seismik

[GAMBAR] Kronologi Penuh Tragedi Helikopter Di Sarawak Yang Meragut 6 Nyawa

Menyayat hati, sebak, sedih, dan amat tragis.

Cover image via peraktoday.com.my

5 Mei, 4.12PM: Helikopter dengan nombor pendaftaran RPC 6828 memulakan penerbangan dari Betong dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar jam 5 petang

Helikopter itu membawa enam penumpang iaitu:

1. Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon,
2. Suaminya, Asmuni Abdullah,
3. Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad,
4. Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai,
5. Pengawal Peribadi, Ahmad Sobri Harun,
6. dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

5 Mei, 4.32PM: 20 minit kemudian helikopter berkenaan didakwa terputus hubungan dengan menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA)

Difahamkan, juruterbang telah menghubungi menara kawalan lokasi mereka berada di sekitar kawasan Triso, Sebuyau sebelum terputus hubungan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Ya, pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara sebaik sahaja berlepas dari Betong menuju ke Kuching. Setakat ini, kami telah memaklumkan perkara ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan helikopter ini,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Image via www.astroawani.com

5 Mei, 10PM: Ura-ura menyatakan bahawa helikopter tersebut telah mendarat cemas di Sri Aman

5 Mei, 10.15PM: DCA kemudian memaklumkan kepada PGO Sarawak bahawa bahawa khabar angin yang menyatakan helikopter tersebut telah mendarat cemas di Sri Aman adalah tidak benar.

5 Mei, 11.30PM: Mesyuarat penyelarasan SAR antara Agensi telah diadakan di IPK Kuching. Helikopter tersebut barangkali telah terhempas.

6 Mei, 6AM: Operasi SAR dijalankan menggunakan 'Water Surface Searching' di kawasan tumpuan iaitu di Pesisiran Sebuyau dan Triso serta sekitar Lingga

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, berkata pihaknya menerima laporan dari DCA pada jam 8.20 malam tadi dan menggerakkan pasukan anggota ke beberapa kawasan untuk membantu operasi SAR.

“Kita melancarkan pasukan mencari dan menyelamat untuk ke kawasan Sri Aman, Simunjan dan Betong,” katanya.

Lebih 100 anggota pasukan Polis Marin, Bomba, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terlibat dalam operasi SAR itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman (tengah).

Image via www.nst.com.my

6 Mei, 12PM: Mayat Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon ditemui

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohamad mengesahkan mayat mangsa yang ditemui ialah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

"Mayat mangsa akan dibawa naik ke darat dari lokasi penemuan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sebuyau untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Nasib enam penumpang yang lain termasuk juruterbang, setakat ini belum diketahui.

6 Mei, 10.30PM: Solat jenazah buat Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon diadakan di Kuching

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan jemaah lain menyempurnakan solat jenazah mangsa tragedi helikopter, Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon di Surau Al-Jahirah, Pangkalan Udara Kuching.

Turut sama menunaikan solat jenazah ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota keluarga Noriah.

Jenazah kemudian diterbangkan ke Pangkalan Udara Subang, Selangor menggunakan pesawat tentera.

7 Mei, 2AM: Jenazah Noriah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Sungai Burong, di Tanjung Karang, Selangor

Jenazah Allahyarhamah diterbangkan dari Pangkalan Udara Kuching ke Pangkalan Udara Subang dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Charlie C130 yang tiba kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Allahyarhamah meninggalkan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan iaitu Mohd Shafiq Ishak, 29; Ain Shafinas Ishak, 24; Anis Athirah Ishak, 21, dan Adam Aidid Suhaili, 19, serta seorang anak angkat, Adam Mukhriz Abdullah berusia tiga tahun.

7 Mei, 8.30AM: Pasukan SAR menjumpai mayat seorang lelaki 10km dari Pusat SAR di Lingga, kira-kira 250km dari Kuching

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad mengesahkan mayat terbabit dijumpai pukul 8.31 pagi.

"Mayat mangsa yang ditemui akan dibawa ke (satu) tempat, tapi tempatnya belum dipastikan lagi," katanya.

Mayat kedua ini kemudian dikenal pasti sebagai Mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

7 Mei, 10.30AM: Orang awam menemui mayat ketiga sekitar jam 10.30 pagi kira-kira 1km dari penemuan mayat pertama di Sungai Batang Lupar

Mayat tersebut bagaimanapun sukar dibawa naik pasukan SAR gara-gara keadaan air yang surut ketika itu.

“Di lokasi, mereka nampak satu mayat lagi tapi masalahnya sekarang ini air surut jadi bot tidak dapat nak menghampiri mayat.

“Kami cuba yang terbaik untuk mendapatkan mayat mangsa satu lagi. Buat masa ini masih berusaha merapati tempat yang dimaksudkan. Kami akan cuba cara ‘airlift’ kalau boleh. Saya masih menanti laporan dari lokasi.

“Saya hanya dapat mengesahkan satu mayat dapat dibawa naik dan satu mayat (ketiga) yang telah dimaklumkan masih belum dapat disahkan,” kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman.

Bagaimanapun difahamkan, mayat ketiga itu berjaya tiba di jeti Lingga jam 1.25 tengah hari tadi.

Polis mengenal pasti mayat ketiga sebagai Allahyarham Ahmad Sobri Harun, pengawal peribadi Allahyarhamah Datuk Noriah.

7 Mei, 6PM: Lima mayat nahas helikopter telah dijumpai setakat ini dan usaha giat dilakukan untuk mencari seorang lagi mangsa

Mayat keempat dijumpai pada jam 3.20 petang, juga berhampiran tempat mayat Noriah ditemui.

Mayat kelima dijumpai kira-kira jam 6 petang, lebih kurang 2.5km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Lingga, 250km dari Kuching.

Masing-masing disahkan identitinya kemudian sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad dan Asmuni Abdullah yang juga suami kepada Datuk Noriah Kasnon.

7 Mei, 9PM: Dua jasad diterbangkan ke Semenanjung secara serentak pada sebelah malam

Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, berkata jenazah Ahmad Sobri Harun akan diturunkan di Kuala Terengganu manakala jenazah Asmuni Abdullah akan diturunkan di Subang.

8 Mei, 8.30AM: Jenazah Ahmad Sobri Harun dan Asmuni Abdullah masing-masing selamat tiba di Terengganu dan Subang

Jenazah Ahmad Sobri Harun tiba di Terengganu.

Image via www.bharian.com.my

Jenazah Asmuni Abdullah selamat tiba di Subang.

Image via www.bharian.com.my

9 Mei, 10.45AM: Pasukan polis Marin menemui mayat juruterbang pada pukul 10.15 pagi, kira-kira 5.5km dari pangkalan feri Triso

Mayat terakhir mangsa nahas helikopter Eurocopter AS350 dipercayai juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas ditemui kira-kira jam 10.45 pagi sekitar kawasan Triso, Sebuyau.

Mayat berkenaan tiba di jeti pekan Lingga pada jam 11.35 pagi dan akan dibawa ke Hospital Umum Kuching (HUS) menaiki helikopter.

Lagi gambar-gambar menyayat hati:

Sebahagian daripada ahli keluarga mangsa nahas helikopter kelihatan sebak sebaik tiba di lapangan terbang Antarabangsa Kuching.

Image via www.bharian.com.my

Isteri Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Mohd Yazid ditenteramkan oleh ayahnya, Datuk Mohd Yazid Baba.

Image via www.bharian.com.my

Ibu kepada Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad, Rahmah Abdullah menahan sebak.

Image via www.bharian.com.my

Polis Marin menemui mayat keempat.

Image via www.bharian.com.my

Anggota Bomba mengangkat serpihan helikopter.

Image via www.bharian.com.my

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim tidak dapat menahan kesedihan ketika jenazah mangsa pertama dijumpai.

Image via www.bharian.com.my

Ahli keluarga mangsa nahas helikopter kelihatan sebak sebaik tiba di lapangan terbang Antarabangsa Kuching.

Image via www.bharian.com.my

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

You may be interested in: