Saintis Temui Cara Baru Masak Nasi Yang Kurangkan 50% Kalori. Bagaimana?
Sekarang tidak perlu elak lagi makan nasi.
Sedia maklum, nasi adalah makanan ruji masyarakat kita. Ia bukan saja mudah untuk didapati malah sesuai dimakan dengan apa jenis masakan. Makanlah dengan lauk apa sekalipun, pasti akan tetap berselera!
Namun, kalau diperhatikan kini sesetengah masyarakat Malaysia juga cuba mengelak daripada memakan nasi kerana dikatakan mengandungi kalori yang tinggi. Selain itu, pengambilan nasi yang banyak juga boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan penyakit serius seperti diabetes.
Tetapi tahukah anda baru-baru ini, para saintis telah menemui cara baru memasak nasi yang boleh merendahkan kalori yang terkandung di dalamnya?
Seorang pelajar sarjana muda di Kolej Sains Kimia di Sri Lanka, Sudhair James bersama mentornya telah menemui cara baru untuk memasak nasi yang boleh mengurangkan kalori sebanyak 50 peratus.
Bukan itu saja, cara tersebut juga mampu memberi beberapa manfaat kesihatan terhadap tubuh badan manusia. Cara ini adalah manipulasi kimia ringkas yang melibatkan beberapa langkah mudah yang juga cukup senang diamalkan.
Sedikit berbeza dengan cara memasak nasi biasa, air terlebih dahulu perlu dididihkan dan ia perlu dimasak di atas dapur menggunakan api.
"Caranya mudah, apabila air mendidih, sebelum menambah beras mentah, anda perlu menambah minyak kelapa kira-kira 3 peratus daripada berat beras yang anda akan masak," kata Sudhair James, yang membentangkan kajian awal beliau dalam Mesyuarat Negara & Ekspo Persatuan Kimia Amerika.
Beliau berkata lagi, setelah siap dimasak, biarkan ia di dalam peti sejuk selama 12 jam sebelum dihidangkan.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana ia berlaku? Untuk memahami apa yang berlaku, anda perlu memahami sedikit mengenai konsep kimia makanan.
Tidak semua kanji terhasil sama. Sesetengah daripadanya dikenali sebagai digestible starch, yang mana mengambil hanya sedikit masa untuk dihadam. Ia akan bertukar dengan menjadi glukosa, dan kemudian glikogen setelah dihadam.
Sementara itu, kanji yang dipanggil resistant starch mengambil masa yang lama untuk diproses oleh badan. Ia tidak bertukar menjadi glukosa atau glikogen kerana kita tidak mempunyai keupayaan untuk mencernanya.
Menurut Profesor Dr. Pushparajah Thavarajah yang merupakan penyelia kepada penyelidikan tersebut, jika digestible starch dalam sesuatu seperti nasi kukus boleh dikurangkan, maka jumlah kalori nasi tersebut juga boleh dikurangkan
James dan Thavarajah menguji lapan resipi yang berbeza pada 38 jenis nasi yang ada di Sri Lanka. Apa yang mereka dapati adalah bahawa dengan menambah lipid (minyak kelapa) sewaktu memasak nasi, dan kemudian menyejukkannya serta-merta selepas ia siap dimasak, ia dapat mengubah composition nasi tersebut menjadi lebih baik.
"Minyak ini berinteraksi dengan kanji beras dan mengubah bentuknya, " kata James kepada The Washington Post semasa ditemuramah.
Tambahnya lagi, proses menyejukkan nasi tersebut mempercepatkan penukaran kanji. Hasilnya adalah hidangan menjadi lebih sihat , walaupun anda memanaskan ia semula.
SUMBER: The Washington Post
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!