SAYS EXCLUSIVE: Pereka Grafik Filem The Hobbit & Lucy Dedah Rahsia Imaginasi Luar Biasa
Eduardo Peña, pereka grafik profesional dari Colombia bercakap kepada penulis SAYS, Farouq Johari tentang kehidupan, 'magic', minda kanak-kanak, imaginasi dan banyak lagi.
Kami pasti ramai peminat filem di Malaysia sudah sedia maklum dengan kedua-dua filem tersebut. Apa anda rasa selepas melihat grafik dalam filem The Hobbit dan Lucy? Mesti kagum bukan?
Seorang individu penting dalam pembikinan seni visual yang mengagumkan ini ialah Eduardo Peña, pereka grafik profesional dari Colombia
Selain dua filem di atas, Eduardo Peña turut menghasilkan seni grafik bagi filem Hercules dan juga Transcendence
Farouq Johari dari SAYS berpeluang untuk menemu ramah Eduardo Peña secara peribadi pada TedxYouth@KL yang berlangsung pada Sabtu, 22 November 2014 bertempat di The Temple of Fine Arts, Brickfields. Ikuti perbualan mereka di bawah:
FJ: Pertama sekali, ceritakan sedikit tentang latar belakang kehidupan dan pendidikan anda.
Eduardo: Saya dilahirkan dan dibesarkan di Colombia. Saya mula berkecimpung dalam bidang grafik selepas dipegaruhi oleh ayah saya. Dia seorang arkitek. Ayah saya memperkenalkan kepada saya tentang reka bentuk, bahasa grafik dan sifatnya. Atas dasar minat, saya selepas itu benar-benar ingin meneruskan kerjaya dalam bidang ini. Ahli keluarga saya sangat menyokong dan mendorong saya untuk mencapai impian saya.
Selepas menimba ilmu yang mendalam, saya mula mengembangkan bakat saya kepada permainan video dan juga industri perfileman. Saya sangat bertuah apabila berpeluang melibatkan diri dalam projek filem The Hobbit Trilogy. Selain filem itu, saya turut terlibat dengan filem Hercules lakonan Dwayne Johnson, Transcendence lakonan Johnny Depp dan juga Lucy lakonan Scarlett Johansson. Tugas saya adalah untuk membangunkan dan mencipta dunia fantasi untuk diterjemahkan ke dalam filem-filem tersebut.
FJ: Semasa pembentangan anda di atas pentas sebentar tadi, anda ada sebut mengenai imaginasi tiada sempadan. Jadi, bagaimana anda mendapatkan ilham, inspirasi dan imaginasi untuk mereka cipta dunia fantasi filem-filem ini? Adakah ia sukar?
Eduardo: Sebagai seorang pereka grafik, saya perlu menghasilkan visual yang luar biasa untuk menarik perhatian para pengarah dan juga penonton. Ia sememangnya sangat mencabar namun saya mempunyai metodologi dan fahaman saya sendiri. Bagaimana saya lakukan? Saya jadikan diri saya sebagai seorang kanak-kanak. Ini kerana sebagai kanak-kanak, anda sentiasa mendapat inspirasi yang berbeza, dapat melihat peluang dengan lebih luas di depan mata anda dan segala benda dianggap seperti 'magic'. Jadi apabila sudah dewasa, anda mula meletakkan logik ke dalam 'magic' ini.
Kanak-kanak memahami realiti dalam cara yang berbeza. Realiti bagi mereka adalah perkara ajaib atau 'magic'. Itulah realiti dari mata kanak-kanak. Anda perlu mempunyai tubuh seorang dewasa tetapi hati dan fikiran sebagai seorang anak kecil yang sedang belajar mengenali dunia. Saya menjadikan hati dan minda saya sebagai seorang kanak-kanak, dan menggunakan logik akal seorang dewasa untuk berkomunikasi dan menyampaikan mesej.
FJ: Adakah anda perlu bekerja rapat dan seiring dengan pengarah filem? Bagaimana pula dengan para pelakon?
Eduardo: Kebanyakan projek filem yang saya terlibat, saya bekerja dengan rapat bersama pengarah filem. Mereka memerlukan seseorang untuk menggambarkan dan membina dunia fantasi ke dalam filem mereka. Pereka grafik perlu membinanya daripada kosong atau 'scratch'. Jadi pengarah filem lebih tahu apa yang mereka mahukan dalam filem mereka. Saya juga perlu pastikan reka bentuk saya itu mempunyai struktur, fungsi serta nilai estetika sebagai satu produk seni yang mengagumkan.
Kerja saya tidak ada kena-mengena dengan pelakon. Saya hanya bekerja untuk menghasilkan visual yang terbaik sepertimana yang digambarkan oleh pengarah filem. Itu sahaja.
FJ: Apa pandangan anda mengenai budaya memuat turun filem secara haram dari Internet? Anda juga pasti sedia maklum bahawa ada individu di luar sana yang tidak mahu membazirkan duit menonton filem di pawagam.
Eduardo: Pada saya tiada masalah. Saya juga pernah melakukannya sebelum ini. Saya tidak memiliki sebarang hak cipta terhadap sesebuah filem. Saya seorang artis, bukan seorang ahli perniagaan. Saya hanya mengambil berat dalam menyampaikan kualiti kerja yang bagus supaya orang mampu menghargai hasil seni yang saya lakukan. Jika seseorang menghargai hasil kerja saya, pada saya itu sudah cukup baik.
Tetapi harus diingat, pawagam direka untuk anda menikmati dan mengalami dunia fantasi dalam filem. Saya tidak kisah jika anda memuat turun filem secara tidak sah tetapi anda pastinya tidak dapat merasai kejituan grafik dan bunyi yang dipaparkan. Saya bekerja keras setiap hari untuk menghasilkan grafik yang sangat menakjubkan supaya anda semua dapat alami kesan visual dan bunyi sebenar di pawagam.
FJ: Selain terlibat dengan filem, anda juga merupakan seorang guru di The One Academy (TOA). Jadi, mana satukah keutamaan anda?
Eduardo: Keutamaan bagi saya adalah mengajar. Walaupun saya terlibat dengan filem, saya lebih suka mengajar kanak-kanak. Saya sedar seseorang akan lebih banyak belajar apabila mengajar. Ini kerana anda tidak menyelesaikan satu masalah tetapi 20 masalah dalam masa yang sama. Bekerja dengan para pelajar adalah jauh lebih baik. Anda akan dapat penghargaan, inspirasi dan minda yang lebih kritikal dalam menyelesaikan masalah dengan cara yang berbeza. Pastinya suatu hari nanti, saya akan meninggalkan dunia ini. Jadi, saya perlu memberikan kembali kepakaran dan kemahiran saya kepada masyarakat.
FJ: Ceritakan lagi kepada kami kenapa anda rasa bidang pendidikan ini sangat penting.
Eduardo: Apa yang kita buat sekarang? Permainan video mengenai perang menggunakan senjata api? Saya enggan bekerja dengan syarikat yang menggalakkan keganasan. Ia tidak baik untuk masyarakat. Ia sangat bertentangan dengan lumrah kehidupan manusia. Lebih baik kita menggalakkan perkara-perkara yang boleh menjadikan manusia berkembang.
Itulah sebabnya saya amat pentingkan pendidikan. Dengan pendidikan, saya boleh mengajar perkara asas kepada kanak-kanak, seperti apa yang betul dan apa yang salah. Kebanyakan orang lebih terdorong kepada keuntungan dan wang Ringgit semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab dalam mendidik masyarakat. Saya tidak mengambil berat tentang semua itu. Saya hanya datang ke sini untuk mengajar tentang kehidupan, berkenalan dengan orang baru serta berkongsi pendapat dan idea.
FJ: Maksudnya, anda ini bukanlah seorang yang terdorong untuk melakukan sesuatu demi wang Ringgit?
Eduardo: Jika saya katakan saya tidak bekerja untuk wang Ringgit, orang di sekeliling akan mengambil kesempatan ke atas saya. Sudah pasti orang ramai akan datang kepada saya untuk meminta perkhidmatan secara percuma! Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan. Anda sendiri tahu anda berhak mendapat sesuatu selepas memberikan sumbangan.
Tidak salah untuk terdorong kepada keuntungan, tetapi haruslah dengan cara yang baik. Perlu juga diingat bahawa keuntungan sebenar bukan hanya dalam bentuk wang Ringgit dan harta. Pada pendapat saya, penghargaan, penghormatan, peluang, pilihan dan rasa syukur juga termasuk dalam konteks keuntungan. Itulah cara saya menghargai kehidupan.
FJ: Anda ada apa-apa pesanan khas untuk para pembaca kami di SAYS?
Jika anda sukakan sesuatu, lakukan ia dengan sepenuh hati. Jangan takut untuk mengambil risiko. Lebih baik ambil risiko dan mempunyai rasa takut semasa melakukan sesuatu kerana ia akan membuatkan kita hidup dan sentiasa bersemangat. Apabila anda jatuh, bangun semula dan sentiasa bergerak ke hadapan.
Dalam kesibukan kerja juga, jangan sekali-kali abaikan kesihatan tubuh badan. Badan anda adalah rumah anda dan merupakan satu-satunya anggota yang anda akan gunakan sepanjang hayat. Bahagikan masa untuk perkara lain dan luang lebih banyak masa di luar. Dengan minda, jantung dan badan yang sihat, tiada masalah untuk anda melakukan tugas-tugas seharian dengan mudah. Jangan lupa juga untuk kembali menjadi kanak-kanak bagi mencari inspirasi dalam kehidupan. Maklumlah, hidup sebagai seorang dewasa ini memang membosankan.
Antara hasil seni visual ciptaan Eduardo Peña yang sangat menakjubkan. KLIK PADA GAMBAR:
Akhir kata, terima kasih Eduardo Peña kerana sudi meluangkan masa anda bersama SAYS!