seismik

Campsite Dan Hotel Semua Penuh, 12 Sekawan Selamba Redah Ke Koh Lipe Masa 'Peak Season'

Memang bahaya kalau main redah. Tapi 'last minute plan' selalunya mesti menjadi, walaupun suffer sikit.

Cover image via TSG #KasiJadi

Sekarang ini, google sahaja Koh Lipe, macam-macam informasi kita boleh jumpa

Dulunya Koh lipe yang sangat asing bagi rakyat Malaysia telahpun menjadi salah satu destinasi kegemaran rakyat Malaysia. Ditambah pula dengan berita Uqasha Senrose & Ikram Dinzly menimbulkan kontrovesi di Koh Lipe awal tahun ini, pasti makcik dan pelajar universiti yang kuat membuka laman-laman web gosip artis juga sudah menyedari akan kewujudan pulau yang sangat cantik ini.

Uqasha Senrose dan Iqram Dinzly pun dah ke Koh Lipe. Anda bila?

Image via www.rotikaya.com

Disebabkan informasi cara untuk pergi, harga-harga, penginapan dan pelbagai lagi informasi cliche yang boleh dicari di internet, saya pilih untuk kongsi pengalaman pahit manis kami 12 sekawan semasa bercuti ke Koh Lipe, Thailand. Ceritanya begini.

1. Lebihan Annual Leave yang perlu dihabiskan

Image via memecrunch.com

Selang dua minggu lagi maka berakhirlah sesi kehidupan tahun 2015. Tahun dah nak habis, tapi cuti tahunan tak habis lagi. Memo dah mula keluar, minta masing-masing habiskan cuti tahunan. Ah sudah, tak kan guna cuti semata-mata untuk duduk di rumah. Dimotivasikan dengan gambar-gambar bakar line dari kawan-kawan di instagram, saya nekad untuk cari destinasi pengembaraan bagi mengisi masa cuti.

2. Mula menaruh hati dan impian untuk bercuti ke Koh Lipe yang juga dikenali dengan jolokan 'Maldives of Thailand'

Image via en.nexttrip.my

Teringat dulu kawan saya pernah cerita pasal Koh Lipe, pulau kecil terletak lebih kurang 60 km dari persisiran pantai selatan Thailand. Tambahnya lagi, Koh Lipe adalah sebuah pulau unik yang berbeza berbanding koh-koh yang lain. Pulau ini seimbang dari segi pembangunan yang tak berapa melampau sangat, suasana yang aman damai dan alam semulajadi yang mampu buat tulang rusuk pencinta alam tegar bergetar. Selepas siasatan lanjut dilakukan, saya juga dapat tahu yang dompet saya turut akan bergetar kekeringan.

Sepanjang tempoh siasatan, saya berjaya jumpa tiga cara paling mainstream untuk ke Koh Lipe, masing-masing dengan pros and cons mereka yang tersendiri:

Feri Langkawi ke Koh Lipe.

Image via Snap Productions/Youtube
1. Melalui Langkawi, ambil feri dari Langkawi dan terus ke Koh Lipe.

2. Pergi ke selatan Thailand, Pak Bara yang terletak kira-kira 45 minit pemanduan kereta dari sempadan Wang Kelian di Perlis. Dari Pak Bara, ambil speedboat terus ke Koh Lipe.

3. Melalui Hatyai, (saya masukkan dalam option sebab masa ni ada tiket return KL-Hatyai boleh dapat RM200) terus ke jeti Pak Bara dengan perjalanan darat lebih kurang 1 jam 30 minit. Dari Pak Bara, ambil speedboat terus ke Koh Lipe.

Faktor yang saya titik beratkan dalam pemilihan cara perjalan ini adalah masa yang terhad, duit yang terhad dan reliabiliti perjalanan itu sendiri. Saya rumuskan segala pros and cons perjalanan ini dalam gambar di bawah:

Saya ni memang jenis detail sikit bila bab berjalan.

Image via TSG #KasiJadi

3. Cabaran mengumpan rakan-rakan

Demi mengurangkan kos, saya batalkan niat untuk solo backpacking ke Koh Lipe, saat ini saya sedar saya perlukan kawan-kawan untuk #kasijadi pengembaraan kali ini, bukan tiga empat orang, tapi saya perlukan dalam sepuluh orang. Trip lagi dua minggu, itinerari semua pun tak ada lagi, penginapan mestilah semua pun dah penuh, sebab saya sangat bijak pergi aturkan trip pada tarikh cuti tahun baru. Acah-acah konon nak rasa pengalaman tahun baru di negara orang. Orang lain 6 bulan lepas lagi dah tempah penginapan semua, saya dua minggu sebelum baru terkial-kial nak google "how to go to Koh Lipe."

Misi mencari geng travel agak susah pada mulanya. Memikirkan siapalah yang sanggup ikut kerja gila meredah selatan Thailand last last minute macam ni. Tapi syukur, hidup saya dikelilingi sahabat yang gilakan tempat-tempat cantik, malah mereka juga senang dimanipulasi. Dengan ayat-ayat pancing seperti "trip bajet je ni", "escape from work" dan "it will be just like the good old days", dengan teknik-teknik lain seperti masukkan dalam group Whatsapp secara paksa dan tak bagi keluar, teknik cold hard-sell dan ditambah pula dengan umpan menarik seperti gambar-gambar memukau Koh Lipe, saya berjaya kumpulkan 12 orang sahabat sehidup semati yang sudi bekorban masa dan keringat untuk menjayakan ekspedisi ini.

12 Sekawan sepakat tekad mahu susah sehidup semati di Koh Lipe.

Image via TSG #KasiJadi

4. Day Zero, Perjalanan 516 kilometer dalam kereta dari Gombak ke Padang Besar, Perlis

Perjalanan seribu batu bermula dengan gambar bukti bakar line.

Image via TSG #KasiJadi

Malam kejadian 31 Disember 2015, perjanjian dimeterai untuk bekumpul jam 8 malam di lokasi biasa kedai makan Pak Tam, Taman Melati. Tapi seperti janji-janji Melayu yang lain, hanya selepas jam 11 malam baru semua ahli kumpulan sampai. Walaubagaimanpun, pelan perjalanan masih lagi belum terjejas. Kami perlu tiba jam 7 pagi di Tok Mek Hotel & Restaurant di Padang Besar, perlis dan bergerak seawal 8 pagi untuk mengelakkan himpunan manusia yang ramai semasa di imigresen.

Malam itu, kami bergerak tepat jam 11.30 malam dan 516 kilometer kemudian, kami tiba di Masjid Kampung Batu Hampar kira kira jam 5.30 pagi. Sempat kami berkemas, solat Subuh, segarkan diri dan agih-agihkan makanan ke dalam beg setiap orang.

Sarapan pagi yang disediakan di Tok Mek Hotel & Restaurant.

Image via TSG #KasiJadi

Perjalanan dari Perlis ke Pak Bara kami menggunakan servis van mewah dengan interior macam kapal angkasa.

Image via TSG #KasiJadi

5. Antara RM 1 dan Pulut Ayam Panggang

Perjalanan merentasi sempadan Malaysia-Thailand berjalan lancar. Sempat kami selitkan derma ikhlas RM1 semasa hulurkan passport di kaunter imigresen Thailand. Betul-betul selepas keluar sempadan, akan ada deretan kedai-kedai kecil, dan di sini, tempat di mana saya mula berkenalan dan terus jatuh cinta pandang pertama dengan Pulut Ayam Panggang. Dan sampai sekarang, saya masih belum jumpa Pulut Ayam Panggang yang boleh lawan dengan yang saya makan di Wang Kelian. Kadang-kadang ada jugak rasa macam nak ke sana semata-mata nak makan pulut ni. Lepas makan terus balik KL. Tapi nanti orang cakap saya gila pulak.

Pulut Ayam Panggang.

Image via vitdaily.com

6. Kisah tiket bot

Jeti Pak Bara.

Image via www.tripadvisor.com

Jam 10.30 pagi kami sampai di Jeti Pak Bara. Oleh kerana semua pakej bot yang saya jumpa di internet sebelum ini agak mahal, kebanyakannya dijual dengan harga 1200-1300 bath, saya buat keputusan untuk redah sahaja dan cuba nasib untuk beli semasa di jeti. Saya tahu saya boleh dapat dengan harga yang lebih murah. Tekaan saya tepat, turun sahaja dari van mewah Tok Mek, kami diserbu agen-agen tiket. Saat ini saya tahu bila supply melebihi demand, saya ada peluang untuk tawar-menawar.

"I got 12 person, u sell me for 1000 bath i buy from you."

Ayat simple, tapi cukup informasi, cukup isi, tegas dan straightforward ini berjaya mengubah fikiran agen tadi. Terus dia tarik tangan saya ke kedainya, mungkin takut prospek dirampas oleh agen-agen lain kot. Melihat cara agen ini tarik saya, menyesal pula saya tak tawar terus harga ke 900 bath. (Harga official tiket bot ke Koh Lipe ialah 1300 bath)

7. Sticker warna warni menarik minat kami

Kira kira jam 11.00 pagi, kami bergerak masuk ke kawasan perlepasan. Sempat juga kami tambah stok makanan, cokelat dan air dari kedai runcit berhampiran. Tiba di kawasan perlepasan kami dilabel dengan sticker berlainan warna, untuk menentukan dari agen mana kami datang dan bot mana yang kami akan naiki.

Sticker tadi ternyata sangat membantu, keluar sahaja dari pintu, sudah ada polis bantuan yang mengarahkan penumpang ke kawasan menunggu mengikut bot yang telah ditetapkan. Seperti kambing yang masuk ke kampung orang, kami ikut sahaja arahan abang polis tadi, mata pula dah terkesima melihat dua tiga buah bot yang dah tak sabar nak berlayar merentas Laut Andaman.

8. Singa diukur dengan kebengisannya, manusia diukur dengan kesabarannya

Sabar itu ada hadnya. Lebih-lebih lagi bila kena tunggu tanpa kerusi, bawah terik matahari panas tak berbumbung, tanpa informasi berapa lama lagi anda kena tunggu, dan anda datang dalam kumpulan 12 orang yang masing-masing tak henti-henti membakar lagi api kemarahan sesama sendiri. Dah satu jam tunggu tapi masih lagi tak rasa yang giliran kami akan tiba dalam masa tedekat.

Cara giliran masuk bot ditentukan juga sangat kreatif. Di hadapan tempat parking bot, penumpang akan melonggokkan beg mereka panjang-panjang, beg ditinggalkan di situ dan kami bebas berjalan ke mana-mana sementara menunggu giliran. Beg siapa yang di depan akan di campak masuk ke dalam bot dahulu. Beg siapa yang dah masuk dalam bot, dapatlah tuan dia pun ikut sekali.

Angka 11.30am yang besar-besar terpampang di tiket seakan-akan tiada makna, sama macam janji-janji manis yang sering ditabur oleh perempuan cantik tipikal yang hobinya mempermainkan nurani suci lelaki. False advertising betul lah. Masa yang terluang itu saya gunakan untuk buat analisa, satu bot boleh memuatkan dalam tiga puluh orang. Kumpulan manusia yang berkeliaran di kawasan itu ada dalam seratus orang. Pukul rata, lagi dua group berlepas barulah tiba giliran kami. Kalau satu bot ambil masa dalam 30 minit untuk proses embark dan disembark, makanya lagi satu jam baru kami dapat gelakkan orang lain yang kena beratur, tunggu giliran tengah panas.

Selepas menunggu hampir dua jam, boleh lihat brader baju putih dan topi putih muka dah mula bengkek. Abang baju hitam GrG tu pun senyum dah mula tak ikhlas.

Image via TSG #KasiJadi

9. Beg dicampak masuk, senyuman mula terukir di wajah sugul kami

Jangkaan saya separa tepat, lebih kurang 45 minit, beg kami dicampak masuk ke dalam bot. Itu pun ada orang yang nak potong giliran cuba minta boatman tu masukkan beg diorang dulu, berlakon acah-acah macam dia dah sampai lama. Kami berkeras nak naik juga giliran bot kali ini, kalau perlu tumpah darah sekalipun, tumpahlah. Penat sangat dah ni tunggu.

15 minit kemudian, toleh kiri, toleh kanan, acah-acah buat head count sikit, hati saya lega. Semua ahli kumpulan kami berjaya masuk ke bot yang sama. Cuma kesian sebab ada yang terpaksa duduk atas lantai. Tapi lagi kesian kalau ada yang tertinggal dan kena tunggu lagi berjam-jam. Dengan masing-masing muka senyum sampai ke telinga, bot 4 enjin itu terus bergerak menuju destinasi yang jauhnya lebih kurang dalam 2 jam lagi.

Kena duduk atas Lantai pun tak da hal. Lagi bagus daripada kena tinggal.

Image via TSG #KasiJadi

10. Kelibat Koh Lipe sudah kelihatan, hati makin melonjak keriangan

2.30 petang kami tiba di perkarangan Koh Lipe. Tapi bot sebesar ini katanya tak dapat hantar terus ke persisiran pantai. Takut boleh merosakkan batu karang. Kami ditinggalkan di platform buatan yang terapung kira kira 400m dari persisiran pantai. Selepas bayar cukai taman laut di kaunter kecil atas platform tersebut, kami lekas beratur menunggu giliran untuk mengambil sampan kecil yang akan membawa kami ke persisiran pantai.

Masa ini saya tengok muka masing-masing dah teruja habis. Daripada platform ini dah boleh nampak pulau Koh Lipe yang tersergam indah di depan mata. Jernih air dia memang lain macam sikit, air laut memaparkan bayang warna hijau diselangi biru yang saya kira sangat menakjubkan, ditambah pula dengan pemandangan Koh Adang di bahagian belakang.

Tibanya giliran kami, masing-masing tanpa arahan terus bergerak masuk ke dalam sampan kecil, dengan teratur. Adrenalin yang dah hampir penuh dalam badan bukan alasan untuk kami bertingkah laku tak semenggah. Sampan kecil mula bergerak dan selepas hampir 20 jam perjalanan, akhirnya, Koh Lipe kami sampai!

Sampai juga kami di Maldives of Thailand.

Image via TSG #KasiJadi

11. Terkandas! Tiada penginapan untuk kami menginap kerana bercuti semasa waktu puncak dipenuhi lautan Mat Salleh dari serata dunia.

Walking Street yang penuh dengan manusia masa kami datang.

Image via hallomega.com

Kami berada di Koh Lipe dari 1 Januari sehingga 4 Januari, bertindih dengan cuti Tahun Baru. Perancangan asal kami semasa tiba di Koh Lipe adalah untuk camping sahaja di tepi laut. Tetapi, rancangan hanya tinggal rancangan. Sesampai di campsite, kami dikejutkan dengan berita campsite sudah penuh. 5 kali saya ulang soalan sama untuk kepastian daripada pemilik tapak.

"No no our campsite is already full."

5 kali juga dia memberi jawapan ringkas, padat, dan jitu, menegaskan yang memang sudah tidak ada tapak lagi untuk kami pacak khemah. Berita ini betul-betul menguji minda kami, saya tahu resort-resort dan chalet-chalet lain juga sudah penuh sebab saya sudah melakukan semakan di Agoda seminggu sebelum datang. Kalau fikir logik sekalipun, bayangkan kalau tapak perkemahan yang secara teorinya adalah unlimited, pun boleh penuh, inikan pula penginapan selesa dengan katil empuk dilengkapi pula dengan pancuran air panas.

Untuk pengetahuan umum juga, kami membawa 3 biji khemah untuk trip ini dan salah satu daripadanya adalah khemah mega 2 bilik lengkap dengan ruang tamu yang senang-senang boleh memuatkan 8 orang, beratnya pula 15kg. Saat dengar sahaja berita yang campsite sudah penuh, terus berubah merah-merah keunguan muka kawan saya yang dengan gigihnya tak henti-henti memikul khemah 15kg tu semenjak keluar dari van Tok Mek semasa di Jeti Pak Bara lagi. Kesian dia.

12. Apa yang penting? Kerjaaaaaasama.

Hampir seharian perjalanan, dengan tak cukup tidurnya lagi, ramai di antara kami yang sudah hilang motivasi, putus asa dan penat. Mujur ada beberapa orang lagi yang masih lagi optimis dan hati kental, tak putus-putus memberi semangat dan tak henti menabur idea untuk damage control. Kami berhenti di kedai makan Muslim di tengah-tengah Walking Street, masing-masing duduk, pesan air dan makanan, dan duduk berbincang.

Kami buat keputusan untuk berpecah kepada empat kumpulan untuk pergi ketuk pintu tiap-tiap hotel yang ada di Koh Lipe dan cari kalau-kalau ada lagi hotel yang sudi tumpangkan kami 12 sekawan. Kami yakin yang mesti masih lagi ada hotel-hotel kecil yang tak tahu pakai internet, tak tersenarai di dalam database Agoda dan masih lagi ada kekosongan. Tiga kumpulan ditugaskan untuk mencari hotel di kawasan Pattaya Beach, Sunrise Beach dan Sunset Beach manakala satu lagi kumpulan yang kami gelar 'group patah semangat' kami suruh duduk sahaja di kedai makan tadi dan tolong jaga beg.

13. Misi mengetuk pintu setiap hotel di Koh Lipe bermula!

Berbekalkan saki-baki tenaga yang masih ada, 3 kumpulan tadi pun mulakan misi mencari hotel. Masa ni kami dah tak fikir apa dah. Walaupun dapat hotel atau hostel buruk sekalipun, kami tak kisah untuk menginap. Masa ni juga otak saya ligat berfikir, "Kalau tak ada hotel kosong, tak kan kami nak tidur atas pasir kot?" Saya dah mula risau. Nasib baik Koh Lipe ni kecik je. Nak round satu pulau pun senang. Serius, boleh kata satu pulau jugakla kami pusing untuk cari hotel.

Naik teksi mencari hotel.

Image via TSG #KasiJadi

Langit tak selalunya cerah, tapi mendung pun bukan selamanya. Tidak ada lagi berita gembira lain lagi yang kami nak dengar petang itu melainkan berita yang group dari Pattaya Beach berjaya jumpa sebuah chalet yang sangat elok dengan harga yang sangat berpatutan untuk kami berteduh malam itu. Tanpa berlengah, seperti anak-anak kecil keriangan, kami berlari-lari anak ke Patayya Beach. Dalam 50 meter jugaklah berlari-lari comel macam tu, lepas penat semua pun sambung jalan slow-slow macam biasa balik. Sampai sahaja di Blue Tribe Garden Beach Resort, terus kami check-in dan terlantar senyap mengenangkan pengalaman hari pertama percutian kali ini. Mencabar.

Terima kasih Blue Tribes Resort yang sudi menerima kami sebagai pelanggan di saat saat genting.

Image via TSG #KasiJadi

Kepenatan yang tidak mampu lagi diungkap dengan kata-kata.

Image via TSG #KasiJadi

14. Kusangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari

Hanya mampu terbaring sambil merenung kembali pengalaman hari pertama. Dan mengeluh nasib sebab kena carik hotel lain pula.

Image via TSG #KasiJadi

Pagi hari kedua, rupa-rupanya saya terlepas dengar kawan saya beritahu semalam yang kami hanya dapat duduk satu malam sahaja di hotel tersebut. Makanya hari kedua kami terpaksa habiskan waktu pagi untuk misi mencari tempat berteduh lagi.

Sebelum panik, kami sempat melakukan aktiviti snorkeling pagi itu di pantai yang terletak betul betul di hadapan resort kami. Air laut yang jernih membiru ini buat kami seakan-akan terlupa yang kami masih belum ada penginapan lagi untuk malam itu dan malam seterusnya.

Breakfast sekejap sebelum cari hotel.

Image via TSG #KasiJadi

Habis sahaja sesi snorkeling, berbekalkan pengalaman hari semalam, hari ini kami lebih pandai sedikit. Kami terus tanya orang-orang tempatan kalau-kalau mereka tahu kat mana hotel yang masih lagi ada kekosongan. Sangkaan kami ternyata tepat selepas menyoal siasat 4-5 orang rakyat tempatan.

Kawan Saya: Hey man do you know if there is any hotel around here that still have vacancy. We've been trying to look for accommodation since yesterday but couldnt find any.

Rakyat Tempatan: Ermm..accommodation..yes yes..got..

Kawan Saya: Really! That is great! Where is it! Can you show me?!

Rakyat Tempatan: Erm..ermm..hang tunggu sini sat aku pi amek motoq aku satgi aku bawak hang pi. Resort ni baguih baghu ja bukak pak sedagha aku punya.

Kawan Saya: Okay bro okay saya tunggu sini.

Terkesima di situ, kami diam sesama sendiri. Sengaja kami biarkan beliau berlalu ambil motor terlebih dahulu sebelum kami gelak terbahak-bahak sesama sendiri. Baru kami tahu yang rata-rata penduduk Thailand di Koh Lipe mampu bertutur dalam Bahasa Melayu slang utagha! Kerana jaraknya yang dekat dengan Langkawi, jadi perhubungan antara Koh Lipe dengan Langkawi adalah lebih akrab jika dibandingkan dengan Thailand sendiri.

15. Every cloud has a silver lining

Benarlah orang kata, semua benda berlaku ada sebabnya, yang penting jangan cepat putus asa. Kami rasa sangat beruntung kerana hotel baru kami ini sangat lawa! Dengan pemandangan laut yang cantik dari tingkat dua, ditambah pula dengan 4 biji buaian tergantung di setiap tiang di hadapan bilik, apa lagi kami mahu?

Brother Resort, Koh Lipe.

Image via TSG #KasiJadi

Bilik di Brother Resort ini juga serba baru dengan katil empuk berkualiti tinggi yang pastinya mampu membuat siapa-siapa pun tidur nyenyak dibuai alam mimpi indah seindah taman syurga. Perempuan dicampak di tingkat dua bilik untuk 4 orang, lelaki pula di tingkat bawah dalam bilik besar yang mampu memuatkan kesemua 8 teruna sekaligus! Fuuhh, dalam pada hotel semua penuh kami masih lagi mampu mendapatkan hotel yang benar-benar memenuhi kehendak kami. Dan yang paling best, kami dapat menginap untuk dua malam!

Hammock rotan di depan bilik. Impian masa kecil kini jadi kenyataan! Di belakang sana ada Sunrise Beach.

Image via TSG #KasiJadi

16. Berkayak-kayak ke hulu berenang-renang ke tepian

Lapang kepala otak kami dah tak payah fikir pasal hotel. Petang hari kedua diisi dengan aktiviti berkayak. Aktiviti ini jarang orang lakukan ketika melancong ke Koh Lipe. Saya yakin Uqasha Senrose dan Iqram Dinzly juga tak berkayak semasa percutian mereka di sini. Saya tahu di awal artikel saya ada tegaskan yang artikel ini lebih kepada luahan perasaan dan meroyan, daripada perkongsian dan point point seperti 'apa yang anda perlu tahu tentang Koh Lipe' tapi informasi yang satu ni buat saya rasa berdosa kalau saya tak share.

Saya minta tolong sangat sangat jangalah lepaskan peluang berkayak di Koh Lipe!

Image via TSG #KasiJadi

Jika sampai ke Koh Lipe, anda mesti luangkan masa dalam dua-tiga jam, sebaik-baiknya bukan tengah hari (untuk mengelak panas terik) dan pergi ke Sunrise Beach. Di deretan pantai anda akan jumpa beberapa kedai yang memberi perkhidmatan sewaan kayak. Sewa kayak-kayak tersebut, nego harga jika perlu dan anda boleh berkayak terus ke sebuah pulau kecil lebih kurang 200 meter dari persisiran pantai, Koh Kra namanya. Di pulau ini anda boleh snorkeling di sekeliling pulau, atau anda juga boleh hiking sedikit ke puncak Koh Kra dan nikmati sendiri keindahan pulau kecil ini dari atas. Serius memukau!

Pemandangan dari atas Koh Kra. Orang lain nak sampai sini kena sewa boat, kami kayak pun boleh.

Image via TSG #KasiJadi

Tak cukup? Nah saya belanja lagi.

Image via TSG #KasiJadi

17. Pakej snorkeling mesti menyesal kalau tak cuba

Awalnya kami memang bercadang untuk tidak ambil mana-mana pakej snorkeling di Koh Lipe. Sebab kami tahu di sekeliling pantai Koh Lipe itu sendiri pun dah banyak corals bersepah-sepah. Tapi, dikaburi dengan teknik-teknik pemasaran seperti, 'Beautiful soft corals cover a pinnacle that rises 16 metres from bottom of the sea to just underneath the surface' dan 'Mysterious island build out of thousands of smoothly polished black rocks', saya yakin sesiapa pun akan teruja. Disebabkan harganya yang jauh lebih murah berbanding pakej-pakej snorkeling di Malaysia, tak payah banyak cerita, bayar sahaja and just go!

Pakej-pakej yang ditawarkan betul-betul buat kami rambang mata. Kami pun pilih Program A.

Image via TSG #KasiJadi

Bertolak seawal jam 9 pagi dan pulang kira kira jam 4.30 petang, tidak perlu lagi saya ulas dengan lebih lanjut betapa seronok, kagum, gembira, terkejut dan pelbagai lagi perasaan positif lain yang bercampur-baur mewarnai lagi ekspedisi kami ke pulau indah ini. Gambar-gambar di bawah saya kira cukup untuk menggambarkan betapa indahnya hari ketiga kami di Koh Lipe:

Geng sampan satu bergaya santai.

Image via TSG #KasiJadi

Geng sampan dua yang begitu bertenaga sekali.

Image via TSG #KasiJadi

Sempat bergambar bersama kapal Royal Thai Navy untuk ditunjuk kepada anak cucu suatu hari nanti. Itupun kalau kahwin.

Image via TSG #KasiJadi

Soft corals yang sangat memukau akal dan minda.

Image via TSG #KasiJadi

Di Koh Hin Ngam, katanya semakin tinggi anda dapat susun batu ini, semakin bertuah nasib anda.

Image via TSG #KasiJadi

Acah-acah natural hot stone massage treatmant.

Image via TSG #KasiJadi

18. Datang dengan harapan, pulang dengan kejayaan

Bot kami dijanjikan tiba jam 930 pagi. Kami perlu keluar awal daripada hotel untuk mengelak kejadian sama sewaktu bertolak itu hari berulang kembali. Tambahan pula, perjalanan kami bukan hanya tamat di Jeti Pak Bara. Masih ada lagi kira-kira 700km jarak yang perlu kami tempuh untuk berjumpa semula dengan katil dan bantal di rumah.

Epic jumpshot!

Image via TSG #KasiJadi

Empat hari memang terasa sangat sekejap, apatah lagi jarak perjalanan yang jauh, pastinya tidak cukup untuk kami betul-betul menerokai bumi Koh Lipe. Tapi bagi kami keseronakan yang kami rasa bukan hanya pada Koh Lipe, tapi juga pada perjalanan di dalam kereta, pengalaman roadtrip bersama rakan-rakan yang pastinya mengukir seribu satu kenangan yang bukan semua boleh dikongsi dengan khalayak ramai.

Apa guna kawan-kawan kalau tak berjalan?

Image via TSG #KasiJadi

Dan part yang paling saya suka sepanjang trip ini ialah biar berapa banyak pun pahit getir dan susah payah yang kami tempuhi, semua masih lagi mampu dan tak henti-henti mengeluarkan lawak-lawak bodoh, ketawa dan tersenyum. Anda semua memang awesome!

Tak sabar nak repeat Koh Lipe lagi, kali ini dengan tempoh masa yang lebih lama dan poket yang lebih tebal!

Projek Koh Lipe #kasijadi dah jadi. Syukur.

Selesai bercerita panjang lebar, kita layan video pulak laaa!

Sedikit info dan itinerari perjalanan kami ke Koh Lipe:

Image via TSG #KasiJadi

Durasi: 4 hari 3 malam
Bajet: RM750 seorang

Hari pertama
Drive ke Perlis dari KL = 8 jam
Sewa van dari Padang Besar, Perlis ke Jeti Pak Bara di Satun, Thailand = 1 jam setengah
Naik bot dari jeti ke Koh Lipe = 2 jam
Check-in di Blue Tribe Resort = RM50 satu malam/seorang

Hari kedua
Check-in di Brother Resort = RM160 dua malam/seorang
Bersiar-siar di Walking Street untuk cari restoran Halal dan cari pakej snorkeling
Sewa kayak untuk ke pulau kecil Koh Kra = RM15-RM20 seorang

Hari ketiga
Aktiviti snorkeling ke 5 lokasi menakjubkan = RM45-RM50 seorang
Makan-makan, massage, sesi menghabiskan duit baki

Hari keempat
Check-out dan pulang dengan hati gembira

Follow kami di Instagram @tsgkasijadi untuk lebih banyak adventure dan gambar-gambar yang WOW!

TSG #KasiJadi adalah sekumpulan sahabat yang tak henti-henti berkeliaran. Mana kami mahu pergi, kami kasi jadi!

Nak tahu lebih lanjut tentang Koh Lipe, boleh baca DI SINI:

Mac lalu, trip kami ke Bukit Berekeh boleh mengundang padah. Nasib baik kami buat keputusan tepat! CERITA PENUH:

You may be interested in: