[VIDEO] Apa Itu Dara? Popek-Popek Sedia Rungkai Persoalan Seks Dalam Konsep Santai
Harus diakui, pendidikan kesihatan seksual di Malaysia amat terbatas. Popek-Popek merupakan satu jalan penyelesaian yang baik dalam menangani ketandusan ini.
Ada soalan tentang seks tetapi tidak tahu siapa untuk bertanya? Rangkaian Web TV PopTeeVee menerbitkan Popek-Popek, rancangan pendidikan seks pertama di Malaysia.
Popek-Popek bertujuan memberi penerangan seks dalam bentuk santai. Siri Bahasa Melayu ini akan bersiaran di PopTeeVee.net dan YouTube.com/popteevee pada jam 11:00 pagi dan akan ke udara setiap 2 minggu sebanyak 12 episod.
Hos rancangan iaitu pakar kesihatan seksual, June Low bersama artis jemputan, Sudarshan menangani pelbagai soalan berkenaan seks dengan gaya lucu mereka tersendiri yang bersifat terus terang dan mudah difahami
June Low, yang juga salah seorang penulis untuk rancangan ini, berkata idea untuk siri ini datang sebagai tindak balas kepada kekurangan kualiti pendidikan kesihatan seksual bagi remaja Malaysia
Kajian menunjukkan bahawa pendidikan seks yang berteraskan kaedah abstinen atau "jangan buat" adalah tidak berkesan dalam menangguhkan aktiviti seksual di kalangan remaja, dan juga tidak berkesan dalam mengelakkan jangkitan penyakit kelamin.
Pada 5 Januari 2015, PopTeeVee mengeluarkan 'teaser trailer' Popek-Popek berdurasi 16 saat bagi menunjukkan konsep santai yang diguna pakai dalam rancangan tersebut
Episod perkenalan Popek-Popek berdurasi 3 minit 22 saat pula diterbitkan pada keesokan harinya, 6 Januari 2015 dengan tajuk 'Apa Itu Dara?'. Persoalan ini pasti meningkatkan rasa ingin tahu anda, sekali gus menekan butang 'play' di bawah.
Popfolio Network, syarikat naungan PopTeeVee sangat komited dalam menghasilkan rancangan pendidikan yang bermanfaat serta memupuk bakat anak-anak muda tempatan
"Objektif utama PopTeeVee adalah untuk melibatkan diri dengan golongan muda Malaysia bagi membantu mewujudkan ruang media yang lebih demokratik, serta melihat anak-anak muda mencipta pengalaman media mereka sendiri. Kami melakukan kerja ini melalui kerjasama dengan produser kreatif dalam membangunkan rancangan individu. Diharapkan, penyediaan platform ini dapat membantu mencipta pengalaman media lebih menarik."
"PopTeeVee adalah rangkaian yang membawa saluran individu seperti That Effing Show, Giler Selamba Jane, Englishjer, #TanyaYBeee serta program arkib kami, The Fairly Current Show. Di samping itu, PopTeeVee juga menyediakan kandungan asal yang dibangunkan oleh agensi media digital, The Greatest Hits."
"Popek-Popek menyertai Englishjer sebagai sebahagian daripada inisiatif pendidikan kami bagi tahun 2015. Kami terus komited dalam menghasilkan kandungan menghiburkan dan bermakna bagi tujuan pendidikan dan perbincangan. Popfolio Network juga memupuk dan bekerja dengan bakat-bakat terbaik dalam industri ini dan kami sangat gembira untuk bekerjasama dengan June Low untuk siri ini, "kata Jia-Wei Loo, Pengarah Urusan Popfolio Network.
Selain PopTeeVee, Popfolio Network juga mempunyai beberapa jenama lain di bawah naungannya termasuk tonguechic.com, poskod.my, makchic.com dan banyak lagi