seismik

Dia Seorang Peguam, Dia Juga Seorang Pemandi Jenazah. Ini Kisah Inspirasi Siti Rasidah

Sejak kecil lagi, Siti telah diberi pendedahan tentang pengurusan jenazah.

Cover image via SAYS via Siti Rasidah

Ini adalah kisah Siti Rasidah Abd Radzaz, seorang peguam sepenuh masa yang juga bekerja sebagai pemandi jenazah, sehingga ke hari ini

Siti Rasidah Abd Radzaz, seorang peguam dan pemandi jenazah.

Image via Siti Rasidah

Siti Rasidah, 34, pernah bertugas di Jabatan Peguam Negara sebagai Timbalan Pendakwaraya Johor dari tahun 2008-2015 sebelum mengembangkan karier sebagai Peguam dan salah seorang rakan kongsi di Firma guaman The Law Chambers Of Fazaly Ali.

Walaupun begitu komited dengan kerjaya dalam bidang undang-undang, tidak ramai tahu sebenarnya Siti mempunyai pekerjaan kedua iaitu sebagai pemandi jenazah wanita.

"Setelah bekerja di firma sendiri, lebih mudah untuk saya menguruskan masa di antara kerjaya sebagai peguam dan pemandi jenazah wanita di Johor Bahru," kata Siti.

Image via Siti Rasidah

Perjalanan Siti sebagai seorang pemandi jenazah bermula sejak 17 tahun lalu, ketika beliau berusia 17 tahun

Ibunya, Puan Hajah Sa'dah binti Saliehan bekerja sebagai pemandi jenazah wanita di Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan kini telah bersara. Selain bertugas sebagai pemandi jenazah, Puan Hajah turut memberi ceramah untuk kursus berkaitan Pengurusan Jenazah.

Seawal usia 17 tahun, Siti banyak mengikuti dan memerhatikan sahaja ibunya menguruskan jenazah wanita Islam. Setelah tamat peperiksaan SPM pada tahun 2000, Siti mula serius menemani ibunya melakukan kerja pengurusan jenazah ketika cuti panjang.

Image via Siti Rasidah

"Waktu cuti itu, saya manfaatkan masa untuk bersama-sama membantu ibu. Pada mulanya saya hanya bertindak sebagai pemandu dan menolong melakukan kerja-kerja kecil sahaja, bergantung pada arahan daripada ibu saya.

"Tetapi lama kelamaan, ibu saya mula menyuruh saya menguruskan jenazah sendiri. Malah saya pula yang perlu menyelia proses tersebut. Pada saya, itu merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar memandangkan saya tiada pengalaman dan masih mentah," kata Siti lagi.

Siti kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di UIAM selama 5 tahun tetapi masih membantu ibunya ketika cuti semester

Siri merupakan graduan undang-undang dari UIAM.

Image via Siti Rasidah

"Setelah mendapat keputusan SPM, saya telah melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 2001 hingga 2006. Pada ketika ini saya hanya akan membantu ibu saya pada setiap kali waktu cuti semester.

Pada peringkat awal, ibunya akan memantau hasil kerja Siti dari awal proses pengurusan jenazah sehingga tamat. Ibunya akan memastikan segalanya berjalan secara teratur.

"Kerja ini agak kompleks pada mulanya kerana terdapat beberapa proses yang perlu saya ingat dan laksanakan mengikut tertib. Daripada proses penyediaan kain kafan, proses mandi dan mengkafankan jenazah, semuanya perlu dilakukan dengan begitu teliti," jelas Siti.

Berbeza dengan kebanyakan cerita seram sensasi berkaitan memandikan orang mati, Siti akui masih belum mengalami apa-apa kejadian "mistik"

Image via iuic.info

"Macam-macam pengalaman saya kutip sepanjang mengikuti ibu memandikan mayat. Tetapi tiada satu pun yang aneh dan mistik. Teringin juga nak rasa pengalaman macam tu namun tak pernah pula terjadi. Alhamdulilah, segala urusan mudah dan senang diuruskan," ujar Siti dengan nada bersyukur.

Sehingga kini, Siti masih lagi meneruskan kerjaya memandikan jenazah walaupun masa agak terbatas.

"Kadang-kadang, saya terpaksa 'angkut' dan bawa anak-anak saya pergi ke rumah mayat," jelas ibu kepada dua anak itu.

"Yang pasti, kalau nak kerja memandikan mayat, hati mesti kena kental. Kena belajar tahan air mata, sebab selalunya kita akan berdepan dengan suasana yang sangat syahdu. Dah banyak kali saya terbabas menangis sambil mandikan jenazah terutamanya apabila jenazah itu adalah ahli keluarga atau rakan sekolah sendiri."

Walaupun amalan pengebumian merupakan satu keperluan dan ibadah, Siti berkata, kebanyakan masyarakat masih tidak berani untuk memandikan jenazah

"Ada yang menganggap kerja ini ada banyak pantang larang. Contohnya, wanita semasa datang bulan (haid) tidak boleh memandikan jenazah dan kanak-kanak tidak boleh tengok proses mandikan mayat takut terkena badi. Semua orang boleh memandikan jenazah asalkan meraka waras," jelas Siti.

Menurut Siti, sepanjang berkecimpung dalam bidang ini, ramai yang masih beranggapan bahawa urusan pengebumian ini tidak penting. Masyarakat lebih rela menyerahkan segalanya kepada pemandi jenazah untuk uruskan segalanya.

"Jujurnya, masyarakat kita jarang didedahkan dengan bahagian pengurusan jenazah. Namun, ramai yang memberikan sokongan dan menyatakan keinginan untuk mendalami dan turut serta di dalam bidang ini.

"Saya juga berharap dapat membuka minda masyarakat bahawa pengurusan jenazah ini boleh dilaksanakan oleh golongan muda juga, bukan hanya golongan dewasa. Pengurusan jenazah adalah salah satu fardu kifayah ke atas umat Islam. Semua pihak daripada pelbagai golongan dan lapisan masyarakat boleh turut serta. Tiada sebarang kelayakan diletakkan," ujar Siti lagi.

Tidak seperti orang muda lain yang kebanyakannya menjauhkan diri daripada bidang ini, Siti begitu ghairah dan mempunyai minat yang sangat mendalam

Image via Siti Rasidah

"Sejak kecil, saya telah mengikuti ibu bapa saya ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru sekiranya ada kematian. Sejak kecil juga saya dan adik beradik yang lain telah diberi pendedahan tentang pengurusan jenazah.

"Jadi. minat itu timbul sendiri dan merasakan bidang pengurusan jenazah ini terlalu dekat dengan diri saya. Boleh dikatakan, kesemua adik-beradik saya boleh memandikan jenazah.

"Atas rasa kesedaran dan tanggungjawab, saya memilih untuk masih membantu ibu dalam urusan ini. Saya sendiri berpendapat bahawa bidang pengurusan jenazah sangat memerlukan pelapis daripada golongan muda," katanya.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca juga kisah inspirasi Bengah dan adiknya, Afiatul DI SINI:

You may be interested in: