Ketua Polis Negara Sahkan 13 Kanak-Kanak Di Rumah Amal GISB Mengaku Pernah Diliwat
Seramai 172 pelajar pula mengalami kecederaan fizikal dan mental.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seramai 13 orang kanak-kanak yang menginap di rumah amal dikaitkan 'Global Ikhwan Service and Business Holding' (GISBH) disahkan memiliki rekod pernah diliwat
Menerusi Berita Harian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata seramai sembilan orang dikenal pasti diliwat selepas pihak polis melakukan siasatan fasa kedua, manakala bakinya pada fasa sebelumnya.
Tambah beliau, semua kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dalam satu kertas siasatan.
"Pada serbuan bertarikh 2 September lalu, kita terima laporan di Negeri Sembilan dan Selangor terdapat empat mangsa yang diliwat.
"Siasatan lanjut fasa kedua dalam serbuan pada 11 September lalu pula mendapati sembilan lagi mangsa telah dikenal pasti. Jadi siasatan dibuat di bawah satu kertas siasatan yang sama," katanya.
Difahamkan, semua kanak-kanak itu berusia belasan tahun.
Image via Berita Harian
Polis nafi lewat bertindak, siasatan telah dilakukan sejak tahun 2011
Dalam pada itu, dakwaan pihak polis lewat mengambil tindakan ke atas laporan berkaitan 'Global Ikhwan Service and Business Holding' (GISBH) adalah tidak benar.
Ketua Polis Negara sebaliknya menjelaskan siasatan sudah dilakukan sejak 2011, namun tangkapan hanya dibuat selepas terdapat petunjuk kukuh yang membolehkan tindakan itu dibuat.
Image via Berita Harian
172 pelajar alami kecederaan fizikal dan mental
Dalam satu lagi laporan dari Berita Harian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mendedahkan hasil saringan kesihatan ke atas 172 pelajar yang terkait dengan isu eksploitasi kanak-kanak dan mendapati mereka mengalami kecederaan fizikal dan mental.
Tambah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, penelitian lanjut akan dilaksanakan ke atas mangsa-mangsa tersebut dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebelum ini, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
Dalam Op Global dijalankan antara jam 6-11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Hasil maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Leave a comment