10 Tahun Memusuhi Lin Dan, Ini Dia Kisah Inspirasi Dan Jatuh Bangun Perjalanan Karier DLCW
Lin Dan ternyata menjadi batu penghalang kepada kejayaan yang lebih masyhur buat Chong Wei.
Lee Chong Wei mula bermain badminton pada usia 11 tahun selepas ibunya tidak menggalakkannya bermain bola keranjang di bawah panas matahari. Tidak lama selepas itu, bakatnya mula menarik perhatian seorang jurulatih tempatan.
Selepas menerima kebenaran daripada bapanya, jurulatih itu mula melatih Chong Wei pada sebelah petang setelah tamat sesi persekolahan. Chong Wei kemudian diserap masuk ke dalam skuad badminton negara oleh Misbun Sidek ketika berusia 17 tahun.
Prestasinya yang semakin baik melayakkannya untuk bertanding dalam Temasya Sukan Olimpik di Athens pada 2004. Dalam penampilan Olimpik sulungnya sebagai "muka baru", perjalanan Chong Wei berakhir pada pusingan kedua apabila dikalahkan oleh Chen Hong dari China.
Bakat anak muda ini semakin menyerlah selepas itu. Selepas 2004 dan 2005, Chong Wei sekali lagi unggul apabila menjuarai kejohanan Terbuka Malaysia pada 2006. Di sinilah titik permulaan permusuhan di antara Chong Wei dengan seteru utamanya dari China, Lin Dan.
Dalam set ketiga di perlawanan akhir Terbuka Malaysia, Lin Dan mendahului Chong Wei dengan skor 12-20 dan hanya satu mata sahaja lagi dari kejuaraan. Chong Wei kemudian bangkit lalu mendapatkan lapan mata berturut-turut untuk mengikat Lin Dan pada skor 20-20. Set terakhir itu dibawa ke deuce dan akhirnya, Chong Wei memenangi dengan skor 23-21 untuk memastikan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.
Kemudian, Chong Wei dinobat sebagai pemain nombor 1 dunia sebanyak dua kali pada tahun yang sama.
2008
Chong Wei memulakan tahun 2008 dengan kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun. Bagaimanapun, Chong Wei hanya berpeluang untuk memasuki satu kejohanan sahaja selepas itu iaitu Terbuka Singapura, yang merupakan kejohanan terakhir dalam persiapan pra-Olimpik.
Meskipun begitu, Chong Wei tetap berjaya melangkah ke final Olimpik Beijing 2008. Musuhnya di seberang gelanggang tidak lain tidak bukan, Lin Dan. Bermain di gelanggang sendiri dan di hadapan penyokong tuan rumah, Lin Dan mempamerkan aksi terhebat pada perlawanan akhir apabila mudah mengatasi Chong Wei dengan straight sets, 21-12, 21-8.
Chong Wei meraih pingat perak, menamatkan kemarau pingat dua belas tahun buat Malaysia dalam Sukan Olimpik.
Chong Wei kemudian mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan selepas Sukan Olimpik tanpa membawa pulang sebarang pingat.
2009
Kejohanan Terbuka Switzerland 2009 di Basel sekali lagi menyaksikan pertemuan Chong Wei dan Lin Dan di peringkat akhir perseorangan. Kali ini, Chong Wei berjaya menundukkan Lin Dan dengan straight sets, 21-16 dan 21-16 untuk merangkul kejuaraan Terbuka Switzerland buat kali kedua dalam karier.
Kemenangan ke atas Lin Dan ini juga merupakan yang pertama buat Chong Wei di luar gelanggang sendiri.
Pada bulan Mei, Chong Wei membantu Malaysia mara ke separuh akhir Piala Sudirman, yang pertama dalam sejarah badminton negara. Namun, rekod tanpa kalah beliau dalam kejohanan akhirnya dileburkan oleh Lin Dan.
Beliau berjaya sampai ke separuh akhir di China Masters Super Series, namun sekali lagi gagal untuk mengalahkan Lin Dan, yang kemudian muncul sebagai juara. Tahun ini juga, Chong Wei tewas kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir All England.
2010
Permulaan tahun 2010 nampak begitu baik buat Chong Wei. Beliau menjuarai Terbuka Korea buat pertama kali, Terbuka Malaysia untuk kali keenam, dan mengalahkan Kenichi Tago dari Jepun untuk memenangi kejohanan badminton paling berprestij di dunia, All England, yang pertama untuk beliau sejak mengambil bahagian pada 2004.
Chong Wei kemudian mengambil bahagian dalam Piala Thomas 2010 di gelanggang sendiri. Pada peringkat suku akhir, beliau menewaskan Peter Gade, sekali gus menjamin kedudukan Malaysia di peringkat separuh akhir. Tetapi pada perlawanan separuh akhir menentang China, Chong Wei ditewaskan sekali lagi oleh Lin Dan.
Rekod 18 perlawanan tanpa kalah beliau sejak awal tahun lebur.
Menjelang bulan September, Chong Wei bertemu Lin Dan dalam perlawanan akhir Terbuka Jepun. Kali ini, Lin Dan tumpas di tangan Chong Wei dalam 3 set sengit dengan skor 20-22, 21-16, dan 17-21.
Pada bulan November, Chong Wei memenangi pingat perak di Sukan Asia. Walaupun menewaskan penyandang Juara Dunia, Chen Jin di separuh akhir, Chong Wei sekali lagi merasai kekalahan di tangan musuh terhebatnya, Lin Dan di final.
2011
Chong Wei gagal mempertahankan gelaran Terbuka Korea selepas tewas di tangan Lin Dan dalam perlawanan akhir.
Pada bulan Mac, Chong Wei mara ke perlawanan akhir All England buat kali ketiga berturut-turut dan sekali gus mengekalkan kejuaraan apabila berjaya memenangi perlawanan akhir dalam straight sets ke atas Lin Dan dengan skor 21-17 dan 21-17.
Seterusnya, Kejohanan Dunia London 2011. Chong Wei mempunyai misi untuk menjadi pemain badminton pertama Malaysia untuk memenangi pingat emas dalam kejohanan ini. Chong Wei berjaya melangkah ke final, namun harapannya tidak kesampaian selepas dikalahkan sekali lagi oleh Lin Dan.
Walaupun Chong Wei mendahului sepanjang set ketiga dan memperoleh match point sebanyak dua kali, Lin Dan tidak mengaku kalah dan terus memberi saingan sengit sehingga berjaya mengalahkan Chong Wei dengan skor 20-22, 21-14, dan 23-21. Lin Dan merangkul gelaran Juara Dunia buat kali keempat dalam kariernya.
2012
Perlawanan akhir Terbuka Korea sekali lagi menampilkan Chong Wei dan Lin Dan untuk tahun kedua berturut-turut. Dalam ulangan perlawanan akhir ini, Chong Wei membalas dendam ke atas Lin Dan apabila berjaya mengalahkan musuh ketatnya itu dalam tiga set.
Sebulan sebelum Sukan Olimpik London 2012, nasib tidak menyebelahi Chong Wei apabila beliau terpaksa menarik diri dari kejohanan Piala Thomas selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Peter Gade dari Denmark.
Lebih buruk, Chong Wei mungkin tidak dapat bertanding di Sukan Olimpik. Harapan Malaysia untuk merangkul pingat emas pertama tampak kabur.
Selepas sebulan, Chong Wei berjaya pulih dari kecederaan dan kembali beraksi di atas gelanggang. Misi kali ini; merangkul pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik London.
Seperti yang dijangka, Sukan Olimpik edisi ini sekali lagi menjadi medan pertarungan sengit di antara Chong Wei dan Lin Dan. Musuh ketat ini sekali lagi bertemu dalam pentas akhir badminton perseorangan. Kali ini, Chong Wei tampak mempunyai sedikit kelebihan apabila tampil sebagai pemain nombor 1 dunia.
Perlawanan 3-set di antara dua jaguh ini berlangsung dengan cukup mendebarkan. Chong Wei memenangi set pertama 21-15 manakala Lin Dan mengungguli set kedua dengan skor 10-21. Ketika berada di set ketiga, Chong Wei mendahului dengan skor 19-17, dua mata sahaja lagi dari kejayaan merangkul pingat emas.
Namun begitu, nasib malang menimpa Chong Wei apabila Lin Dan berjaya mendapatkan 4 mata berturut-turut sekali gus menjuarai kejohanan Olimpik badminton perseorangan lelaki untuk kali kedua.
Chong Wei tidak dapat menahan sedih. Beliau menangis, tersungkur, terduduk, dan perlu ditenangkan oleh kakitangan jurulatih sebaik tamat perlawanan. Mimpi ngeri Beijing 2008 menghantuinya kembali. Chong Wei tewas kepada Lin Dan dua tahun berturut-turut di London; Kejohanan Dunia 2011 dan Sukan Olimpik 2012.
Chong Wei memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia melalui Twitter dengan menulis "I'm sorry".
Tahun 2012 juga, Chong Wei menarik diri dari kejohanan All England ketika menentang Lin Dan atas faktor kecederaan.
2013
Selepas gagal merangkul pingat emas pada Sukan Olimpik, misi Chong Wei seterusnya adalah Kejohanan Dunia di Guangzhou, China. Tetapi, harapan Chong Wei sekali lagi berkecai ketika menentang Lin Dan. Beliau mengalami kejang kaki lewat pada set ketiga. Selepas cuba untuk meneruskan perlawanan, beliau terpaksa berhenti dan kemudiannya diusung segera ke hospital.
Salah satu punca kekejangan dipercayai kerana pihak penganjur didakwa menutup penghawa dingin di tengah-tengah perlawanan. Namun begitu, pihak penganjur kejohanan menafikan dakwaan tersebut.
Tahun ini juga menyaksikan Chong Wei tewas straight sets di tangan pendatang baru dari China, Chen Long dalam final All England. Chen Long menjuarai kejohanan ini buat pertama kali dalam kariernya.
2014
Kelibat Chong Wei tidak kelihatan pada Sukan Komanwel 2014 kerana bergelut dengan kecederaan hamstring yang serius. Chong Wei terpaksa menarik diri dan sekali gus meranapkan harapannya untuk menjadi perseorangan lelaki pertama badminton untuk memenangi 3 pingat emas berturut-berturut.
Chong Wei sambung semula bermain pada bulan Ogos di Kejohanan Dunia. Impian merangkul pingat emas sekali lagi musnah. Skrip sama berulang apabila beliau tewas di tangan Chen Long dalam straight sets di perlawanan akhir. Gelaran juara dunia ini juga yang pertama buat Chen Long.
Pada bulan Oktober, Chong Wei sekali lagi tewas kepada Chen Long pada separuh akhir Sukan Asia di Korea Selatan dalam pertandingan berpasukan, dan kepada Lin Dan pada separuh akhir acara perseorangan beberapa hari kemudian.
2015
Tahun ini merupakan yang terburuk buat Chong Wei. Kariernya berada di ambang pengakhiran apabila beliau gagal melepasi ujian doping semasa menyertai Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos 2014. Sampel air kencing Chong Wei didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone'.
Sehubungan itu, beliau dikenakan hukuman gantung buat sementara waktu. Ranking Chong Wei terus jatuh menjunam dari nombor 1 ke nombor 180 sepanjang tempoh penggantungan. Mentalnya penat, emosinya tidak stabil, dan mungkin beliau tidak akan kembali semula ke gelanggang.
Pada 27 April 2015, hukuman gantung Chong Wei dikurangkan kepada lapan bulan. Panel hakim yakin beliau tidak mempunyai niat untuk menipu dan membenarkan beliau meneruskan karier bermula 1 Mei 2015. Namun begitu, pingat perak dan gelaran naib juara yang dimenanginya pada Kejohanan Dunia 2014 tahun lalu dilucutkan.
Tanggal 1 Mei 2015, Chong Wei kembali di atas gelanggang. Sejak daripada itu, beliau bangkit dan terus menjuarai dua kejohanan pada Jun: Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Kanada di Calgary.
Walau bagaimanapun, badi Kejohanan Dunia sekali lagi menghantui Chong Wei apabila beliau tewas di tangan Chen Long dalam perlawanan akhir untuk kali kedua berturut-turut.
Bulan November pula menyaksikan Chong Wei merangkul kejuaraan Terbuka China buat pertama kali dalam karier mengalahkan Chen Long, menjadikannya pemain badminton pertama yang memenangi kesemua Super Series. Ranking beliau serta merta melonjak ke kedudukan ketiga dunia!
2016
Pada bulan April, Chong Wei menjuarai gelaran Terbuka Malaysia buat kali ke-11, diikuti dengan gelaran Kejohanan Badminton Asia kedua dalam karier.
Pada bulan Jun, Chong Wei memenangi Terbuka Indonesia buat kali keenam, menjadikannya pemain badminton pertama dari luar Indonesia untuk memenangi kejuaraan tersebut sebanyak enam kali.
Chong Wei terus mara dan mara lantas mengungguli semula takhta pemain nombor 1 dunia. Daripada nombor 180 ke nombor 1 dalam masa setahun sahaja!
Masanya telah tiba; Sukan Olimpik Rio 2016. Setelah dua kali gagal, rakyat Malaysia merasakan inilah peluang terbaik Chong Wei untuk membawa pulang pingat emas pertama negara selepas menunjukkan mutu persembahan yang amat memberangsangkan sejak beliau kembali semula daripada penggantungan tahun lepas.
Sukan Olimpik Rio menyaksikan Chong Wei mudah melepasi saingan peringkat awal manakala perstasinya juga tampak begitu meyakinkan apabila beliau langsung tidak tewas walau satu set.
Sekali lagi, satu dunia menumpukan perhatian kepada dua pemain badminton terhebat sepanjang zaman di atas satu gelanggang. Chong Wei dan Lin Dan bertarung lagi di Sukan Olimpik, cuma kali ini di peringkat separuh akhir.
Pertarungan separuh akhir epik di Riocentro Pavilion 4 menyaksikan Chong Wei tumpas pada set pertama dengan skor 15-21. Beliau kemudian mengungguli set kedua, 21-11 untuk membawa perlawanan ke set ketiga.
Set penentuan dan yang terakhir berlangsung dengan sangat sengit sekali. Pukulan demi pukulan dibalas, kedua-dua pemain masing-masing tidak mengaku kalah.
Peluang melangkah ke final tampak cerah setelah Chong Wei mendahului set ketiga, 20-17, hanya satu mata daripada memenangi perlawanan. Tetapi, Lin Dan tetap berjuang lalu bangkit untuk mengikat kedudukan 20-20.
Kesilapan Lin Dan selepas itu memberi mata ke-21 buat Chong Wei dan akhirnya, beliau berjaya mengalahkan seteru utamanya itu dengan skor 22-20, sekali gus melangkah ke peringkat akhir.
Persembahan memberangsangkan Chong Wei menentang Lin Dan membuat rakyat Malaysia yakin inilah masanya untuk merangkul pingat emas.
Namun begitu, beliau tidak mempamerkan persembahan yang sama pada perlawanan akhir menentang Chen Long apabila beliau tidak mampu mematahkan serangan bertubi-tubi dari pemain dari China itu.
Set pertama dan set kedua berakhir dengan skor yang sama iaitu 21-18 dan 21-18, sekali gus menobatkan Chen Long sebagai juara terbaru untuk Temasya Sukan Olimpik Rio 2016.
Sehingga ke hari ini, kabinet trofi Lee Chong Wei masih belum lengkap dengan pingat emas dari dua kejohanan badminton terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia
Segala keringat telah diberikan oleh Chong Wei untuk merangkul pingat emas. Namun begitu, Chong Wei terpaksa akur apabila membawa pulang 3 pingat perak bagi kedua-dua kejohanan berprestij ini.
Chong Wei tewas di final Sukan Olimpik pada tahun 2008, 2012, dan 2016.
Chong Wei juga tewas di final Kejohanan Dunia pada tahun 2011, 2013, dan 2015.
(Kejayaan meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia 2014 telah dilucutkan kerana kesalahan doping)
Tetapi tidak mengapa, Legasi Lee Chong Wei dalam arena sukan badminton sudah terlalu hebat untuk disangkal. Beliau adalah seorang wira dan legenda yang pastinya tiada galang ganti!
Semangat juang dan sikap tidak mengaku kalah Lee Chong Wei adalah sesuatu yang harus kita jadikan contoh dalam apa jua perjuangan yang sedang kita hadapi. Bagaimana beliau jatuh dan bangkit semula dari kekalahan, begitu jugalah kita seharusnya menjadikan kisah inspirasi beliau ini sebagai pemangkin kepada kejayaan mendatang.
Gagal sekali tidak bermaksud gagal selamanya.
Terima kasih Datuk Lee Chong Wei kerana tidak jemu-jemu berjuang demi negara dan menyatukan kami semua. Kami rakyat Malaysia sangat banggakan Datuk!
Satu soalan yang harus kita tanya:
Siapa agaknya pelapis Malaysia seterusnya yang bakal menjadi bintang bertaraf dunia seperti Chong Wei?
LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!