The Vocket Lancar Kempen 'Jadi Buddy, Bukan Buli' - "Hentikan Kitaran Buli"
Kempen itu bertujuan untuk menyediakan platform selamat buat mangsa buli.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Saban hari kita dikejutkan dengan pelbagai berita di media
sosial perihal salah laku buli
Tidak lagi hanya secara fizikal, buli kini kerap berlaku kepada pengguna media sosial sehingga ada mangsa yang membuat keputusan untuk mengambil nyawa sendiri kerana tertekan.
Menurut laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS): Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) 2022, difahamkan bahawa satu daripada lima remaja di Malaysia telah membuli atau mengganggu orang lain melalui Internet, telefon bimbit, atau peranti elektronik, menurut Kementerian Kesihatan. (Sumber: NST)
Manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendedahkan jumlah kes buli di sekolah meningkat dengan ketara, dengan 4,994 kes direkodkan setakat Oktober 2023.
Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding 3,887 kes pada tahun 2022 dan hanya 326 kes pada 2021. (Sumber: Harian Metro)
Image via VOCKET
Terpanggil untuk sama-sama menangani isu ini, The Vocket melancarkan kempen ‘Jadi Buddy, Bukan Buli’, bertujuan untuk menyediakan platform selamat buat mangsa buli.
Kempen ‘Jadi Buddy, Bukan Buli’ memberi fokus kepada visi besar iaitu menyediakan ruang bagi mangsa buli untuk berkongsi kisah hidup mereka secara rahsia (tanpa identiti).
"Antara inisiatif utama dalam kempen ini adalah kotak luahan hati yang boleh diakses di laman sesawang www.thevocket.com/jadibuddybukanbuli, di mana mangsa buli boleh berkongsi pengalaman tanpa perlu mendedahkan identiti mereka," kata pengurus kempen 'Jadi Buddy, Bukan Buli', Aiman Nazirmuddin.
Perkataan Bahasa Inggeris 'buddy' itu sendiri membawa maksud rakan atau teman dalam Bahasa Malaysia. Jadi, kami sedia jadi 'teman' untuk mendengar luahan anda," tambah Aiman.
Sebagai saluran untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai impak buruk buli terhadap individu
Antara kandungan yang akan dibawa sepanjang kempen ini adalah siri Voccast di YouTube, sesi bual bicara bersama dengan panelis profesional serta individu yang pernah menjadi mangsa buli berkongsi pengalaman mereka.
Selain itu, kandungan media sosial seperti 'Vocket Tanya Random' pula akan mengetengahkan temuramah dengan orang awam dan tidak ketinggalan artikel-artikel berkaitan buli di laman sesawang The Vocket.
Kempen ini bukan sahaja menjadi tempat luahan perasaan, malah sebagai saluran untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai impak buruk buli terhadap individu serta komuniti dan mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi isu ini.
Justeru itu, The Vocket telah memilih Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai dan NGO Empati sebagai rakan strategik bagi menjayakan kempen 'Jadi Buddy, Bukan Buli' ini.
"Ia adalah langkah kecil tetapi signifikan dalam usaha menyokong mangsa buli dan membentuk persekitaran yang lebih empati serta selamat untuk semua," tambah Aiman.
Image via VOCKET
Wakil Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Cik Sofiah Atiqah, Pakar Psikologi Klinikal berkata isu buli ini merupakan satu perkara yang serius dan masyarakat perlu memberi sokongan terhadap mangsa buli.
"Di Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, kami menyediakan servis konsultasi dan terapi berkaitan pelbagai isu kesihatan mental di mana kami turut membantu individu yang menghadapi tekanan kerana dibuli.
"Individu ini ada yang berusia belasan tahun dan orang dewasa tidak terkecuali daripada dibuli. Mereka tidak dibuli secara fizikal tetapi secara mental," kata Sofiah.
Image via VOCKET
NGO Empati melihat kempen ‘Jadi Buddy, Bukan Buli’ ini selari dengan perjuangan mereka dalam membina sistem sokongan khusus untuk anak muda di Malaysia.
"Semoga dengan kerjasama ini, suara mereka (mangsa buli) akan terus didengar dan kita dapat buat sesuatu supaya ramai yang tampil untuk membantu golongan ini," kata pengasas NGO Empati, Syahida Zulkarnain.
Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai dan NGO Empati, sebagai rakan kolaborasi utama, juga akan memainkan peranan penting dalam memberi sokongan psikologi dan mendidik masyarakat tentang pentingnya memahami kesan buli terhadap mangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari laman sesawang rasmi di www.thevocket.com/jadibuddybukanbuli. Marilah bersama-sama menjadi rakan yang menyokong, bukan pembuli, dan berganding bahu dalam mencipta masa depan yang lebih harmoni untuk Malaysia.
Di samping itu, tanda pagar #JadiBuddyBukanBuli digunakan untuk meningkatkan interaksi dengan pengguna di media sosial.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik
Leave a comment