‘Bridesmaids’ - Sekadar Memenuhi Gambar Album Atau Bantu Majlis Raja Sehari?
Bridesmaids = Pembantu pengantin
Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak SAYS.
Bridemaids
Perkataan ini jika disebut 10 tahun dulu, pastinya bukan sesuatu yang biasa buat masyarakat kita. Tetapi seiring dengan peredaran zaman, perkataan bridesmaids ini bukanlah sesuatu yang asing lagi.
Kehadiran bridesmaids sewaktu majlis perkahwinan masyarakat kita adalah perkara biasa buat saya. Sebagai jurugambar perkahwinan, saya pernah berjumpa dengan bermacam-macam jenis bridesmaid yang ada. Daripada bilangan yang hanya 2 orang sehinggalah sebanyak sepasukan bola sepak di atas pelamin.
Tetapi bagus ke ada bridesmaids ni? Perlu ke?
Pada saya kehadiran bridesmaids ni sebenarnya menyerikan lagi majlis. Apatah lagi yang menjadi bridesmaids tu teman-teman rapat si permaisuri, pastinya suasana lebih meriah bukan?
Macam kita tahu masyarakat Melayu ni penuh dengan adat istiadat. Untuk majlis perkahwinan saja, sudah banyak yang perlu dilakukan seperti malam berinai, sanding, bertandang dan sebagainya.
Meriahnya kalau ada bridesmaids ni bila malam berinai teman-teman rapat akan berkumpul di rumah pengantin dan sama-sama memakai inai dengan menyarungkan pakaian mengikut tema-tema tertentu. Kadang-kadang tema Bollywood, jawa, melayu tradisional dan ada juga yang buat ala-ala puteri kayangan. Gituhhh...
Yang mana nak lagi meriah tu, mereka juga adakan majlis berarak, tarian, set persalinan dan banyak lagi.
Tetapi tak keterlaluan juga kalau saya katakan, bridesmaids ni ibarat budaya baru yang dicedok daripada budaya lain, serta dimasuk dan diadaptasikan ke dalam budaya kita
Yelah, zaman mak apak kita dulu takde pun bridesmaids ni semua. Tetapi tetap meriah juga majlis perkahwinan diorang dengan kehadiran saudara-mara dan sahabat-handai kan?
Mungkin pada setiap orang, bridesmaids ni membawa maksud dan peranan yang berbeza-beza. Ada juga saya dengar sebelum ni di Twitter ada segelintir orang complain kena buat macam-macam kerja sewaktu menjadi bridesmaids.
Aikk habis tu kalau tak buat kerja, bridesmaids ni sebenarnya apa fungsinya? Nak melaram sajakah?
Kalau kita translatekan perkataan bridesmaids ni ke dalam Bahasa Melayu, macam nilah bunyinya:
Bride = Pengantin
Maid = Pembantu
Jadi kalau diterjemahkan bridesmaids secara terus ia bermaksud pembantu pengantin. Tetapi pembantu yang bagaimana tu? Bantu menghiasi majlis atau sama-sama bantu menjayakan majlis?
Sebagai photographer, setiap kali adanya majlis perkahwinan saya dapat lihat ada sebilangan daripada diorang ni bertungkus-lumus membantu majlis kahwin. Dari dapur sampailah ke khemah makan, semua kerja diorang buat. Peluh turun, mekap capuk sikit pun dah tak kisah, yang penting majlis si mempelai berjalan dengan lancar.
Ada juga yang saya lihat, dari awal majlis hinggalah selesai masing-masing sibuk dengan gajet. Sekejap-sekejap selfie, sekejap ambik gambar. Melaram mengalahkan pengantin pun ada. Kadang saya pun keliru mana satu pengantin mana satu bridesmaids.
Jadi saya tertanya-tanya juga, memang kalau jadi bridesmaids tu kena feeling-feeling puteri-puteri kayangan ke tanpa berbuat apa-apa?
Memang tak dapat dinafikan, kehadiran bridesmaids ni bukan saja menyerikan majlis, malah juga menghiasi gambar-gambar album pengantin
Yelah, pasangan pengantin ni kan diibaratkan seperti raja sehari. Jadi dengan adanya diorang ni, bolehlah si pengantin feeling-feeling raja dan dilayan oleh dayang-dayang istana.
Saya yang sebagai photographer ni pun turut senang jika adanya bridesmaids ni. Macam-macam idea gambar boleh keluar waktu tu
Tetapi apa yang menghampakan saya apabila sesetengah daripada diorang ni berat tulang. Bila majlis tengah berjalan, satu apa pun tak nak tolong. Maka berkumpul lah sekumpulan dewi langit ketujuh di satu sudut meja sambil memegang telefon bimbit dan berselfie. Sekejap-sekejap betulkan rambut dan tudung.
Ye tahu nak nampak cantik, tapi kot ya pun tolonglah ibu pengantin tu angkat bunga telur untuk diletakkan di pelamin. Bantulah kakak pengantin tu sediakan meja beradab dengan makanan dan minuman. Awak tu datang sebagai pembantu, bukan ratu.
Saya faham tak semua orang jenis pandai buat kerja. Tambah-tambah lagi kerja-kerja untuk majlis seperti kenduri. Tapi kalau tak pandai, belajarlah.
Lagipun tak manis dipandang orang bila semua orang sedang sibuk, anda tercegat saja di situ tanpa berbuat apa-apa.
Pernah sekali tu saya nampak bridesmaids buat muka bila diminta tolong oleh ahli keluarga pengantin. Penat barangkali, tapi itulah kalau tak mahu penat rasanya tidak perlulah jadi maid eh bridesmaids. Betul?
Mungkin ada sesetengah daripada kita lebih prefer untuk tidak mempunyai bridesmaids, tetapi pada saya segalanya terpulang kepada pilihan masing-masing. Tak kisahlah nak ajak sekelas pun jadi bridemaids, yang penting diorang ni tahu tugas masing-masing dan ikhlas melakukannya.
Haaa dah baca ni kalau terasa saya tak boleh buat apalah. Siapa makan cili dialah terasa pedas. Sebab tak semua macam ni. Sesetengah saja ya. =)