Bayi 3 Bulan Patah Tulang Peha Di Rumah Pengasuh Di Shah Alam
Kes ini masih dalam siasatan.
Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan patah tulang peha kiri ketika dijaga pengasuhnya dalam kejadian di sebuah apartmen di Jalan Parang Seksyen 19, Shah Alam, pada 12 Jun
Kejadian tersebut disedari oleh bapa mangsa apabila mendapati anaknya menangis tanpa henti sewaktu diambil dari rumah pengasuh tersebut pukul 3.15 petang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh bapa mangsa.
Katanya, "Menurut laporan yang kami terima, bapa mangsa menghantar anaknya ke rumah pengasuh pada 7 pagi sebelum keluar bekerja dan mengambil kembali anaknya pada jam 3.15 petang.
"Bagaimanapun, anaknya tidak berhenti menangis dan berikutan itu, bapa mangsa yang juga seorang pembantu perubatan di Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS) membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan termasuk X-ray mendapati tulang peha kiri mangsa telah patah sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Sri Muda."
Polis kini sedang melakukan siasatan lanjut dan akan mendapatkan kenyataan daripada pengasuh dari Pengasuh Selangor terbabit
Pihak hospital pada masa ini sedang melakukan siasatan punca tulang paha bayi berkenaan patah sama ada berlaku kecuaian ataupun penderaan.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa baharu sahaja dua minggu dibawah penjagaan pengasuh terbabit dengan kadar bayaran RM400 sebulan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1) (c) Akta Kanak-Kanak 2001 dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dimaklumkan.