Kisah Menarik Rakyat Malaysia Bergelar Frontliner Ketika PKPP. Memang Terhibur Habis!
Ingat! Kita semua adalah frontliner.
Memandangkan kerajaan mengumumkan untuk menyambung semula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini
Kita semua disarankan untuk meneruskan usaha dalam mencegah dan mengawal penularan wabak Covid-19.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita semua adalah frontliner yang berada di barisan paling hadapan dan memikul tanggungjawab yang sangat berat untuk melindungi keluarga, komuniti serta negara daripada wabak maut ini.
Jadi, kali ini kami kongsikan antara pengalaman menarik dan situasi rakyat Malaysia sebagai frontliner sepanjang tempoh PKPP. Ada yang lucu, ada yang mencabar. Anda ada pengalaman macam ni tak?
“Susah nak suruh anak pakai mask, tapi saya kena kreatif” - Puan Faraliza, Ibu
“Dalam setiap keluarga, ibu memang memainkan peranan penting. Walaupun sibuk dengan kerjaya, tapi dalam soal menjaga kebersihan dan keselamatan anak-anak memang tiada kompromi!”.
“Mula-mula tu susah nak biasakan anak pakai mask, sampai nak kena main kejar-kejar. Tapi kita sebagai ibu kena kreatiflah. Contohnya, saya akan beli mask bergambar kartun ataupun superhero kegemaran anak-anak untuk menggalakkan mereka memakai mask. Lama-lama mereka pun seronok dan setiap kali keluar, mereka sendiri yang akan minta nak pakai mask,”
“Bila ke sekolah pula, saya akan pastikan mereka membawa hand sanitizer dan selalu berpesan untuk mencuci tangan. Siapa yang mencuci tangan dengan kerap, balik dari sekolah nanti, saya akan upah dengan aiskrim”.
“Mencabar juga nak awasi murid-murid untuk jaga SOP, tapi ada caranya..” - Ms. Shalini, Guru tadika
Semenjak sekolah dibuka, cikgu-cikgulah yang paling sibuk untuk patuhi SOP. Bukan mudah nak mengawal pelajar dalam jumlah yang ramai, tambah-tambah kanak-kanak yang masih kecil.
“Kanak-kanak ni, kalau kena dengan caranya, mereka akan senang mendengar kata. Di sekolah, kami mengamalkan sistem sticker and rewards. Setiap kali mereka mematuhi SOP seperti membasuh tangan dan melakukan penjarakan fizikal, mereka akan diberikan sekeping pelekat berbentuk bintang untuk dilekatkan di buku khas”.
“Di akhir setiap minggu, siapa yang mengumpul pelekat bintang paling banyak, akan diberikan ganjaran istimewa. Dengan itu, mereka akan lebih bersemangat untuk datang ke sekolah, sekaligus mematuhi SOP”.
“Mencabar nak pastikan pelanggan ikut SOP” - Azman, Peniaga
Bersyukur sudah dibenarkan meniaga, namun Azman merasakan agak mencabar untuk memastikan pelanggannya menjaga jarak semasa membeli jualannya.
“Bayangkan, macam-macam ragam, ada yang duduk dekat-dekat semasa membeli dan ada juga yang tak pakai mask!”
“Jadi, apa yang saya lakukan adalah, saya akan meletakkan tali di sekitar meja jualan saya dalam jarak 1 meter supaya pembeli dan penjual tidak berurusan terlalu dekat. Saya juga akan gunakan bakul untuk pembeli membayar wang dan meletakkan baki di situ. Jadi, takdelah kami bersentuhan”.
“Ada yang degil, nak check suhu di kaki!” - Badur, Pengawal keselamatan
Bila ditanya apakah cabaran yang paling besar pernah dilaluinya sepanjang bertugas sebagai pengawal keselamatan, Badur mengakui tempoh PKPP ini adalah yang paling sukar.
“Bayangkan, bermacam-macam ragam orang yang saya kena hadap setiap hari. Ramai yang patuh, tapi ada juga yang degil. Pernah terjadi, seorang pengunjung tidak memakai mask dan tak mahu diperiksa suhunya di dahi. Sebaliknya, dia menghulurkan kaki dan suruh saya ambil suhu dari situ,”.
“Memang penat dan kadang-kadang rasa nak naik angin, tapi bila memikirkan ini adalah tanggungjawab, saya ikhlaskan hati demi menjaga keselamatan rakyat Malaysia,”
Kita semua adalah frontliner. Jom sama-sama amalkan 3W!
Lepas baca semua pengalaman menarik rakyat Malaysia ni, penulis terus rasa bersemangat, membayangkan pengorbanan mereka walaupun kadang-kadang berdepan dengan situasi yang pelik.
Oleh itu, jom semua jalankan tanggungjawab kita dan teruskan menjaga keselamatan diri dengan norma baharu kehidupan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sentiasa amalkan pendekatan 3W iaitu iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran (warn) dari KKM seperti tidak bersalaman, etika batuk dan bersin yang betul, duduk di rumah dan lain-lain.
Elakkan 3S atau 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit dan tertutup (confined space) serta elakkan bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).
Selain itu, kita juga wajib mematuhi SOP iaitu syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah PKPP.
Memang agak sukar untuk biasakan diri dengan norma baharu ni, tetapi dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia, tak mustahil untuk kita berjaya putuskan rangkaian COVID-19!
Artikel di atas dipetik daripada portal OHBULAN! dan diterbitkan semula oleh SAYS Seismik.