Bank Negara Malaysia Terima Ancaman Bom Palsu Dari Takahiro Karasawa. Siapa Individu Ini?
Selain Malaysia, Filipina dan Korea Selatan turut pernah mendapat ancaman palsu yang sama.
Pelik dan misteri?
Itulah persoalan yang menjadi tanda tanya orang ramai mengenai isu ancaman bom palsu yang dikirim melalui e- mel kepada Bank Negara Malaysia (BNM) tempoh hari
Image via hmetro.com.my
Menurut sumber menerusi laporan Harian Metro, setakat ini tiga laporan berhubung ancaman bom diterima iaitu satu di Kuala Lumpur dan dua di Johor.
"BNM semalam menerima e-mel ancaman bom dan di Johor juga ada dua kes serupa. Bagaimanapun pemeriksaan dilakukan mendapati ia ancaman palsu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu.
Ini bukanlah kali pertama kerana polis turut menerima laporan ancaman bom di BNM, September lalu.
Apa yang berlaku di Johor?
Pada 12 Februari 2024, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar mengesahkan beliau turut menerima ugutan ancaman bom menerusi emel rasminya daripada individu yang menggelar dirinya sebagai Takahiro Karasawa.
Katanya, hasil siasatan dijalankan, pihaknya tidak mengenalpasti kewujudan sebarang unsur ancaman seumpama itu.
Susulan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pengesanan dan pembersihan, namun tidak menemui sebarang ancaman seperti didakwa.
Pengirim menghantar e-mel tersebut dan semakan mendapati ia daripada alamat sama seperti yang pernah dihantar ke beberapa pihak Disember tahun lalu.
"Kita percaya orang yang sama dan hasil siasatan mendapati ia adalah akaun palsu," katanya.
Salah satu lokasi ancaman palsu tersebut adalah di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)
Image via Berita Harian
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman, mengesahkan menerima maklumat ancaman bom menerusi e-mel dihantar 'Takahiro Karasawa' (takahiro- karasawa@akita-h-story.jp) pagi Isnin lalu.
Sewaktu insiden, seramai lebih kurang 500 kakitangan telah digegaskan keluar dari bangunan untuk pemeriksaan dan mereka dibenarkan untuk kembali semula ke pejabat pada jam 2 petang untuk bertugas.
Rupa-rupanya, penduduk di Filipina juga menerima panggilan ancaman bom daripada pengirim e-mel sama
Image via pna.gov.ph
Kiriman ancaman palsu berkenaan telah menjejaskan operasi beberapa sekolah, syarikat dan pejabat.
Menurut laporan Philippines News Agency (PHN), terdapat beberapa jabatan kerajaan yang telah menerima ancaman tersebut dan salah satunya termasuklah Suruhanjaya Pendidikan Tinggi.
Dalam kiriman emel tersebut, Karasawa (individu yang sama) memberitahu bom itu akan menggegarkakan agensi kerajaan Filipina pada jam 3.34 petang.
Tetapi apa yang menghairankan adalah, individu tersebut juga pernah memberikan ancaman bom palsu yang menyasarkan sistem MRT-3, September lalu.
Selain Malaysia dan Filipina, Korea Selatan turut pernah mendapat ugutan yang sama.
Jadi siapakah sebenarnya Takahiro Karasawa ini? Satu video di YouTube melaporkan dia adalah individu kedua yang paling banyak menerima ugutan bunuh di dunia selepas Justin Bieber
Image via historica.fandom.com
Berdasarkan kajian kami, pemilik nama Takahiro Karasawa sememangnya wujud. Menurut carian Google, Karasawa adalah merupakan seorang peguam yang berasal daripada Jepun.
Satu video di laman YouTube juga memberitahu bahawa dia adalah sorang peguam dan YouTuber. Apa yang memeranjatkan, menerusi video berkenaan, dia dikatakan adalah sebagai individu kedua yang paling banyak mendapat ugutan bunuh di dunia selepas bintang terkenal, Justin Bieber.
Bukan itu saja, dia juga mempunyai koleksi Karasawa's Art yang dijual di NFT.
Image via flickr.com
Berhubung insiden di Filipina, dia ada mengeluarkan kenyataan dan menidakkan bahawasanya dia pengirim e-mel berkenaan.
Buat masa ini, kami dapat sahkan kewujudan pemilik nama ini. Bagaimanapun, siapakah dalang disebalik kekecohan ini masih kekal misteri.
Leave a comment