Francesco Bagnaia Muncul Juara Perlumbaan MotoGP PETRONAS Grand Prix Malaysia 2024
Pelumba kelahiran Itali itu berjaya menghalang Jorge Martin daripada dinobatkan sebagai juara dunia lebih awal bagi kelas elit itu.
Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo berjaya memenangi perlumbaan MotoGP PETRONAS Grand Prix (GP) Malaysia 2024 yang berlangsung penuh mendebarkan hari ini
Kemenangan itu sekali gus mengheret persaingan merebut kejuaraan dunia ke pusingan terakhir.
Menerusi laporan Berita Harian, kemenangan Bagnaia di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS menyaksikan pelumba kelahiran Itali itu berjaya menghalang Jorge Martin daripada dinobatkan sebagai juara dunia lebih awal bagi kelas elit itu.
Tetapi Martin dari Pramac Ducati jelas enggan 'melepaskan' Bagnaia apabila melepasi garisan penamat sebagai naib juara dengan Enea Bastianini juga dari Ducati Lenovo turut melengkapkan kedudukan podium.
Image via NSTP
Pada perlumbaan yang terpaksa dimulakan semula susulan kemalangan dihadapi tiga pelumba, Brad Binder, Jack Miller (Red Bull KTM) dan Fabio Quartararo (Monster Yamaha) seawal pusingan pertama, Bagnaia dari Itali menamatkan perlumbaan dengan catatan 38 minit 04.563 saat (s).
"Sejujurnya menguruskan panas (di Sepang) adalah perkara yang mudah kerana Martin amat agresif kerana dia tahu saya perlu berada di belakangnya," kata Bagnaia yang melepasi garisan penamat 3.141s di depan Martin.
"Saya mempunyai kepantasan yang baik jadi saya tahu yang saya boleh menyerang dan lebih agresif. Ini adalah kemenangan ke-10 kami pada musim ini jadi ia kerja yang menakjubkan," kata Bagnaia.
Bagnaia yang memulakan perlumbaan di petak utama sebelum perlumbaan ketinggalan 29 mata dengan keputusan kini menyaksikan kelebihan Martin itu dicantas kepada 24 mata
Image via Asyraf Hamzah/NSTP
Saling berbalas kedudukan pendahulu selepas perlumbaan dimulakan semula, Bagnaia jelas lebih bermotivasi untuk menamatkan perlumbaan sebagai juara.
Dan selepas tiga pusingan bersaing sengit, Martin tampak seperti mengendurkan cabarannya bagi mengurangkan risiko terjatuh dengan malang menimpa pelumba Gresini Ducati, Marc Marquez selepas terjatuh.
Daripada ketiga-tiga pelumba yang terjatuh, hanya pelumba Monster Yamaha, Quartararo kembali memulakan perlumbaan dan berjaya menamatkan aksi di tempat keenam.
Marquez yang terjatuh turut meneruskan perlumbaan namun menamatkan aksi di tempat ke-12.
Perlumbaan penutup tirai MotoGP musim 2024 dijadual berlangsung di Barcelona, Sepanyol selepas pusingan yang sepatutnya berlangsung di Valencia, Sepanyol dibatalkan susulan banjir besar yang melanda daerah berkenaan.
Pelumba wildcard negara hangatkan MotoGP PETRONAS Grand Prix (GP) Malaysia 2024
Untuk rekod, saingan perlumbaan MotoGP PETRONAS Grand Prix (GP) Malaysia 2024 kali ini menyaksikan pelumba Moto2 negara, Muhammad Helmi Azman dan seorang lagi pelumba negara Khairul Idham Pawi beraksi menerusi tiket peluang khas (wild card).
Namun, Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai SuperKIP terlepas peluang beraksi selepas patah tangan kiri dan cedera pada bahagian kaki susulan kemalangan di penghujung perlumbaan pusingan kelayakan 1 semalam.
Image via Bernama
Begitupun, Muhammad Helmi daripada PETRONAS MIE Racing RW yang bermula dari petak ke-29 bekerja keras untuk memberikan cabaran sebelum akhirnya menamatkan saingan di tempat ke-23, melepasi garisan penamat dengan catatan masa +49.239 saat di belakang Vietti.
Menerusi laporan Bernama, Muhammad Helmi berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan, sekurang-kurangnya mampu memperbaiki catatan masa dan kedudukan pada perlumbaan ini.
"Saya berpuas hati sebab saya berlumba pada tahap agak maksimum berbanding hari pertama dan semalam. Saya juga banyak meningkat berbanding tahun lepas, dan sasaran masa sepusingan saya dah tercapai,” katanya.
Image via Asyraf Hamzah/NSTP
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!
Image via SAYS Seismik
Leave a comment