"Cacat Pada Mata Orang Lain, Tapi Anugerah Pada Saya" - Sisi Sebenar Hidup Dato' Rizalman

Setiap individu perlu tahu kelebihan diri masing-masing dan anda perlu percaya pastinya ada sebab dan musabab akan sesuatu itu berlaku.

Sebut saja nama Dato' Rizalman Ibrahim, pastinya satu Malaysia sudah mengenali ikon fesyen ternama tanah air ini. Beliau bukan sahaja dikenali di Malaysia, malah juga di rantau Asia Tenggara.

Berjiwa besar dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara adalah antara elemen yang membawa kejayaan kepada beliau hari ini.

Namun, bak kata pepatah "yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang". Segala kejayaan yang beliau kecapi hari ini pastinya bermula dengan perih jerih dan cabaran yang beliau harus tempuhi dulu.

Dibesarkan di dalam keluarga yang sederhana dan berasal dari Penang, Dato' Rizalman Ibrahim mengakui sejak kecil lagi beliau sudah bercita-cita untuk menjadi seorang designer. Beliau menghasilkan selimut buatannya sendiri dan sering menghias biliknya untuk kelihatan cantik dengan mengikut citarasanya sendiri.

Menurutnya, pada mulanya beliau berasa pelik dengan minatnya itu kerana agak jauh berlainan dengan minat dan aktiviti kanak-kanak lelaki yang lain.

Image via ELLE

"Sejak kecil lagi saya sudah mempunyai minat untuk menghias bilik, jahit selimut saya sendiri dan macam-macam lagi. Mula-mula macam pelik juga kenapa saya minat berbuat sedemikian sedangkan kanak-kanak lelaki lain lebih suka bermain bola dan sebagainya.

"Akhirnya baru saya sedar ini adalah kelebihan yang Allah SWT berikan kepada saya untuk menjadikan saya seorang yang berguna dan menjadi inspirasi kepada orang lain," katanya.

Apabila ditanya tentang memori yang paling beliau tidak dapat lupakan dan sering menjadi motivasi beliau untuk terus berjaya, beliau beri jawapan yang sangat simple iaitu, “Gaji pertama saya.”

Setelah bertungkus lumus belajar selama 4 tahun di UiTM dengan hasil wang pembiayaan bapanya yang merupakan seorang pesara, Dato' Rizalman memberitahu gaji pertama yang beliau terima sewaktu pertama kali bekerja adalah sebanyak RM300 saja.

Image via Life Inspired

"Memang tak boleh saya lupakan gaji pertama yang saya dapat hanyalah sebanyak RM300. Bayangkan dengan gaji banyak tu memang sangat susah nak teruskan hidup di Kuala Lumpur waktu tu.

"Memang sedih sangat-sangat dan kalau diikutkan status khidmat masyarakat waktu tu saya boleh dikategorikan sebagai seorang yang sangat miskin. Disebabkan itu saya terus berusaha untuk berjaya bagi membalas semula jasa orang-orang yang banyak membantu saya dulu," ceritanya sambil tersenyum.

Seperti yang dilalui insan hebat di luar sana, beliau juga tidak lari daripada diduga dan terpaksa menempuh pelbagai cabaran untuk menjadi dirinya hari ini

Katanya, cabaran paling besar yang beliau hadapi adalah perwatakan lembut dalam dirinya. Pernah satu masa beliau berasa tertekan sehingga rasa seperti mahu bunuh diri kerana sifatnya yang sangat berlainan dengan kanak-kanak lelaki lain.

"Masa budak-budak dulu saya selalu tertanya-tanya kenapa saya ni lembut dan tak macam budak lain. Rasa marah juga dengan mak ayah waktu tu sebab mereka asyik paksa saya main bola lah, panjat pokok lah dan macam-macam lagi.

Image via Life Inspired

"Saya sendiri waktu itu tak faham mengapa saya begini. Akhirnya, bila dah besar ni baru saya faham ini adalah anugerah yang Allah SWT berikan kepada saya yang mungkin adalah kecacatan pada mata orang lain tetapi kelebihan bagi diri saya," ceritanya dalam keadaan sebak.

Sambungnya lagi, setiap individu perlu tahu kelebihan diri masing-masing dan anda perlu percaya pastinya ada sebab dan musabab akan sesuatu itu berlaku.

Sepanjang 25 tahun dalam industri, beliau didatangi dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam pelbagai bentuk. Katanya, cara yang paling berkesan menghadapi cabaran adalah dengan bermusahabah diri.

"Cabaran itu memang selalu datang dan selalunya kita akan fikir cabaran itu ibarat satu sumpahan orang atau sesuatu yang tidak baik diberikan tuhan. Tetapi sebenarnya, setiap kali dugaan itu datang, kita perlu bertanya semula kepada diri kita akan apa kita telah lakukan yang menyebabkan rezeki itu tak masuk dan kenapa Allah SWT tak sayang kita.

"Bila kita bermuhasabah dan senang kata bertaubat, semua benda akan jadi cantik. Itu memang apa yang saya lalui sendiri. Jangan salahkan orang lain dulu tetapi fikir apa yang perlu kita betulkan," sambungnya lagi.

Untuk berjaya dalam sesuatu bidang, ia bukanlah sesuatu yang mudah namun ia juga bukanlah sesuatu yang mustahil. Menurut Dato' Rizalman, formula untuk berjaya adalah "Jangan malas!"

Ujarnya tuhan sudah berikan kita kesihatan, rezeki, masa dan sebagainya. Kita perlu gunakan sepenuhnya. Jangan sesekali malas, berbuat baik dan jangan tinggalkan solat lima waktu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu untuk berjaya setiap orang perlu mempunyai sifat ego.

Image via Life Inspired

"Saya seorang yang ego. Saya tak nak orang lawan saya. Sifat ego yang saya maksudkan ialah sifat ego yang positif. Sifat ego yang membawa kepada kebaikan.

"Macam saya, bila orang dah start jahit baju raya tahun ni, saya dah start jahit dua tahun awal lagi. Kita perlu advanced dan bertindak cepat. Orang tidur kita berjaga, orang lain pergi bercuti kita kerja, orang pergi makan kita habiskan kerja dulu baru kita makan," terangnya.

Menjadi seorang RIZALMAN bukanlah mudah. Pelbagai pahit manis yang perlu dilaluinya seharian untuk berada di tahap beliau sekarang.

Oleh itu, Life Inspired, dengan bangganya memperkenalkan siri terbaru yang pasti menjadi kegemaran ramai berjudul 'RIZALMAN' yang memaparkan aktiviti harian ikon stail Malaysia ini.

Siri lapan episod ini akan menyoroti kehidupan harian Dato' Rizalman sebagai pereka, penghias dalaman, guru fesyen terkenal, perancang majlis dan perkahwinan, usahawan, dan bapa kepada dua anak lelaki.

Kenali dengan lebih dekat bersama pereka terulung ini tentang bagaimana beliau seimbangkan peranannya di antara jadual kerja dan keluarga, sekali gus memahami cetusan sumber ilham di sebalik setiap karya seni Rizalman.

Saksikan tayangan perdana 'RIZALMAN' pada 30 Mei ini di Life Inspired saluran Astro 728 HD jam 10 malam.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Leave a comment