Sesi Uji Bakat 'One In A Million' Di Karnival Jom Heboh Johor Bermula Hari Ini & Esok
Uji bakat itu diadakan di reruai OIAM di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall bermula jam 9 pagi hingga 8 malam ini sebelum bersambung untuk hari terakhir esok.
Program realiti nyanyian ikonik, One In A Million (OIAM) kini kembali untuk musim baharu dengan uji bakat diadakan di Karnival Jom Heboh (KJH) Johor Bahru 2024 bermula hari ini dan esok
Uji bakat itu diadakan di reruai OIAM di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall bermula jam 9 pagi hingga 8 malam ini sebelum bersambung untuk hari terakhir esok, pada waktu yang sama, dengan guru vokal terkenal, Cikgu Sarah Ismail dan komposer, AG Coco, menjadi juri uji bakat berkenaan.
OIAM membuka pintu kepada semua bakat Malaysia, Singapura, Brunei atau negara lain, yang berusia 15 tahun ke atas secara solo, duo atau berkumpulan.
Peserta berminat hanya perlu membawa minus one sendiri (MP3) lagu pilihan masing-masing selain gambar berukuran pasport dan 4R.
Johor dipilih sebagai lokasi pertama bagi sesi ujibakat pencarian bintang baharu OIAM
Untuk rekod, juara OIAM musim baharu ini akan membawa pulang hadiah yang bernilai sehingga RM1 juta.
Dalam pada itu, menerusi laporan Berita Harian, peserta pertama melepasi uji bakat OIAM di Johor Bahru, Muhammad Hadzri Hussein, atau Ary Hussein, 39, tiba seawal jam 6 pagi tadi, bagi mengikuti uji bakat berkenaan.
Katanya, beliau bertolak dari Nilai, Negeri Sembilan, pada jam 3 pagi ditemani sepupu dan dua sahabat karibnya.
"Alhamdulillah, cubaan saya menghadiri uji bakat pertama OIAM di sini, akhirnya berbaloi apabila terpilih ke peringkat seterusnya.
"Walaupun gementar berhadapan Cikgu Sarah dan AG Coco, namun mereka memberikan nasihat untuk memperbaiki nyanyian supaya lebih baik selepas ini," katanya ketika ditemui.
Selepas Johor Bahru, uji bakat bersemuka OIAM akan diteruskan lima lokasi seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur, pada setiap hujung minggu antara 9 hingga 17 November ini, dengan lokasi uji bakat akan diumumkan dalam masa terdekat.
Namun jika tidak berkesempatan menyertai sesi uji bakat secara bersemuka, peserta berminat boleh menyertai uji bakat secara dalam talian bermula pada 1 hingga 17 November ini.
Peserta hanya perlu memuat naik video nyanyian mereka berdurasi seminit di TikTok dengan hashtag rasmi #CalpisOIAMTV3 dan #SegarRasaSodapSuara.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!