaki dalam setiap perkara
Persoalannya, boleh atau tidak wanita mengimamkan lelaki?
Isu utama dalam tindak tanduk terbaru Amina Wadud ialah menjadi imam sembahyang Jumaat, membaca khutbah dan setiap saf-saf sembahyang Jumaat itu bercampur aduk lelaki dan wanita. Tindakan tersebut menerima kecaman ulama di seluruh dunia, antaranya Syeikh Yusuf al-Qaradawi.
Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, fuqaha bersependapat wanita diharamkan menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah. Pendapat ini berdasarkan pengajaran dan bukan berdasarkan adat sesuatu kaum seperti mana yang didakwa.
"Tidak pernah terjadi dalam sejarah Islam seorang wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbah, Tidak ada seorang fuqaha pun bersetuju membenarkan wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbahnya," tegasnya.
Dalam peraturan menunaikan solat berjemaah lelaki dan perempuan, Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama.” - (Riwayat: Muslim).
Hadis ini adalah hadis sahih. Ini adalah peraturan dan disiplin sembahyang berjemaah dalam beribadah kepada Allah. Islam membenarkan wanita menjadi imam kepada makmum wanita saja.
Beberapa hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Darqatani menyatakan Aisyah dan Ummu Salamah (isteri-isteri Rasulullah) menjadi imam kepada jemaah wanita saja. Tempat duduk bagi imam wanita pula adalah dalam saf yang pertama sebaris dengan makmum, tidak terkedepan seperti mana peraturan kedudukan imam lelaki.
”Perempuan jangan menjadi imam kepada seorang lelaki”. (Riwayat Ibn Majah 1081)
Islam memberi persamaan hak berdasarkan keadilan kepada lelaki dan perempuan. Peraturan pengasingan lelaki dengan wanita dalam ibadah sembahyang menunjukkan Islam adalah agama yang tersusun dan bersistem. Ia sebenarnya memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada semua pihak.
Tindakan kontroversi seorang wanita menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah jelas sekali tidak mengambil kira ketinggian martabat dan kehebatan hakikat sembahyang itu.
Pendapat ini juga tidak lari daripada pendapat imam al-Nawawi. Menurut beliau, tidak sah imam perempuan dan khunsa kepada lelaki sama ada solat fardhu atau sunat. (Al-Imam al-Syafie. 1993, hal 292.)
Tambahan lagi, pendapat yang mengatakan wanita layak menjadi imam sembahyang adalah tidak kuat
Ini adalah kerana ia tidak pernah berlaku di zaman Rasululullah, sahabat dan tabiin. Oleh itu, apa yang diamalkan itu adalah bid’ah.
Selain itu, ulama dalam lapan mazhab Islam yang diiktiraf sepakat tidak membenarkan wanita menjadi imam solah fardhu kepada jamaah lelaki yang ajnabi kerana tiada nas yang sahih menyokong perbuatan tersebut. Pendapat Imam Muzani dan Abu Thaur yang mengharuskan wanita mengimami lelaki juga lemah.
Selain itu, didapati Amina Wadud, mendirikan solat Jumaat itu bukan untuk keredhaan Allah tetapi hanya untuk membuktikan persamaan hak gender.
Hujah ini cukup jelas menunjukkan bahawa Islam menolak ideologi liberalisme yang terus terang bercanggah daripada ajaran Islam yang sebenar. Semoga bermanfaat kepada kita semua :)
Sumer rujukan: independent.co.uk, bbc.co.uk & JAKIM.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!