Buta, Tak Jadi Halangan. Wanita OKU Ini Berjaya Beli Rumah Secara Tunai!
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!
Setiap orang pasti mempunyai angan-angan untuk memiliki rumah sendiri satu hari nanti
Image via Giphy
Masa itu, pastinya ada bermacam-macam idea untuk menghias rumah dan pastinya ia mengikuti stail anda sendiri. Best-nya!
Namun begitu, dengan kenaikan harga rumah kini ditambah lagi dengan komitmen lain pastinya membuatkan ramai yang terpaksa memendam hasrat untuk memiliki 'harta' sendiri.
Sementara itu, wanita kurang upaya yang dikenali sebagai Esah Husin ini membuktikan sebaliknya apabila berjaya membeli sebuah rumah kos sederhana rendah berharga RM72,500 secara tunai
Memetik The Star, wanita berusia 42 tahun yang mempunyai masalah penglihatan sejak kecil serta bekerja sebagai telemarketer itu telah menyimpan duit sejak berumur 19 tahun lagi.
Kongsinya, sekurang-kurang dia berjaya menyimpan sebanyak RM500 setiap bulan dan bergantung kepada elaun pekerja cacat (EPC) yang diterimanya setiap bulan.
Selain itu, Esah turut melakukan kerja sampingan seperti menyanyi di majlis-majlis untuk menambah duit poket.
Image via The Star
Katanya, dia mahu membuktikan bahawa wanita cacat sepertinya mampu berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang sepanjang masa.
"Saya gembira dengan apa yang saya ada hari ini. Saya harap semoga orang yang senasib dengan dengan saya tidak akan terlalu bergantung kepada orang lain. Mereka boleh hidup berdikari macam saya," katanya.
Dalam pada itu, Esah turut berkongsi kisah hidupnya yang membesar di rumah anak-anak yatim
Image via anakyatimttdi
Dia ditinggalkan oleh ibu bapanya di sebuah rumah anak yatim di Kelantan. Kemudiannya, dia dipindahkan ke Johor Bahru dan belajar di Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizabeth.
Bagaimanapun, dia berpindah pula ke Setapak, Kuala Lumpur semasa di sekolah menengah. Tamat sekolah, dia diperkenalkan kepada rumah St Nicholas yang mengajarnya skil asas seperti kemahiran hidup, komunikasi dan juga teknologi maklumat (IT).
Di situ, dia bertemu dengan seorang jurulatih yang memberinya idea untuk menyimpan pada masa hadapan. Sejak itu, dia mempunyai satu misi dalam hidupnya.
Esah sudah mendaftar untuk membeli rumah sejak tahun 2014 lagi namun borang permohonannya hilang
Image via permohonan.my
Tidak berputus asa, Esah memohon lagi pada tahun 2016 dan dipanggil untuk pengundian pada tahun 2017. Akhirnya, penantiannya berhasil apabila dia menerima kunci rumah pada April lalu di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Kisah Esah ini boleh dijadikan pengajaran buat semua. Dia berjaya membuktikan bahawa semua orang boleh mencapai sesuatu dalam hidup kalau berusaha keras.
Image via Giphy
Baca juga artikel ini:
Leave a comment