Syurga Isteri Terletak Di Bawah Tapak Kaki Suami Tapi Dosa Isteri Bukan Tanggungan Suami
Seorang bapa juga tidak menanggung dosa anak perempuannya.
Seperti yang semua sudah sedia maklum, syurga seorang perempuan yang belum berkahwin terletak di bawah tapak kaki ibunya, tetapi bagi seorang wanita yang sudah bergelar isteri, syurganya terletak di bawah kaki suami
Walaupun tiada hadis sahih yang berkata sedemikian namun ianya boleh dianggap sebagai suatu metafora di mana untuk seorang isteri itu menjadi ahli syurga, adalah dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak tercatit dalam ayat Al-Quran dan hadis Baginda.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (an-Nisaa': 34).
Dalam ayat tersebut Allah SWT telah menghimpunkan beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah SWT dan kepada suaminya dalam perkara yang baik, lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.
Jika seorang isteri yang mentaati suaminya dijanjikan syurga, bagaimana pula isteri yang berbuat dosa.
Adakah dosanya ditanggung oleh suaminya?
Dalam kalam Al-Quran terdapat-ayat yang memerintahkan agar setiap manusia perlu menjaga diri mereka dan juga orang-orang disekeliling mereka daripada melakukan perkara maksiat atau dosa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.” (al-Tahrim: 6).
Imam Besar Masjid Al-Azhar, Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya berkata ayat ini ditujukan kepada setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar menjauhkan diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan dan menjauhi daripada perkara maksiat.
Setiap orang juga perlu menasihati ahli keluarga mereka dengan menunjukkan jalan yang benar dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar.
Berdasarkan penjelasan tersebut, secara asalnya di dalam syara’ setiap insan itu tidak akan menanggung dosa orang lain hanya dosa mereka sendiri
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.” (al-An’am:164).
Lagi satu firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.” (Fatir:18).
Mengikut Imam al-Hafiz Ibn Kathir, kedua-dua ayat tersebut jelas mengatakan bahawa setiap insan yang sempurna akal fikirannya dan telah baligh (mukallaf), dosanya itu akan ditanggung oleh dirinya sendiri tidak kira apa statusnya sama ada dia seorang suami, isteri, ayah, ibu, anak atau selain daripadanya.
Disclaimer: Seorang yang mukallaf adalah orang dipertanggungjawabkan dengan kewajipan dan perintah untuk menjalankan hukum tuntutan agama Islam serta menjauhi larangan-Nya.
Namun begitu, seorang suami atau seorang penjaga akan berdosa sekiranya dia tidak menasihati isteri atau wanita dibawah jagaannya dalam perkara yang ma’ruf dan tidak menghalangnya daripada melakukan perkara yang munkar
Di dalam kalam Al-Quran terdapat firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.” (an-Nisaa': 34).
Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa lelaki merupakan pemimpin buat wanita dan mereka wajib menyuruh wanita iaitu isteri mereka untuk menunaikan hak-hak Allah SWT seperti menjaga perkara-perkara yang fardhu dan mengahalang wanita-wanita daripada melakukan perkara maksiat.
Sebagai kesimpulan, suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya sekiranya dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin iaitu dengan menasihati dan membimbing isteri mereka.
Adapun, jika isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur, atau isteri melakukan maksiat tanpa pengetahuan suaminya maka isteri itu tetap berdosa dan bukan dibawah tanggungan suaminya
Setiap insan yang mukallaf akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah SWT apabila tiba hari pengadilan dan setiap insan itu sama sekali tidak akan membawa atau menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
Sumber diambil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Semoga kita semua dikurniakan pasangan hidup yang soleh dan solehah dan menjadikan keluarga yang terbina itu penuh dengan sakinah (ketenangan), rahmah (rahmat) dan mawaddah (kasih sayang). Amin!