news

"Orang Melayu-Islam Ada Penyakit 'Exclusivity', Tamak Pada Sesuatu Yang Bukan Hak Mereka"

Setuju atau tidak?

Cover image via REUTERS

Artikel ini ditulis oleh Zulhazry Mohd Yusoff di laman Facebook, kemudian diambil dan dikongsi semula di SAYS atas kebenaran beliau.

Penyakit Eksklusif Melayu-Islam

Orang Melayu-Islam secara khususnya ada satu jenis penyakit yang dipanggil “exclusivity”. Mungkin dalam bahasa yang mudah dipanggil penyakit memonopoli hak eksklusif. Lebih senang faham lagi, tamak pada sesuatu yang bukan hak mereka.

Sewaktu bulan puasa di Libya dulu, aku adalah lelaki Islam tunggal di dalam villa kami menetap di Tripoli. Waktu berbuka memang sangat meriah, sebab makcik pembantu rumah akan masak sedap-sedap dan kami akan makan ramai-ramai. Semua akan menunggu azan Maghrib dahulu baru akan makan. Semua akan mendahulukan aku yang berpuasa untuk mengambil makanan dan menjamah makanan sebelum diorang makan.

Boss aku, seorang freethinker, seminggu sekali paling tidak akan membelikan aku kurma Ajwa untuk berbuka. Sebab dia kata Arab yang jual kurma tu beritahu ini antara kurma yang bagus, maka dia belikan aku kurma Ajwa. Aku makan dan aku simpan buat stok. Sebab berlebihan.

Hari-hari lain ada ketikanya dia akan membawa pulang air susu yang dicampur almond, yang menjadi minuman tradisi orang Libya ketika berbuka. Nikmat betul diminum sejuk, tapi itu cerita lain lah.

Bagi yang bukan beragama Islam, kawan-kawan aku ini melihat bulan Ramadan di Libya itu sebagai sesuatu yang sangat istimewa. Selain daripada kehidupan yang separa mati, kerana sebahagian waktu siang digunakan untuk tidur dan bermalas-malasan, Ramadan juga adalah bulan yang istimewa dengan pelbagai hidangan yang luar biasa. Makcik pembantu rumah yang lengannya ada tatu ular pun akan menyediakan hidangan yang “rare” sedikit, khususnya untuk akulah, sebagai satu-satunya manusia yang berpuasa di dalam villa tersebut.

Di Malaysia pula, setiap kali berbuka puasa di luar, aku selalu ternampak boss bukan Islam yang membawa pekerjanya, habis diangkut satu pejabat, kadangkala dengan anak isteri masing-masing datang berbuka puasa. Meriah sungguh.

Faktor makanan adalah faktor utama yang memeriahkan mereka, kerana kau tahu sahajalah kalau buffet di hotel, makanan yang disediakan kalau boleh mahu berasal dari segenap pelusuk dunia. Peluang diambil mereka untuk bergembira dengan makanan sambil mengembirakan hati para pekerja Muslim mereka.

Selepas berbuka mereka berhenti seketika untuk solat Maghrib atau kemudian langsung Isyak dan berterawih. Boss dan keluarga masih setia menunggu di meja. Selepas solat atau sehingga selesai terawih, mereka akan makan dan berbual semula sehinggalah waktu buffet berakhir pada jam 10 malam. Meriah.

Sesudah selesai boss akan pergi ke cashier untuk membuat bayaran. Muka ceria senyum lebar sambil masih boleh gelak berdekah-dekah lagi. Tak pula aku jumpa lagi yang melenting meraung menjerit marah sebab satu kepala kena bayar RM188 atau RM220. Meriah. Ramadan setahun sekali.

Image via Farah Glanz

Bulan Ramadan ni, kau pergilah ke mana sahaja, meriahnya memang terasa. Sama ada di sebuah daerah kering di Iraq, atau pun kawasan Islam minoriti di Dubrovnik. Sebenarnya, orang bukan Islam memang terasa akan kemeriahan bulan Ramadan ini, mudahnya kerana makanan seperti yang aku ceritakan tadi, walaupun bukan daripada sudut kerohanian. Mereka tahu berlapar seharian itu, kalau bertemu makanan nikmatnya sangat unik. Apatah lagi kalau dapat mengembirakan hati orang yang berpuasa. Kau tengok sahajalah di bazar Ramadan, bukan Islam turut sama bergembira kerana makanan.

Bukan senang kau nak berjumpa tepung pelita duduk setempat dengan martabak, berjiran pula dengan ayam percik yang sebelahnya ada orang jual air tebu. Atau pun memilih seribu satu jenis kuih yang munculnya setahun sekali sahaja, dan hanya di bulan Ramadan.

Tahun lepas, kerajaan Jerman yang tidak bersunat itu, telah menghapuskan cukai makanan di premis menjual barang makanan dan restoran milik orang Islam. Ini untuk memastikan harga makanan terkawal dan tidak melambung tinggi pada bulan Ramadan seperti di kebanyakan negara Islam. Mereka tahu bagaimana mahu mengembirakan hati orang Islam, seperti yang aku ceritakan tadi. Mereka faham bagaimana perasaan orang yang lapar bertemu dengan makanan.

Berkongsi kegembiraan dengan semua umat manusia ini, aku rasa tidak pernah dilarang dalam mana-mana agama sekali pun. Apatah lagi untuk yang tahu dan faham rahsia di sebalik “sekolah” Ramadan ini, yang sepatutnya penuh dengan toleransi, dengan kesabaran, dengan rasa syukur dan rasa faham dengan kesusahan mereka yang tidak mampu. Atau paling tidak menjadi medan menguji kemampuan menurunkan lemak di dalam badan.

Kalau kau sebagai orang Islam boleh menerima konsep Islam itu sebagai universal, mengapa kau juga tidak boleh menerima pakai Ramadan sebagai universal? Jika kau boleh menerima konsep bahawa Nabi Muhammad adalah rahmat kepada seluruh alam, mengapa kau tidak boleh menerima konsep bahawa segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu juga, termasuk Ramadan di mana kau terpaksa berpuasa ini, sebagai satu rahmat untuk seluruh alam?


Tapi itulah, pakai kopiah jadi imam, zakarnya bersunat dua tiga kali sekali pun belum tentu boleh faham tentang perkongsian kegembiraan di bulan Ramadan ini. Seperti yang aku beritahu pada permulaan tadi, orang Melayu-Islam ini, ada penyakit “exclusivity”. Kau fikir Ramadan ini hanya milik orang Melayu. Seperti mana kau fikir perkataan “Allah” itu juga milik orang Melayu, dan lain-lain perkataan yang kau cedok daripada bahasa Arab, Sankrist dan Inggeris, adalah milik eksklusif orang Melayu.

Image via Facebook

Kau rasa dalam Islam ini, orang Melayu adalah eksklusif kerana itu lah, Islam orang Melayu adalah yang paling betul, tepat, berkualiti dan terus masuk syurga. Kau pula melihat bukan Islam adalah sesuatu yang tidak perlu masuk dalam lingkungan kehidupan kau beragama, kerana mereka makan babi, dan kau, walaupun kau tidak sembahyang, kau minum arak dan kau tidak berpuasa tapi kau tidak makan babi. Bukan?

Cuba bayangkan jika kau memandu, di Lebuhraya Utara Selatan untuk pulang berhari raya. Jalan penuh sesak dengan kereta, dan kau pula terlupa membawa makanan atau pun berhenti membeli minuman untuk berbuka. Sampai waktu berbuka dengan kereta yang masih lagi bergerak perlahan kau hanya ada satu kotak kecil kurma, yang kau dapat semasa pergi servis kereta sebelum balik kampung. Budak cashier bukan Islam yang bagi kurma itu mengucapkan selamat berpuasa dan selamat hari raya kepada kau, dan mengingatkan kau supaya hati-hati memandu.

Kau ambil kurma itu dan kau jamah untuk kau berbuka puasa. Kau ada rasa bersyukur tak? Kau ada rasa terdetik nak berterima kasih tak? Kau ada rasa lega tak kerana dapat makan? Kau ingat budak cashier tu tahu ke tidak kurma yang dia bagi itu sudah menjadi satu-satunya makanan kau untuk berbuka pada hari itu? Walaupun kau tidak terbit rasa bersyukur, tidak terlintas rasa mahu berterima kasih?

Image via Facebook

Jadi, apa masalah kau dengan menerima pemberian daripada orang bukan Islam untuk berbuka puasa? Atau sebagai tanda ingatan untuk kau yang berpuasa? Apa masalah kau dengan orang yang memberikan kurma? Atau orang bukan Islam yang menghulurkan makanan untuk orang yang berpuasa? Puasa kau cacat? Esoknya kau terus murtad?

Pedulikan segala garis politik yang cuba dibawa oleh dua tiga biji kurma itu, kerana aku sudah menelan ratusan kurma Ajwa yang diberikan oleh seorang freethinker, dan hari ini aku masih lagi seorang Islam.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Masih ingat lagi 2 tahun lalu?

You may be interested in: