Dear Imam, Boleh Tak Baca Doa Dalam Bahasa Melayu? Doa Arab Bukan Orang Faham Pun
Allah itu Maha Mengetahui.
Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak SAYS.
Pepatah mengatakan doa itu adalah senjata Mukmin
Boleh kata, hari-hari kita akan berdoa bagi memohon keberkatan, kemaafan, petunjuk, dan apa sahaja hajat daripada yang Maha Esa, tidak kiralah sama ada selepas solat, sebelum makan, sebelum tidur, dan sebagainya.
Berdoa tidak terikat kepada perbuatan menadah tangan sahaja. Bahkan, berdoa juga boleh dilakukan secara bercakap di dalam hati dan lisan melalui mulut pada bila-bila masa, di mana sahaja kita berada. Asalkan kita bercakap atau menghajati sesuatu, itu sudah dikira sebagai berdoa.
Tapi apa yang menyedihkan, ramai di antara kita yang menggunakan 'senjata' tersebut tanpa memahami apa-apa maksud
Lebih-lebih lagi apabila kita menadah tangan dan berdoa selepas solat.
Perasan tak, ramai yang lebih suka membaca doa dalam bahasa Arab yang kita tak faham, berbanding bahasa Melayu yang kita 100 peratus faham. Tak dinafikan, doa-doa dalam bahasa Arab itu semuanya bagus-bagus dan indah-indah belaka, dan disertakan sekali dengan maksud-maksud yang mendalam.
Tapi isunya di sini, tak semuanya kita mampu untuk fahamkan dan hadamkan maksud doa-doa tersebut sehingga jiwa raga tersentuh ketika membacanya.
Untuk memohon sesuatu daripada Allah, adalah penting untuk kita memahami perkara yang kita hajati dalam setiap doa yang kita baca
Cuba buat macam ini, bacakan doa dalam bahasa Arab, fahamkan maksudnya, kemudian bacakan doa yang sama dalam bahasa Melayu. Meskipun doa yang sama, penghayatan yang kita dapati daripada membacanya dalam bahasa ibunda kita sememangnya bagai dua dunia berbeza.
Sebagai contoh doa di bawah:
Allahumma 'Afina fi badanina
Allahumma 'Afina fi sam'ina
Allahumma 'Afina fi basorina
Sekali baca doa ini dalam bahasa Arab, rasa macam doa yang biasa-biasa saja. Sebab apa? Sebab kita langsung tak faham maksud di sebaliknya.
Sekarang, bacakan doa yang sama di atas dalam bahasa Melayu:
Ya Allah, sihatkanlah tubuh kami (daripada penyakit yang tidak kami inginkan)
Ya Allah, sihatkanlah pendengaran kami (daripada perkara yang buruk dan tidak bermanfaat)
Ya Allah, sihatkanlah pandangan kami (daripada maksiat dan segala kecelakaan)
Nampak tak perbezaan ketara di situ? Terus rasa lain bila baca doa dalam bahasa Melayu. Baru kita tahu apa sebenarnya yang kita minta daripada Dia.
Jelas sekali kita akan rasa lebih tersentuh dan seronok apabila membacakan doa yang kita betul-betul faham, daripada hanya membaca sekadar 'cukup syarat'
'Cukup syarat' atau 'asalkan berdoa' belum cukup bagus lagi kawan-kawan. Tapi malangnya, terlalu ramai di antara kita yang berdoa tanpa sebarang penghayatan dan tanpa memahami maksud doa yang dibacakan.
Contoh lagi satu doa yang biasa sangat kita dengar imam bacakan:
Arab: Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah, wa na'uzubika min sakhatika wannar
Melayu: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon keredhaan dan syurga-Mu, dan kami berlindung daripada murka dan seksa neraka-Mu
Kan berbeza tu feel dia. Betul-betul terkesan dalam hati bila kita faham.
Sebenarnya, masalah ini terletak pada satu perkara iaitu, sejak dari kecil lagi, kita hanya disuruh untuk hafal, tanpa disuruh untuk fahamkan
Majoritinya hanya mampu menghafal. Hafal, hafal, dan hafal. Sebab inilah cara kita dididik sejak dari dulu. Apa-apa berkenaan bacaan dalam ibadah, tidak kira bacaan al Quran, bacaan solat, atau bacaan doa, kita wajib hafalkan.
Kalau dah hafal, terus dikira 'pass'. Bila dah hafal, terus boleh solat dan terus boleh amalkan bacaan-bacaan tersebut. Walaupun kita tak faham, amalan kita itu tetap diberikan ganjaran oleh Tuhan.
Tapi sampai bila masyarakat Islam kita nak macam ni? Saya rasa inilah masanya untuk kita ubah pendekatan kita terhadap doa dan bacaan-bacaan dalam ibadah.
Pendekatan ini sepatutnya diubah melalui didikan dari kecil di rumah oleh ibu bapa. Namun, saya juga berpendapat bahawa imam juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap berdoa, terutamanya selepas menunaikan solat.
Saya pasti, ramai imam di luar sana yang lebih selesa untuk membacakan doa dalam bahasa Arab. Kadang-kadang, doa yang dibacakan itu begitu panjang sehingga mampu melangkau 5 minit. Maklumlah, banyak doa telah dihafal selama ini.
Cuma, cuba bayangkan doa yang panjang berjela tersebut ditukar kepada bahasa Melayu. Pastinya doa yang dibaca akan kedengaran lebih indah, lebih puitis, lebih menyentuh hati, lebih menusuk kalbu, dan lebih menginsafkan.
Pada masa yang sama, pastinya terpancar sinar pengharapan, sinar keinsafan, sinar kepercayaan, sinar kecintaan, sinar kasih sayang, dan sinar keikhlasan di dalam hati sanubari setiap umat manusia. Barulah hati ini terjentik untuk menikmati bacaan doa sepenuh jiwa.
Para imam sepatutnya mengambil kesempatan untuk melakukan inisisatif ini di setiap sesi solat Jumaat setiap minggu
Inilah masa yang paling tepat untuk kita mulakan. Setiap Jumaat, sebilangan besar masyarakat Islam akan berkumpul di masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Jadi, para imam seharusnya menjadikan ini sebagai platform untuk melakukan perubahan.
Bak kata pepatah, 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit'. Yang penting ialah kita perlu mulakan, biar pun secara kecil-kecilan. Saya amat yakin usaha kecil ini mampu memberi impak yang besar kepada masyarakat Islam di Malaysia.
Ingat, kita ni tengah bercakap dengan Dia, bukan bercakap dengan makhluk lain. Nak minta sesuatu daripada Tuhan, takkanlah nak bersikap sambil lewa pula, kan?
Saya harap satu hari nanti, setiap orang Islam di Malaysia amat cakna tentang bacaan doa yang diamalkan setiap hari. Sama-sama kita berusaha ke arah kebaikan bagi mengangkat kualiti umat Islam di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Segalanya bermula dengan doa.