seismik

'Disebabkan Saya, Abang Saya Yang Jadi Mangsa. Tak Sangka Dia Sanggup Bunuh Abang'

Kasih si abang sehingga hujung nyawa.

Cover image via SAYS

[TERKINI] Bunuh bakal abang ipar, suspek berdepan hukuman gantung sampai mati

Image via SAYS

Mohd Hafiz Mohamad, 29, yang didakwa membunuh bakap abang iparnya pada 16 Oktober lalu bakal dihadapkan ke tali gantung.

Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu hari ini dan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, beliau berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan. Tarikh 4 Disember depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

20 Oktober*: Suspek bunuh abang ipar diberkas dan direman tujuh hari

Image via The Reporter

Mohd Hafiz Mohamad, 29, dari Kampung Baloh, Manir di Kuala Terengganu telah ditahan 12.30 tengah hari semalam. Ketika ditahan, suspek yang berada dalam keadaan letih dan lesu dipercayai keluar mencari makanan.

Turut ditemui adalah senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Perintah reman selama tujuh hari juga telah dikeluarkan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, Azlina Husin, adik perempuan kepada mangsa yang dibunuh masih trauma dan berubah menjadi pendiam

Kematian abangnya memberi tamparan yang cukup hebat buat Azlina Husin. Beliau kini masih trauma dan hanya mampu menangis selain berubah menjadi seorang pendiam.

Abang iparnya, Mohd. Zuraidi Zulkifli, 34, memberitahu, Azlina banyak menghabiskan masa de­ngan termenung dan mengelak daripada bercakap dengan sesiapa.

“Dia pernah memberitahu ka­mi yang dia kesal dengan kejadian menimpa dan langsung tidak menyangka lelaki itu tergamak menikam arwah abangnya,” katanya.

utusan.com.my

16 Oktober: Negara kita dikejutkan dengan satu kes bunuh kejam di mana seorang lelaki sanggup menikam bakal abang iparnya sebanyak 6 kali sehingga mati di Terengganu

Kejadian tetak dan tikam berlaku di perkarangan tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam), Bukit Besar yang melibatkan seorang lelaki Melayu berumur dalam lingkungan 30-an.

Suspek dipercayai berasal dari Kampung Baloh Manir dan khabarnya kes bunuh ini terjadi berpunca daripada masalah perkahwinan adik perempuan mangsa dengan suspek.

Konflik mula timbul apabila suspek yang ingin berkahwin dengan adik perempuan mangsa dipercayai telah berkahwin dan merupakan suami orang

Oleh itu, mangsa bersama adiknya serta 6 lagi ahli keluarga terpaksa bertolak ke Kuala Terengganu bagi mengesahkan status perkahwinan tersebut.

Mereka sekeluarga kemudian terkejut apabila diberitahu pihak Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Terengganu bahawa suspek, 29, sebenarnya pernah berkahwin, malah telah pun beristeri dua!

Selama ini, suspek mempertahankan bahawa dia masih bujang.

Di sinilah bermulanya pertengkaran mulut di antara suspek dan mangsa dalam bilik kaunseling selepas status berkenaan terbongkar

Mangsa bersama adik perempuannya bersiap untuk pulang ke tempat letak kereta tetapi diekori oleh suspek dan berlaku pergelutan sehingga mangsa ditetak di bahagian tengkuk.

Kejadian disedari oleh pengawal keselamatan namun tidak mampu berbuat apa-apa berikutan suspek bersenjatakan sebilah parang.

Suspek dipercayai menikam mangsa sebanyak enam kali yang mana dua darinya di bahagian leher dan dada kiri sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa.

Adik mangsa berkata dia tidak menyangka sama sekali perwatakan lembut bakal suaminya (suspek) boleh berubah dan sanggup bertindak agresif dan menikam abangnya

Image via BERNAMA

"Selepas dimaklumkan dia telah berkahwin, saya terus berkata, cukup setakat ini sahaja, kerana saya telah berjanji dengan keluarga saya untuk tidak bersamanya jika dia suami orang. Dia dengan tenang menerima keputusan saya.

"Sejurus itu abang saya mengajak dia pergi minum. Namun tiba-tiba kami terkejut, bila diberitahu abang saya telah ditikam,"
katanya.

"Saya sangat terkilan disebabkan saya, abang saya yang menjadi mangsa."

"Abang saya sebelum ini ada memaklumkan bahawa bakal suami itu telah berkahwin, namun saya enggan mempercayainya lantas saya membuat keputusan untuk menyemak statusnya.

"Saya harap dia ditangkap segera sebab jika dia boleh lakukan perkara itu pada abang saya, mungkin juga dia boleh lakukan benda yang sama pada saya dan ahli keluarga saya yang lain.

"Sebelum ini abang saya selalu menasihatinya dan meminta saya agar membuat keputusan yang tepat. Abang juga seorang yang sangat bertanggungjawab. Saya sangat terkilan disebabkan saya, abang saya yang menjadi mangsa,"
katanya lagi.

Adik mangsa, Azlina Husin.

Image via Harian Metro

Lebih menyedihkan, hasrat mangsa, Mohd Shukri Hussin, 34, untuk menimang cahaya mata sulungnya tidak kesampaian

Isterinya Noriah Lah, 34, kini sarat mengandung dan dijangka bersalin bulan depan.

Noriah berkata arwah suaminya adalah seorang yang baik hati dan amat sukakan kanak-kanak kerana belum mempunyai anak sendiri biarpun sudah empat tahun berkahwin.

"Walaupun sedih atas apa yang berlaku, namun saya redha kerana menganggap ia adalah ketentuan Ilahi," kata Noriah.

Noriah Lah menunjukkan gambar arwah suaminya, Mohd Shukri Hussin.

Image via BERNAMA

Pihak polis kini sedang melancarkan gerakan memburu suspek dan dua lagi rakannya dengan melakukan Ops Tutup

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Wan Abdul Aziz Wan Hamzah, suspek melarikan diri dengan sebuah kereta bernombor plat QMD 6252 dengan bantuan dua orang rakannya. Suspek turut mengacu kepada pengawal keselamatan yang menjaga pagar utama pejabat MAIDAM dengan menggunakan pisau yang sama.

Pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek dan rakan-rakannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek dikenali dengan nama Mohd Hafiz Mohamad, 29, dari Kampung Baloh, Manir di Kuala Terengganu

Polis meminta orang ramai yang mengetahui lokasi suspek supaya dapat menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Gambar suspek, Mohd Hafiz Mohamad.

Image via Terengganu Times

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Juga di SAYS:

You may be interested in: