16 Tahun Makan Pil Kurus & Putihkan Kulit, Wanita Kongsi Kini Perlu Dialisis Seumur Hidup
Dia mula menjalani rawatan dialisis sejak tahun 2015 sehingga kini kerana hidap kegagalan buah pinggang.
Walaupun pelbagai usaha telah pun dilakukan oleh pihak berwajib untuk membuka mata orang ramai tentang bahayanya produk suplemen yang tidak diluluskan oleh kerajaan, tetapi masih ramai yang tidak mengendahkannya
Seorang pesakit buah pinggang, Nor Hariyati atau lebih dikenali sebagai 'Cik Tie' di TikTok @tatierana79 mendedahkan kini dia perlu menjalani rawatan dialisis untuk meneruskan kehidupan selepas 16 tahun menggunakan pil kurus dan suplemen memutihkan kulit.
Sampailah satu hari, dia mula perasan bahawa sebelah kakinya mula membengkak. Dia juga hilang selera makan dan air kencingnya juga menjadi keruh.
Tonton video penuh di bawah:
“Saya memutuskan untuk berjumpa doktor mengenainya dan ketika itulah saya menyedari bahawa tabiat saya mengambil ‘produk sampah’ telah menjejaskan kesihatan saya.
“Doktor menasihatkan saya untuk berhenti mengambil suplemen itu. Saya mengikut nasihat doktor, tetapi mungkin sudah terlambat.” katanya kepada The Star.
Perlu melawat pusat dialisis komuniti tiga kali seminggu, selama empat jam setiap sesi seumur hidup
Menurut Cik Tie, dia mula menjalankan rawatan dialisis sejak tahun 2015 lalu. Dia kini perlu melawat pusat dialisis komuniti tiga kali seminggu, selama empat jam setiap sesi.
“Saya perlu melakukan ini (rawatan) sehingga akhir hayat saya. Saya tidak boleh terlepas walaupun satu sesi jika saya mahu kekal sihat,” katanya sambil menambah bahawa dia berharap untuk menjalani pemindahan buah pinggang suatu hari nanti.
Cik Tie berkata, dia tidak tahu tentang kesan kesihatan suplemen haram pada 1999 kerana akses kepada maklumat sangat terhad.
“Tiada internet ketika itu. Saya tidak tahu kesannya. Saya terus mengambil pil. Saya mahu kurus dan mempunyai kulit yang lebih cerah.
“Tetapi ia datang dengan harga yang mahal,” kata Nor Hariyati, yang berasal dari Kuala Kedah, Kedah.
Cik Tie kini gunakan platform TikTok untuk kongsikan kesedaran awam mengenai ‘produk sampah’ kepada orang ramai. Dia tidak mahu orang ramai turut mengalami nasib yang sama sepertinya.
“Saya ingin memberitahu orang ramai tentang kemudaratan yang disebabkan oleh pengambilan makanan tambahan haram. Saya tidak mahu mereka berakhir seperti saya.
“Beberapa rakan sebaya berhenti mengambil produk makanan tambahan yang tidak diluluskan KKM selepas melihat keadaan saya.
“Baguslah mereka menyedarinya. Saya akan terus mendidik orang lain,” tambahnya.
Cik Tie berkata dia memutuskan untuk menyebarkan kesedaran melalui media sosial kerana dia menyedari bahawa terdapat peningkatan ‘suplemen kesihatan’ yang dijual pada platform online.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!