seismik

'Kami Kesal Dan Mohon Maaf' - Watsons Padam Video 'Legenda Cun Raya' Selepas 12 Jam

#MaafkanWatsons

Cover image via Watsons Malaysia

Semalam, Watsons Malaysia telah melancarkan sebuah filem digital epik berjudul 'Legenda Cun Raya' yang menampilkan beberapa selebriti terkemuka

Dibintangi oleh Kamal Adli, Raja Ilya, Uqasha Senrose, Ruhainies, Amber Chia, Thanuja Ananthan, Nadine Ann Thomas, Sasha Saidin, dan ramai lagi, video epik tersebut berkisar tentang lagenda 'Dayang Senandong'.

Dayang Senandong merupakan sebuah ceritera masyarakat Melayu mengenai seorang perempuan yang dilahirkan terkutuk dengan kulit hitam tetapi dikurniakan dengan suara yang indah.

Lagenda ini menggambarkan bahawa raja jatuh cinta dengan Dayang Senandong kerana suaranya dan kecantikan dalaman. Maka, laknat itu ditarik balik selepas Dayang Senandong melahirkan anak raja.

Pengarah khidmat pelanggan Danny Hoh berkata, "Tahun ini kami menawarkan sesuatu yang berbeza, unik, dan relevan untuk semua. Skrip untuk filem epik ini telah ditulis dengan teliti bagi menyuntik identiti jenama Watsons termasuk unsur humor dan juga babak lakonan yang luar biasa."

Namun, selepas beberapa jam, filem digital tersebut dihentam teruk oleh orang ramai dari setiap sudut

Ramai yang menganggap kandungan video tersebut berbaur perkauman, malah sengaja memaparkan orang berkulit gelap sebagai hodoh.

Video berkenaan hanya bertahan selama 12 jam di Facebook Watsons Malaysia

Setelah dicemuh dengan pelbagai kutukan dan kata-kata kesat, pihak Watsons Malaysia membuat keputusan untuk memadam video berkenaan.

Mereka turut mengeluarkan permohonan maaf pada jam 7.20 malam semalam atas keterlanjuran pihak mereka menghasilkan video terbabit yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia. Baca di bawah:

"Watsons Malaysia berdiri teguh atas kepercayaan bahawa perpaduan dan keadilan memainkan peranan yang penting, dan kami amat menghormati semua orang dari pelbagai bangsa. Video itu telah dihasilkan bagi mengembalikan lagenda dan menyuntik nilai-nilai moral iaitu kecantikan dalaman dan cinta sejati itu wujud. Kami mohon maaf dan bukan niat kami untuk menyinggung mana-mana pihak dengan video itu. Kami begitu serius dalam mengambil maklum balas daripada orang ramai.

Sokongan berterusan anda amatlah dihargai dan apa-apa maklum balas daripada anda akan membantu dalam meningkatkan perkhidmatan kami.

Maaf Zahir dan Batin.

Terima kasih."

Kemudian, kira-kira jam 4.30 petang tadi, Pengurus Besar Watsons Malaysia, Caryn Loh turut mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memohon maaf di atas kesilapan pihak mereka

"#MaafkanWatsons

Kami memohon maaf di atas video terbaru kami berjudul 'Legenda Cun Raya' yang dilancarkan semalam. Video 15 minit itu diilhamkan daripada lagenda Melayu 'Dayang Senandong' yang dipopularkan melaui filem 'Dayang Senandong' pada tahun 1965. Niat kami adalah untuk menyampaikan konsep kecantikan dalaman dan luaran, malangnya video tersebut telah menyinggung ramai pihak.

Dengan rasa dukacita, kami mengakui bahawa video "Legenda Cun Raya" tidak selari dengan nilai-nilai yang kita pegang di Malaysia. Watsons Malaysia mengambil tanggungjawab penuh di atas video dan kandungannya, dan benar-benar memohon maaf kerana beberapa elemen telah menyinggung orang awam.

Watsons Malaysia berikutan maklum balas daripada orang ramai, segera memadam video berkenaan dan kami menghargai maklum balas yang jujur ​​terutama menuju ke satu perayaan penting seperti Hari Raya.

Bergerak ke hadapan, kami akan terus mendengar kepada orang awam dan pelanggan setia kami. Bagi pihak Watsons Malaysia, kami dengan rendah hati memohon ampun dan amat kesal di atas apa-apa kemudaratan yang telah kami cetuskan."

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Bagi sesiapa yang berniaga dan mempunyai jenama sendiri, sila baca artikel di bawah:

You may be interested in: