10 Bukit Di Semenanjung Yang Kaki Hiking Wajib Panjat 'At Least' Sekali
Nak daki gunung tak mampu, apa kata kita mulakan dengan bukit dulu. :)
1. Bukit Keluang, Terengganu
Bukit Keluang mempunyai tarikan tersendiri yang mampu memukau para pengunjung tempatan dan luar negara dengan keindahan dan keunikannya. Bukit ini terletak di Kuala Besut, Terengganu yang yang jaraknya 4 kilometer dari Pekan Kuala Besut.
Tambahan lagi, bukit ini betul-betul terletak berdekatan dengan Pantai Bukit Keluang. Jadi jika anda berjaya naik hingga ke puncak anda pasti berasa sangat teruja dengan keindahan pemandangan landskap pantai dan laut yang biru.
Yang membezakan bukit ini dengan bukit-bukit yang lain, anda perlu melalui tangga yang agak tinggi dahulu pada awal pendakian.
2. Bukit Tabur, Kuala Lumpur
Kami yakin mesti ramai yang mengenali bukit ini. Bukit Tabur atau nama lainnya Bukit Hangus terletak berdekatan Taman Melawati, Kuala Lumpur. Ketinggian bukit ini tidaklah terlalu tinggi dan tidaklah terlalu rendah. Ketinggian bukit ini adalah setinggi 396 meter (1,300 kaki), jadi ia juga sangat sesuai buat beginner yang ingin menceburi dalam aktiviti pendakian.
Bagaimanapun laluannya agak mencabar dan boleh dikatakan 70% laluannya adalah berasaskan batu. Terdapat banyak flora di bukit ini yang mempunyai nilai perubatan dan apabila tiba di puncak, anda dapat melihat pemandangan Klang Gate Dam yang mengagumkan.
3. Bukit Batu Putih, Port Dickson
Buat anda yang berhasrat ingin bercuti ke pantai Port Dickson, apa kata anda selitkan sekali Bukit Batu Putih di dalam jadual perjalanan anda itu. Bukit ini terletak di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Port Dickson yang mana ia mempunyai view laut biru yang sangat cantik dan mendamaikan.
Akan tetapi buat pengetahuan anda, bayaran RM1 dikenakan untuk memasuki hutan rekreasi ini. Kebanyakan mereka yang mendaki bukit ini adalah untuk melihat pemandangan sun set dan sun rise yang sangat cantik dari arah laut.
4. Bukit Broga, Semenyih
Ini lagi satu bukit yang terkenal di Selangor. Bukit Broga atau lebih dikenali sebagai Broga Hills. Ia terletak di bahagian Timur Pekan Semenyih sejauh 4 kilometer menghala ke Broga. Ketinggiannya bukit ini ialah 400 meter dari paras laut.
Boleh dikatakan setiap hujung minggu, puncak bukit ini pasti dipenuhi oleh orang ramai. Ketinggian yang sederhana ini menjadi lokasi latihan bagi mereka yang suka dengan aktiviti pendakian. Bila berada di puncak bukit ini anda dapat melihat pemandangan yang cukup hijau dipenuhi dengan daun lalang.
Kalau anda nak tahu, Broga Hills juga terkenal sebagai salah satu lokasi outdoor bagi sesi fotografi perkahwinan. Bukit ini juga menjadi lokasi buat angkasawan pertama Malaysia iaitu Dr Syeikh Muszaphar Shukor melakukan sesi fotografi perkahwinan bersama isterinya.
5. Bukit Batu Condong, Kemensah
Bukit Batu Condong juga adalah lokasi baru yang dijumpai untuk aktiviti pendakian. Ia tidak tinggi dan tidak sukar malah anda mampu sampai ke puncak berketinggian 285 meter ini kurang dari 45 minit sahaja.
Laluan awal trek ini dipenuhi dengan pokok buluh dan juga dengan gigitan nyamuk. Jadi, kami yakin sekali anda pasti tidak akan terlepas daripada gigitan nyamuk apabila anda di sini. Oleh itu, adalah disyorkan untuk anda memakai pakaian lengan panjang semasa mendaki.
Tambahan lagi, terdapat beirut di puncak dan anda boleh melihat beberapa mercu tanda kota Kuala Lumpur (KLCC, Menara KL dan Menara Maybank). Wow, **bestnya!* Anda pasti tidak akan melepaskan peluang ini. Lagi pula, kawasan bukit ini masih bersih dan tidak dicemari.
6. Bukit Batu Lebah, Melaka
Melaka dikenali sebagai bandaraya bersejarah dan juga diiktiraf oleh UNESCO sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia. Ramai pelancong datang ke Melaka untuk melihat warisan peninggalan sejarah ini. Namun, tahukah anda Melaka juga mempunyai hutan rekreasi buat anda melakukan aktiviti mendaki bukit.
Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah terletak di daerah Jasin, Melaka. Jaraknya adalah 16 km dari pekan Jasin dan 27 km dari Bandaraya Melaka. Selain mendaki, dengan adanya Gua Reban Ayam, anda juga boleh melakukan aktiviti caving di sini.
Sedikit berbeza dengan bukit yang lain, puncak Bukit Batu Lebah hanya memperlihatkan kehijauan hutan rekreasi tersebut. Bagaimanapun, suasana puncak yang sejuk yang dipenuhi flora dan fauna ini pasti dapat menenangkan fikiran anda ketika berada di puncak.
7. Bukit Kutu, Selangor
Ini pula adalah Bukit Kutu atau dahulunya dikenali sebagai Treacher’s Hill. Ia terletak di Kuala Kubu Baru, Selangor. Sekurang-kurangnya 4 jam masa diambil untuk anda tiba di puncak bukit ini. Perjalanan untuk tiba di sini sekurang-kurangnya mengambil masa selama 90 minit dari bandar Kuala Lumpur.
Walaupun diklasfikasikan sebagai bukit tetapi ianya mempunyai ketinggian setaraf dengan sebuah gunung iaitu di paras 3456 kaki ataupun 1053 meter daripada aras laut. 5 minit perjalanan awal anda akan menjumpai bekas tapak rumah banglo yang sudah runtuh. Kelihatan masih lagi ada sisa-sisa bangunan rumah tersebut di sini. Sekali pandang boleh menajdi lokasi penggambaran cerita seram lah pulak!
8. Bukit Saga, Kuala Lumpur
Bagi anda yang merancang untuk hiking di kawasan berdekatan Kuala Lumpur, anda boleh merancang untuk mendaki Bukit Saga yang terletak di Ampang, Kuala Lumpur.
Dan bagi anda yang pertama kali datang ke sini mungkin akan sesat semasa mencari lokasi bukit ini walaupun ada tanda arah disediakan. Ini kerana anda akan melalui kawasan perumahan dan ini akan membuatkan anda sedikit ragu-ragu. Tetapi hakikatnya bukit ini terletak berdekatan dengan Taman Saga, iaitu taman perumahan yang mana anda akan melalui taman ini untuk sampai ke sana.
Anda juga boleh menikmati air terjun di sini selepas mendaki. Jadi, inilah peluang buat anda untuk menyejukkan badan setelah selesai mendaki.
Bezanya Bukit Saga ini, selain pemandangan yang indah, di puncak bukit juga disediakan hammock untuk anda duduk berehat. Sambil-sambil menikmati pemandangan sekeliling, sambil-sambil tu baring di atas hammock. Memang terbaik!
9. Bukit Panorama, Pahang
Dengar nama pun sudah buat kita terfikir, bagaimanalah panorama ketika berada di puncak bukit ini. Rupa-rupanya nama bukit ini memang setanding dengan pemandangan apabila berada di atas sana.
Bukit ini terletak di Sungai Lembing, Pahang. Bukit ini terletak 40 km dari bandar Kuantan. Bukit Panorama berketinggian 291 meter dari aras laut dan semakin mendapat tempat di hati para pengunjung. Anda tidak perlu melalui jalan denai kerana terdapat 815 anak tangga untuk sampai ke atas.
Seeloknya pendakian bermula pada awal 5.30 pagi. Ini kerana sebaik sahaja tiba di puncak, sudah pasti matahari mula terbit. Di sinilah pengunjung berpeluang merakam pelbagai kenangan menarik sama ada bersama rakan atau ahli keluarga.
10. Bukit Arong, Mersing
Bukit Arong merupakan bukit tertinggi yang terletak di Mersing, Johor. Kini ia dipanggil sebagai Gunung Arong kerana ia adalah mercutanda tertinggi di kawasan Tanjung Resang.
Anda perlu melalui jalan kampung sebelum tiba ke sini. Selepas jalan kampung anda akan menemui jalan dusun dan seterusnya air terjun kecil. Permulaan pendakian sudah mencabar kerana terdapat batu-batu kuarzt berbagai bentuk di sepanjang trek.
Trek di sini agak landai dan tidak terlalu curam dan hanya terdapat satu dua tempat sahaja yang agak curam. Jika anda tiba ke puncak, anda dapat lihat terdapat banyak pokok tumbuh di sekelilinga batu. Manakala, puncak bukit agak lapang dan terdapat berop (besi penanda) di puncak gunung.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!