"Saya Tak Tahan Lagi. Saya Mahu Pindah" - Catatan Dan Diari Akhir Thaqif Sebelum Pergi
"Tolong makbulkan doaku Ya Allah" - Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi.
Semalam, seluruh rakyat Malaysia bersedih atas pemergian adik Mohamad Thaqif Amin, 11, pelajar sekolah tahfiz yang akhirnya menemui ajal setelah menderita akibat dipukul oleh pembantu warden di sekolahnya
Sebelum pemergiannya, Mohamad Thaqif telah menjalani pembedahan pada kedua-dua belah kakinya disebabkan darah beku dan jangkitan kuman yang telah merebak ke buah pinggang.
Bagaimanapun, dia tidak mampu bertahan dan akhirnya meghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.05 petang semalam di Hospital Sultan Ismail semasa keluarganya sedang membaca doa untuknya.
Laporan Harian Metro semalam memberitahu bahawa bapanya Mohd Gaddafi Mat Karim, 43 menemui beberapa nota kecil Thaqif yang ditulis dan dilekatkan di dalam Al-Quran miliknya
Catatan tersebut dipercayai dibuat ketika Allahyarham mula mendaftar di sekolah tahfiz di Kota Tinggi, Johor, Januari lalu dan catatan itu diserahkan kepada Exco Pemuda UMNO Malaysia, Dazma Shah Daud yang menziarahi Allahyarham di Hospital Sultan Ismail (HSI), 1 tengah hari semalam.
Dalam catatan tersebut Allahyarham seolah-olah memberi semangat kepada diri sendiri dengan menulis "Saya mahu jadi Huffaz dalam masa dua tahun. Saya pasti saya boleh. Kau boleh Thaqif."
Selain itu, Allahyarham juga ada menulis cara-cara untuk menjadi Huffaz antaranya "...dengar cakap ibu, jaga solat lima waktu, dan menghafal surah yang senang-senang dahulu."
Selain itu, catatan terkahir diari Allahyarham juga turut dijumpai. Dalam catatan tersebut Thaqif berhasrat untuk berpindah sekolah kerana telah ditumbuk tanpa sebab.
Thaqif juga berdoa agar tuhan membukakan pintu hati ibu bapa dan gurunya untuk membenarkannya menukar sekolah.
Thaqif telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi tengah malam tadi.
Salam takziah diucapkan buat semua ahli keluarga Allahyarham dan semoga Allahyarham tenang di sana.
Al-Fatihah...