seismik

10 Ringkasan Penting Berhubung Kontroversi "Rotan Anak Satu Jenayah"

Cadangan merotan anak menjadi satu kesalahan jenayah menerima respon yang bercampur-baur dari pelbagai pihak.

Cover image via SAYS.com

1. Pada 24 Januari 2015, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim Berkata Merotan Anak Bakal Menjadi Satu Kesalahan Jenayah Jika Rang Undang-Undang Baru Diluluskan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Image via therakyatpost.com

Merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baru menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penggubalan akta baharu itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Walaupun merotan anak me­ru­­pakan sebahagian budaya ma­­syarakat kita, tetapi kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut. Kita juga mengambil iktibar rakyat negara kita (Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal) yang dihukum penjara kerana memukul anak di Sweden pada tahun lalu,” katanya.

utusan.com.my

2. Setakat Ini, Hanya Terdapat Dua Hukuman Dalam Akta Kanak-Kanak 2001 Iaitu Seksyen 31 Dan Seksyen 33 Yang Memperuntukkan Penjara Maksimum 10 Tahun Atau Denda Sehingga RM20,000 Jika Sabit Kesalahan

Image via 126.net

Namun, jelas Rohani, itu dianggap masih tidak mencukupi dan disebabkan itu dalam penggubalan akta baru tersebut, hukuman tambahan iaitu menjalani khidmat komuniti di pusat perlindungan kanak-kanak kepada individu yang didapati bersalah mendera dan mengabaikan anak turut dimasukkan.

“Ini bertujuan memberi keinsafan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak terbabit agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga dan mendidik anak mereka,” katanya lagi.

utusan.com.my

3. Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat Menyaran Agar Akta Baru Itu Ditarik Balik Kerana Dibimbangi Melahirkan Generasi 'Besar Kepala' Dan Tidak Menghormati Ibu Bapa

Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Image via sinarharian.com.my

Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata pelaksanaan akta seumpama itu akan disusuli dengan tindakan memisahkan anak dengan ibu bapa sehingga berusia 18 seperti yang berlaku di Sweden.

"Niat jenayah hanya wujud andai ia berlaku secara konsisten dan tidak bersebab. Merotan anak bagi tujuan mengasuh jelas terkeluar daripada pengertian ini," katanya.

Tambahnya, merotan anak-anak adalah diharuskan oleh Islam bagi tujuan mendidik seperti yang disebut di dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

malaysiakini.com

4. Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin Turut Mencadangkan Agar Ia Dikaji Secara Terperinci, Terutama Aspek Berkaitan Tuntutan Agama Islam Yang Mengharuskan Ibu Bapa Merotan Anak-Anak Bagi Tujuan Mendidik

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Image via abnxcess.com

"Perkara ini perlu dikaji secara mendalam dengan melibatkan pandangan banyak pihak dan meneliti pelbagai aspek termasuk peranan ibu bapa dalam mendidik anak dengan cara tersendiri kerana mereka lebih mengenali anak-anak mereka," katanya.

Mas Ermieyati berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga perlu meneliti tafsiran merotan yang terkandung dalam perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) kerana ia merujuk kepada aspek penderaan termasuk penderaan mental terhadap kanak-kanak.

bernama.com

5. Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) Mengadakan Rundingan Khusus Dengan Semua Pihak Sebelum Membuat Keputusan

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Image via thestar.com.my

Datuk Seri Shahrizat berharap rundingan khusus telah diadakan dengan semua pihak yang berkepentingan seperti Persatuan Ibu Bapa, pakar psikologi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pakar yang berkenaan sebelum keputusan menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 dibuat.

"Wanita UMNO mempertahankan hak kanak-kanak daripada sebarang bentuk penganiayaan, pengabaian, penderaan dan keganasan. Namun begitu, pindaan ini perlu diteliti dengan lebih mendalam serta meminta supaya pihak kerajaan tidak tergesa-gesa untuk menggubal rang undang-undang baru yang bakal menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001."

"Saya berpandangan walaupun Malaysia adalah negara anggota Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kerajaan tidak perlu tergesa-gesa dalam melaksanakan obligasinya supaya kepentingan terbaik kanak-kanak serta keluarga mereka turut diambil kira, selaras dengan acuan kita sendiri. Dalam hal ini, ibu bapa perlu diberi ruang untuk mendisiplinkan anak-anak mereka, tetapi tidak sehingga peringkat mendera," kata Shahrizat.

bharian.com.my

6. Melihatkan Respon Orang Ramai Di Media Sosial, Nampaknya Rata-Rata Tidak Bersetuju Dengan Cadangan Rotan Anak Bakal Menjadi Satu Kesalahan Jenayah






7. Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) Berkata Pihak Yang Cuba Untuk Menggambarkan Merotan Anak Itu Sebagai Satu Tuntutan Islam Boleh Memberikan Gambaran Yang Salah Mengenai Kesantunan Islam Itu Sendiri

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Image via ytimg.com

Menurutnya, tiada galakan dalam nas Islam agar ibu bapa memukul anak-anak sebaliknya tindakan tersebut boleh dilakukan sekiranya telah melalui proses pendidikan yang panjang.

“Tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak. Bahkan kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh setelah melalui proses yang panjang. Sabda Nabi SAW, ‘suruhlah anak-anak kamu solat ketika mereka berusia tujuh tahu dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun’ (Riwayat Abu Daud, sahih),” katanya.

Beliau memberitahu pukulan kepada anak yang enggan solat ketika berusia 10 tahun itu perlu disusuli dengan seruan solat dengan penuh kasih sayang bermula usia tujuh tahun.

"Anak-anak perlu mempelajarinya daripada pelajaran dan teladan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Pukulan itu tidak mencederakan atau mendapatkan kesakitan yang serius."

“Ertinya, betapa untuk sampai kepada tahap memukul memerlukan satu proses yang panjang padahal itu membabitkan soal asasi dalam hayat seorang Muslim iaitu solat,” jelasnya.

sinarharian.com.my

8. Mengulas Lanjut, Dr Maza Berkata Mana-Mana Ibu Bapa Yang Memukul Anak Sewenang-Wenangnya Telah Melanggar Ajaran Agama

“Maka, mana-mana bapa sewenang-wenang memukul anak, dia bukan seorang bapa yang baik dan telah melanggar ajaran agama. Lebih malang lagi jika bapa itu sendiri bukan teladan yang baik seperti bapa yang merokok memarahi anaknya merokok. Sama juga bapa kurang bertanggungjawab terhadap nafkah dan pendidikan anak, tiba-tiba memukul anak, maka mereka adalah pengkhianat amanah ALLAH."

“Jika ada ibu bapa yang memukul anak tanpa alasan yang benar, dalam keadaan yang tidak munasabah, mendatangkan kecederaan yang kekal ataupun kesakitan yang serius, maka itu bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh untuk pemerintah menganggapnya sebagai satu jenayah untuk diambil tindakan,” katanya lagi.

drmaza.com

9. Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang Menyenaraikan 7 Panduan Dan Tunjuk Ajar Islam Dalam Cara Memukul Anak Untuk Tujuan Mendidik Seperti Berikut:

1. Pukulan tersebut adalah pukulan ringan dan mendidik. Tidak melebihi tiga kali.

2. Rotan yang digunakan mestilah tidak terlalu keras, tidak pula terlalu lembut, basah dan lembab sehingga boleh meninggalkan bekas dan kerosakan yang teruk pada kulit.

3. Memukul di tempat yang berbeza, bukan pada satu tempat sahaja.

4. Tempat dibenarkan memukul: semua anggota badan kecuali kemaluan, muka serta seluruh kepala. Sebahagian ulama’ salaf mencadangkan agar dirotan di tapak tangan dan kaki.

5. Memanjangkan tempoh rotan pertama dengan yang seterusnya.

6. Tidak mengangkat tangan sehingga boleh kelihatan ketiaknya.

7. Tidak sampai mencederakan atau mendera anak.

mynewshub.cc

10. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Berkata Cadangan Untuk Menjadikan Tindakan Rotan Anak Sebagai Satu Kesalahan Jenayah Belum Dimuktamadkan

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Image via selliyal.com

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai polemik yang timbul daripada banyak pihak berhubung cadangan itu merupakan sesuatu yang sihat dan perlu diperhalusi sebaiknya.

"Ada yang kata ini baik, setuju nak pinda, ada yang kata ini tak sesuai. Ada yang kata daripada sudut Islam pun tidak ada halangan untuk kita merotan anak kita tapi dengan cara yang bijaksana, jangan sampai mendera hingga membawa kesan buruk."

"Ada yang bukan Islam kata, patut merotan kerana mereka kata kalau anak itu dah terlalu nakal itulah cara terbaik tapi jangan sampai mendera sehingga boleh menyebabkan sakit kepada anak atau merosakkan mereka," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata walaupun isu rotan itu masih dalam peringkat cadangan oleh kementerian berkenaan dan belum dibentangkan ke kabinet, kerajaan terbuka untuk menerima pandangan semua pihak.

"Daripada sudut kerajaan boleh terima pandangan itu kerana sampai satu tahap akan ambil kira pandangan umum sebelum pindaan dilaksanakan," katanya lagi.

bernama.com

JUGA DI SAYS: Tangguh Vs Mansuh: Apa Langkah Yang Perlu Diambil Kerajaan Terhadap PLKN?

You may be interested in: