Dipukul Warden, Pelajar Tahfiz Ini Hilang Kedua Kaki, Tangan Kanan Juga Mungkin Dipotong
"Kami dinasihati doktor sebelum ini untuk memotong tangan kanan tersebut tetapi kami tidak bersetuju." - ibu saudara
[TERKINI] Kubur Mohamad Thaqif digali semula untuk dapatkan sampel pada kaki
Kubur pelajar tahfiz yang meninggal dunia bulan lalu, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, digali semula semalam disaksikan ahli keluarga, polis dan perwakilan mahkamah, lapor Berita Harian.
Perkara itu dilakukan bagi membolehkan sampel kaki Thaqif diambil untuk tujuan siasatan yang mana kakinya itu telah dipotong dan disemadikan bersebelahan dengan jenazahnya.
Perkara itu disaksikan oleh bapa saudara dan datuk kepada Allahyarham, Mas Ariff dan Ahmad Motai kira-kira pukul dua petang semalam.
"Ketika itu, saya hanya menjadi saksi ketika pihak hospital menggali kubur berkenaan sambil disaksikan pelbagai pihak termasuk dari Mahkamah, Jabatan Agama Islam dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
astroawani.comManakala, dalam laporan Mingguan Wanita semalam, keadaan jenazah masih sempurna dan masih utuh, sama seperti baru ditanam.
"Keadaan jenazah sempurna dan masih utuh, sama seperti baru ditanam. Pihak forensik yang mengambil sample dari kaki yang dipotong itu turut mengagumi keadaan jenazah yang tidak mereput bahkan cukup istimewa kerana Allah menunjukkan kebesaranNya di hadapan mereka yang masih hidup. Kejadian ini turut disaksikan oleh pihak berkuasa," lapor bapa saudara Allahyarham, Mas Arip.
mingguanwanita.my26 April 2017: Tak mampu bertahan, Mohamad Thaqif akhirnya meninggal dunia
Pelajar pusat tahfiz swasta di Kota Tinggi yang terpaksa dipotong kedua belah kakinya akibat dijangkiti kuman dan darah beku baru-baru ini akhirnya telah menghembuskan nafasnya terakhir awal petang tadi.
Bapanya, Mohd Gaddafi Mat Karim, 43, mengesahkan bahawa anaknya itu meninggal dunia kira-kira jam 2.05 petang tadi di Hospital Sultan Ismail semasa mereka sekeluarga sedang membaca doa untuknya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa CCTV merakam Thaqif dipukul di sebelah tapak kaki sahaja, bukan dua-dua
Sebuah pertubuhan bertanggungjawab hal ehwal sekolah-sekolah tahfiz di Malaysia mempertahankan tindakan seorang pembantu warden di sebuah sekolah tahfiz di Johor yang didakwa memukul seorang pelajar sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.
Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood mendakwa berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terbabit, pelajar tahfiz itu hanya dipukul di sebelah tapak kakinya sahaja.
Menurut Zahid, pihaknya sedang menimbang untuk mengambil peguam untuk membela sekolah dan guru terbabit.
“Kita lihat CCTV di sekolah itu, didapati memukul di satu kaki sahaja di tapak kaki dan berkemungkinan ada isu lain.
“Maklumat ini kita dapat setelah turun ke sekolah tahfiz itu dan berjumpa dengan pihak sekolah iaitu pengetua dan guru sekolah tahfiz itu,” katanya.
Tambah Zahid lagi, sikap menunding jari kepada sebelah pihak hanya menunjukkan sekolah tahfiz itu dilihat sebagai tempat pengganas
Beliau berharap masyarakat beri ruang sepenuh-penuhnya kepada pihak berwajib seperti polis untuk melakukan siasatan, dan doktor untuk menjalankan siasatan perubatan, supaya mendapat satu jawapan yang telus.
“Apa kita lihat hari ini, rakyat menunding jari terus kepada sekolah, ustaz, sedangkan benda itu berlaku lepas 2 minggu.
“Janganlah kerana nyamuk seekor kita bakar kelambu dan seluruh tahfiz dilabelkan mendera, pengganas,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengetua sekolah tahfiz dari Baling, Kedah, Abdul Rahman Yahya Tohar berkata gangguan emosi guru tahfiz mungkin salah satu puncanya
Dalam laporan Free Malaysia Today semalam, Abdul Rahman berkata jika dilihat, peraturan yang ditetapkan sekolah tahfiz tidak membenarkan pelajar tahfiz dipukul.
“Kalau apa-apa kesalahan, dia akan rekod dan bawa kepada pengetua.”
Menurutnya, hukuman disiplin termasuk denda, gantung atau buang sekolah.
“Jika rotan pun hanya tempat yang tidak menyakitkan dan memudaratkan seperti di tapak kaki. Itu pun jika pelajar tahfiz itu betul-betul degil,” katanya kepada FMT.
Menurut Abdul Rahman, pelajar tahfiz biasanya akan diberikan nasihat jika membuat sesuatu kesalahan.
“Tetapi ada juga mungkin guru yang tak tahan sangat akan rotan tetapi tidak sampai memudaratkan. Melainkan ketika itu guru tahfiz tersebut ada masalah tekanan di rumah atau masalah kerja yang menyebabkan pelajar tahfiz yang dipukul cedera.
“Itu pun kalau berlaku hanya kes terpencil,” katanya.
21 April 2017: Sungguh menyedihkan apabila seorang pelajar pusat tahfiz swasta di Kota Tinggi terpaksa dipotong kedua belah kakinya akibat dijangkiti kuman dan darah beku baru-baru ini
Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, 11, terpaksa melalui penderitaan tersebut selepas didakwa sering dirotan pembantu warden asrama pusat tahfiz berkenaan.
Menurut ibu mangsa, Felda Wani Ahmad, 40, anaknya itu mendaftar masuk ke pusat tahfiz berkenaan pada 27 Januari lalu dan pada awalnya anaknya itu kelihatan gembira.
“Namun sejak akhir-akhir ini dia berubah dan meminta saya mengeluarkannya dari situ setelah dia dan rakannnya sering dipukul oleh seorang pembantu warden di tapak kaki dan betis dalam keadaan sujud.” katanya.
Felda membuat keputusan mengeluarkan anaknya itu dari tahfiz tersebut pada 31 Mac lalu setelah mendapati keadaan anaknya tidak lagi seperti dahulu dan seolah-olah ketakutan untuk kembali ke sana
Keadaan Mohamad Thaqif itu juga semakin merosot setelah dibawa keluar dari pusat tahfiz berkenaan sebelum dimasukkan ke hospital Rabu lalu.
“Kedua-dua kaki anak saya menjadi lebam kemerahan dan doktor yang merawat mengatakan terdapat darah beku dan jangkitan kuman yang telah merebak ke buah pinggang anak saya," khabarnya lagi.
Doktor tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melakukan pembedahan semalam bagi memotong kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif bagi mengelakkan kuman itu daripada merebak
Felda Wani yang merupakan seorang guru di sekolah rendah di Kota Tinggi berkata, dia masih menunggu laporan perubatan bagi mengetahui sama ada kejadian yang menimpa anaknya itu adalah kesan daripada hukuman rotan berkenaan.
Beliau dan keluarga yang tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Ulu Tiram pada 19 Mac lalu.
Bagaimanapun, laporan Astro Awani semalam memberitahu bahawa Ahmad Thaqif juga mengalami darah beku pada lengan kiri manakala tangan kanannya perlu dipotong
Ibu saudara pelajar tersebut, Nurul Nabila Ahmad, 30, berkata Mohamad Thaqif yang kini ditempatkan di Unit Dependensi Tinggi (HDU) masih dalam keadaan kritikal, namun bengkak pada mukanya sudah surut selepas menjalani dialisis.
Nurul Nabila berkata keluarga mereka turut dimaklumkan doktor bahawa pembedahan tangan kanan Mohamad Thaqif yang dilakukan semalam bagi membuang darah beku menunjukkan hasil positif dan berkemungkinan besar tangan tersebut dapat diselamatkan.
"Kami dinasihati doktor sebelum ini untuk memotong tangan kanan tersebut tetapi kami tidak bersetuju. Buat masa ini tangan itu masih dipantau selama 48 jam mulai semalam sehingga pagi esok (hari ini)," katanya.
Dalam pada itu, pembantu warden tersebut juga telah ditangkap pada 23 April lalu dan ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan
"Kami telah mengambil keterangan daripada pengetua sekolah itu, kakitangan dan rakan-rakan pelajar tersebut," kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi ACP Rahmat Othman, ketika bercakap kepada Bernama.
Bernama melaporkan bahawa pihak berkuasa juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah masa lampau.
Beliau disabitkan atas kesalahan mencuri dan dijatuhkan hukuman penjara selama 30 bulan dari tarikh dia ditangkap pada 22 Mei 2014, kata ketua polis.