Kita Kena Bersatu, Bukan Perlekeh Kerajaan - Teguran Khas Lelaki Ini Kepada Zombie Politik
Bilalah nak berakhir krisis ni?
Umum mengetahui, negara kita kini dilanda krisis yang amat serius bersama Korea Utara atas insiden kematian seorang rakyatnya di KLIA bulan lalu
Pimpinan Korea Utara mendesak kerajaan Malaysia supaya menghantar pulang mayat mangsa tanpa perlu dibedah siasat. Keengganan Malaysia untuk berbuat demikian telah menyebabkan Korea Utara mengeluarkan larangan sementara kepada rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu terdapat 11 rakyat Malaysia berada di Korea Utara.
Tiga merupakan kakitangan kedutaan Malaysia manakala enam lagi adalah ahli keluarga mereka.
Dua lagi adalah petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di negara tersebut.
Walaupun krisis ini dianggap sangat serius, namun terdapat beberapa pihak yang melemparkan komen-komen yang tidak sensitif terhadap situasi sekarang
Ada juga yang menyarankan supaya Malaysia menyerah kalah dan tidak perlu mencari masalah dengan negara komunis tersebut.
Terkesan dengan respon-respon seperti itu, seorang pengguna Facebook Ayman Rasydan Wong telah membuat satu post berkenaan isu tersebut dan menerangkan tentang apa yang sedang dihadapi Malaysia sekarang.
Baca penjelasan beliau di bawah:
LAWAK ANTARABANGSA
Saya ingat Kim Jong-un (pemimpin Korea Utara) dah kira manusia paling lawak di dunia, rupanya ada yang lebih lawak daripada itu. Mengapa saya kata begitu?
Sebelum itu, mari kita “rewind” dulu pasal drama “Attack on Kim Jong-nam” ini. Kes dia macam ini: Kim Jong-nam abang Kim Jong-un dibunuh di KLIA. Polis Malaysia mahu melakukan bedah siasat. Kedutaan Korea Utara tak bagi, nak tuntut balik mayatnya. Pendirian polis kita ialah sila ikut prosedur Malaysia. Tak puas hati punya pasal, Duta Korea Utara iaitu Kang Chol mempertikaikan undang-undang Malaysia. Maka Malaysia mengisytiharkan Kang Chol sebagai “persona non grata” (orang yang tidak dihargai), dengan arti kata lain, halau. Korea Utara pula membuat pengumuman bahawa rakyat Malaysia (ada dalam 11 orang, kebanyakan kakitangan di Kedutaan Malaysia di Pyongyang) tidak dibenarkan meninggalkan Korea Utara.
Adakah Malaysia berhak untuk mengisytiharkan Duta Korea Utara sebagai “persona non grata”? Ada. Ia telah diperuntukkan dalam Artikel 9, Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961. Yang bersalah dalam hal ini ialah Korea Utara kerana 11 rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam Kedutaan (9 orang) dan World Food Programme (2 orang) ditahan itu mempunyai kekebalan diplomatik (“diplomatic immunity”). Dalam undang-undang antarabangsa, diplomat hanya boleh dihalau, tidak boleh ditahan.
Dari permulaan drama ini Malaysia telah bertindak mengikut undang-undang dan norma antarabangsa. Namun, bedah siasat akan mendedahkan kebenaran tentang kematian misteri Kim Jong-nam. Kedegilan Korea Utara dalam memberi kerjasama seolah-olah memberi tanda ada udang di sebalik mee Jajangmyeon.
Apa yang Korea Utara buat sekarang ialah “blackmailing” (peras ugut). Ini bukan kali pertama. Tanyalah jiran Korea Utara iaitu Korea Selatan dan Jepun sudah berapa kali diperas ugut olehnya. Di tahun 2009, Korea Utara juga menahan dua orang wartawan Amerika Syarikat, dan mereka hanya dibebaskan selepas bekas presiden Amerika, Bill Clinton melawat Pyongyang untuk rundingan rahsia.
Dengan menjadikan rakyat Malaysia sebagai tebusan (“hostage”), rejim samseng Korea Utara berharap dapat menebus balik mayat Kim Jong-nam yang mengandungi kebenaran yang mereka cuba sembunyikan. Malaysia tidak mencari pasal dengan Korea Utara, Korea Utara yang mencari pasal dengan kita. Kalau kali ini Malaysia membenarkan Korea Utara membawa balik mayat sesuka hati, apa yang bakal terjadi selepas ini? Orang asing datang membunuh rakyatnya dan membawa balik?
“Battle of the wills” ini menguji siapa yang mengalah terlebih dahulu. Dalam hal ini, orang asing sedang memijak kepala kita kerana kita mempertahankan hak kedaulatan kita, jadi kita harus bersatu sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah, bukan memperlekehkan kerajaan sendiri. Kalau di saat ini pun anda masih mahu menjadi zombie politik, mohon berpindah ke Korea Utara.
Dalam drama kali ini, ada sebuah aktor yang nampak berdiam, iaitu China. Sebenarnya China mengalami dilema di antara Korea Utara dan Malaysia: China melihat Malaysia sebagai rakan strategik di rantau Asia Tenggara, namun pada masa yang sama Korea Utara ialah bidak penting dalam percaturan geopolitik Asia Timur. Kalau China menyokong Korea Utara, Malaysia akan tersinggung. Kalau China menyokong Malaysia, Korea Utara pula akan tersinggung. Jadi lebih baik China berdiam.
Tahun 1981, tiga kakitangan Kedutaan Soviet Union diisytiharkan sebagai “persona non grata” kerana disyaki mengintip. Dengar, Soviet Union itu. Malaysia pun tidak gentar. Apatah lagi Korea Utara.
“Ha ha ha… tengok, ada orang Malaysia kutuk kerajaan sendiri disebabkan masalah yang kita timbulkan. 바보 (babo)!” Kata seorang ajumma yang sedang menonton berita TV dalam rumahnya di Pyongyang.
Siapakah lawak antarabangsa sekarang?
Malah, apa yang mendukacitakan, sesetengah masyarakat kita juga ada yang menjadikan isu ini sebagai bahan jenaka tanpa memandang ia sebagai satu permasalahan serius yang perlu kita tangani bersama
Mari kita sama-sama doakan agar persengketaan ini dapat diselesaikan secara aman tanpa memberi kesan negatif terhadap semua pihak.