seismik

Berhenti Tonton Video Mengarut Dan 7 Lagi Tips Pemuda Ini Beri Untuk #SayaZahra

Menonton video kurang berfaedah yang disebarkan di laman sosial boleh melemahkan survival anda untuk hidup dalam kegawatan ekonomi. Eh, macamana tu?

Cover image via rumpi.co

Semenjak viralnya video ucapan #SayaZahra tidak berapa lama dahulu, ramai individu yang turut melontarkan pendapat tentang hakikat kehidupan belia masa kini

Namun dalam banyak-banyak pendapat yang diutarakan, pendapat lelaki berusia 24 tahun ini paling menarik perhatian kami

Ini kerana pandangan dan pendapatnya sangat simple dan mudah untuk dipraktiskan oleh sesiapapun.

Abell Jefrry, 24 tahun, bekerja sendiri.

Image via Instagram Abell Jefrry

Abell Jefrry bekerja sendiri. Dia tiada pendapatan tetap dan tiada jaminan majikan. Pendapatan bulanannya bergantung kepada usaha kerjanya setiap hari.

Abell harus menyara kedua ibu-bapanya, dan juga tiga adik beliau yang masih bersekolah. Cita-cita Abell adalah memastikan kedua orang tuanya bersara dalam masa terdekat dan terus menyara keluarga dan bakal isterinya, oleh itu dia harus berusaha lebih kerja siang malam tak tentu masa, tak tentu hari.

Sebagai seorang anak muda, Abell ada tips sendiri bagaimana untuk hidup di kotaraya Kuala Lumpur, walaupun dia tidak menerima gaji seperti orang lain:

1. Berkemampuan mengikut belanja

Kita selalu dinasihati supaya berbelanja mengikut kemampuan, tapi bagi Abell cara paling praktikal adalah sebaliknya. Kita kena berkemampuan atau bekerja mengikut apa yang hendak kita belanjakan.

Jika kita inginkan sesuatu, kena cari duit lebih, korek duit tabung atau adjust budget lain mengikut kesesuaian. Pastikan bajet tetap bulanan kena tetap sama dan tidak terganggu. Disiplin tu penting dalam berbelanja dan merancang perbelanjaan.

2. Berjimat dan jangan membazir beli benda mahal-mahal bila tak perlu

Abell juga sama seperti lelaki yang masih muda lain, dia suka bergaya. Tapi beliau memilih untuk membeli pakaian daripada kedai pakaian bundle, atau di kedai komersil Brands Outlet atau FOS yang sering membuat tawaran "Beli 1, percuma 1"

Selain daripada itu, Abell juga suka menghias rumah. Menurut beliau, rumahnya ada perabot penuh lengkap. Tetapi perabot yang dibeli kebanyakannya secondhand, atau yang murah dari IKEA atau Index. Dia akan pastikan perabot yang ingin dibeli adalah yang murah dan berkualiti.

Bukan itu saja, rumah beliau ada ambient lighting system dan smarthome system yang dipasang sendiri di masa lapang. Gaya hidupnya mungkin nampak macam mewah, tapi sebenarnya tak keluar banyak duit pun.

3. Jangan terlalu kerap tukar telefon bimbit atau gajet

Kurangkan berbelanja untuk gadget dan smartphone berjenama mahal-mahal. Beli gajet dengan melihat kepada spesifikasi hardware dan software, dan bukannya mengikut jenama. Abell biasanya memakai telefon pintar sehingga 3-4 tahun. Contohnya terkini, Abell memakai OnePlus One yang dibeli dengan harga RM1100 tapi specs*nya sangat bagus setanding dengan telefon *high end.

Untuk kegunaan bisnes dan kerja, Abell menggunakan MacBook Pro terpakai yang dibeli dengan harga RM1600 saja; sudah dipakai selama 4 tahun tapi masih mantap.

4. Jangan terikut-ikut sangat orang yang pandu kereta mewah atau mahal

Menurut Abell, dia tak boleh memandu, jadi dia tidak mempunyai kereta dan hanya berjalan kaki, naik LRT dan bas saja jika hendak ke mana-manai. Abell juga merancang untuk memakai kereta Viva apabila berumahtangga nanti kerana bagi beliau, kereta mewah bukanlah satu keperluan sebaliknya rumah untuk keluarga lebih penting.

5. Mahal atau murah sebuah rumah, tetap perlu berusaha kumpul deposit

Memang rumah di Kuala Lumpur tak murah. Tapi Abell berpendapat belia tidak harus patah hati. Teruskan berusaha untuk mengumpul duit, bila sampai masanya paling tidak duit deposit dah sedia. Rumah pertama tak perlu mewah atau di kawasan yang mahal. Cari yang boleh bagi keuntungan, dan bukan bebanan.

Jika anda seorang yang bujang tapi tetap ingin memiliki rumah, anda boleh sewakan bilik-bilik pada orang lain. Kena gaya, ansuran bulanan pun penyewa yang bayar kita duduk free. Abell juga mencadangkan supaya para belia lebihkan membaca berkenaan pengurusan hartanah untuk mengelakkan kesilapan semasa beli rumah pertama.

6. Jangan tambah hutang untuk perkara yang mengarut

Abell kongsi tips untuk ukur kemampuan kamu membeli sesuatu. Jika kamu tak mampu membeli sesuatu benda dalam jumlah tiga biji atau tiga buah, batalkan keinginan itu. Kerana itu tandanya kamu kurang mampu.

Jangan shopping beli baju mahal-mahal guna kad kredit tetapi hakikatnya habuk pun tiada. Orang kaya menggunakan kad kredit semata-mata untuk kumpul point/reward/rebate saja, bukan kerana nak berhutang. Itu beza orang ada duit, dengan orang konon-konon ada duit, begitu menurut Abell.

Image via imore.com

7. Ingin melabur tapi tiada duit? Labur pada diri sendiri.

"Duit tu jangan asik berjoli saja, setiap bulan mesti labur duit pada ilmu. Jangan ingat dah habis sekolah tak perlu baca buku atau pergi kelas/kursus lagi. Permantapkan diri. Tambah ilmu, gilap kemahiran supaya kekal relevan di mata majikan, dan mampu bersaing. Tiada duit nak beli buku atau pergi kursus? Data plan telefon pintar milik kamu tu jangan habiskan buat sembang kosong, dan tengok video lawak mengarut saja. Rajinkan Google info dan join komuniti online, belajar dan berbincang. Bukan kena bayar pun selalunya. Kalau melopong saja, memang takkan ke mana. Makan asap."

facebook.com

Antara acara yang boleh menjana minda anda

Image via Cheryl Yeoh

8. Tak salah komplen, tapi pada masa yang sama fikirkan jalan untuk selesaikan masalah

Komplen itu tandanya kita sedar dan kita tahu ada perkara yang tak kena. Tetapi dalam masa sama kita kena cari penyelesaian dan berbincang dengan kawan-kawan, keluarga, cikgu atau mentor. Jangan tunggu orang lain selesaikan, sebab kalau semua orang menunggu orang lain, bukankah tiada hasil?

Jadilah manusia yang proaktif, dan bantu orang lain juga selesaikan masalah. Fokus pada benda yang dalam kawalan kita dulu. Bila semua orang buat macam ni, baru masalah besar dapat diselesaikan.

Begitulah tips yang dikongsikan oleh Abell. Walaupun tips ini nampak biasa, tetapi tak ramai yang mampu melaksanakannya.

Jika ramai yang ikut tips Abell ini, mungkin hidup takkan mewah tapi sekurang-kurangnya senang dan bahagia untuk dijalani.

Kalau anda masih blur tentang #SayaZahra, dijemput baca di sini:

You may be interested in: