Goh V Shem-Tan Wee Kiong Raih Perak, Tamatkan Kemarau Pingat 20 Tahun Beregu Lelaki
Malaysia Boleh!
Cover image via ReutersPasangan badminton tanah air, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berjaya membawa pulang pingat perak Olimpik setelah 20 tahun kemarau dalam kategori beregu lelaki
Beregu negara terpaksa tunduk kepada beregu nombor 4 dunia, Fu Haifeng-Zhang Nan dari China dengan mata 21-16, 11-21, dan 21-23 dalam perlawanan 3 set yang cukup mendebarkan!
Image via Reuters
Walaupun melangkah ke final sebagai underdog, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong tidak membiarkan gelaran itu mengganggu prestasi mereka di atas gelanggang
Pertarungan akhir epik di Riocentro Pavilion 4 menyaksikan pasangan beregu negara memulakan set pertama dengan penuh bertenaga. Pada mulanya ketinggalan dengan skor 3-7, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bangkit untuk mendahului 13-9 dan kemudian memenangi set pertama dengan skor 21-16.
Namun begitu, set kedua tampak sedikit tempang bagi pasangan beregu nombor 12 dunia itu apabila tewas dengan skor 11-21.
Set penentuan dan yang terakhir berlangsung dengan sangat sengit sekali. Daripada ketinggalan 14-17, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong bangkit untuk mendahului 18-17. Persaingan begitu hangat sehingga memaksa kedua-dua pasangan bertarung dalam deus.
Image via Reuters
Pingat emas tampak realistik apabila pasangan beregu negara memerlukan hanya satu mata untuk menjuarainya. Tetapi…
… nasib tidak menyebelahi Goh V Shem-Tan Wee Kiong setelah kedua-dua 'Championship Point' yang diraih mereka berakhir dengan servis pendek.
Fu Haifeng-Zhang Nan mengorak langkah dan berjaya mengambil kesempatan atas kesilapan tersebut, sekali gus memenangi set ketiga dengan mata 21-23.
Image via Reuters
Image via Reuters
Walaupun terpaksa akur dengan pingat perak, pencapaian Goh V Shem dan Tan Wee Kiong ini adalah antara yang terbaik pernah dilakar dalam sejarah badminton Malaysia di Olimpik
Pencapaian Goh V Shem dan Tan Wee Kiong ini setara dengan kejayaan pasangan beregu hebat Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 yang turut sama merangkul pingat perak dalam acara beregu lelaki.
Tahniah Goh V Shem dan Tan Wee Kiong atas kejayaan meraih pingat perak untuk negara! Kami rakyat Malaysia sentiasa berada di belakang dan berasa sangat bangga atas kejayaan anda berdua.
Image via Reuters
Pasangan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mula menarik perhatian semasa perlawanan suku akhir apabila berjaya menewaskan beregu nombor 1 dunia Lee Yong-dae dan Yoo Yeon-seong dari Korea Selatan dalam kemenangan sengit 3 set, 17-21, 21-18, 21-19.
Kemudian, mereka menewaskan pasangan nombor 5 dunia dari China, Chai Biao dan Hong Wei di separuh akhir dengan tiga set (21-18, 12-21, 21-17) untuk mara ke final.
