seismik

5 Mitos Ini Jadi Penyebab Semakin Ramai Ibu Bapa Enggan Beri Vaksin Kepada Anak

Masing-masing lebih percaya kepada mitos daripada fakta.

Cover image via AFP

Artikel ini dikarang oleh Dr. Tabassum Khan, Pengarah Urusan AJ Pharma Holding untuk diterbitkan semula di laman web SAYS atas keizinan.

Dr. Tabassum Khan

Image via AJ Pharma Holding

Ketahui, Bukan Dipengaruhi: Menyanggah Mitos & Menerapkan Kebenaran Berkaitan Vaksinasi

Maklumat tidak tepat berkaitan perubatan yang tersebar luas di Internet dan media sosial telah menimbulkan rasa takut terhadap imunisasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan ibu bapa yang enggan mendapat vaksin untuk anak-anak mereka telah meningkat semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Berdasarkan data dari tahun 2016, pengaruh media sosial dan Internet adalah antara faktor utama penolakan vaksin.

Sempena Minggu Imunisasi Dunia yang menjelang tiba, pihak AJ Biologics Malaysia telah mengambil inisiatif untuk membincangkan isu-isu yang berkait rapat dengan punca penolakan vaksin dan bagaimana untuk mengubah beberapa tanggapan salah yang lazim dalam kalangan masyarakat.

Mitos #1: Vaksin menyebabkan autisme

20 tahun telah berlalu semenjak satu artikel oleh bekas doktor British ternama, Andrew Wakefield, yang mendakwa terdapat kaitan antara vaksin MMR (campak, beguk dan rubella) dan autisme. Dakwaan ini diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet.

Andrew Wakefield

Image via Getty Images

Artikel ini akhirnya ditarik balik atas kesalahan yang serius dalam prosedur serta pelanggaran etika. Wakefield akhirnya kehilangan lesen perubatannya. Walau bagaimanapun, tanggapan salah bahawa vaksin menyebabkan austisme terus dipercayai sehingga hari ini.

Banyak kajian susulan telah dijalankan untuk mengkaji hubungan ini. Namun bukti yang menyokong bahawa vaksin MMR menyebabkan autisme tidak ditemui.

Mitos #2: Pengambilan vaksin serentak menyebabkan limpahan sistem imun

Image via popsci.com

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bukti saintifik menunjukkan pemberian beberapa vaksin secara serentak tidak mempunyai impak negatif ke atas sistem imun kanak-kanak.

Setiap hari, kanak-kanak terdedah kepada beratus-ratus bahan asing yang mampu mencetuskan tindak balas imun. Pada hakikatnya, mereka terdedah kepada banyak antigen asing, atau bahan yang tidak wujud secara semula jadi dalam badan melalui aktiviti-aktiviti biasa seperti makan, minum dan bermain.

Jika dibandingkan, vaksin mengandungi jauh lebih sedikit antigen, maka sistem imun seseorang kanak-kanak tidak akan mengalami limpahan walaupun beberapa vaksin diberikan pada masa serentak, atau dalam tempoh yang singkat.

Mitos #3: Komponen-komponen vaksin bersifat toksik

Ramai pelobi anti-vaksin telah menyampaikan kekhuatiran mereka terhadap penggunaan bahan-bahan kimia seperti merkuri, aluminium, dan formaldehid dalam vaksin.

Memang benar bahan-bahan kimia ini bersifat toksik kepada tubuh manusia pada paras tertentu, tetapi, kuantitinya dalam vaksin adalah sangat sedikit. Lagipun, industri vaksin merupakan industri yang dikawal selia dengan ketat. Semua produk wajib menjalani ujian yang ketat sebelum diluluskan oleh pentadbiran ubat serta pihak-pihak berkuasa perubatan di seluruh dunia.

Tambahan pula, rasa takut terhadap komponen-komponen kimia dalam vaksin adalah tidak wajar kerana kita sebenarnya mengambil lebih merkuri melalui makanan setiap hari. Aluminium juga terdapat dalam udara, makanan serta air.

Oleh itu, adalah penting kita menyedari bahawa setiap bahan yang digunakan dalam vaksin memainkan peranan yang mustahak dalam mengekalkan kestabilan, keselamatan serta keberkesanan produk.

Mitos #4: Imuniti semula jadi adalah lebih baik

Image via klimg.com

Sesetengah ibu bapa lebih menginginkan anak mereka memperoleh imuniti semula jadi melalui jangkitan penyakit kerana ia boleh menggalakkan penghasilan tindak balas imun primer. Ini memberikan imuniti lebih kuat terhadap penyakit.

Walaupun imuniti semula jadi mungkin bertahan lebih lama daripada imuniti yang diberikan oleh vaksin, pendekatan ini mendatangkan kemudaratan yang jauh lebih besar berbanding manfaatnya. Faktor-faktor risiko berkaitan dengan jangkitan pelbagai penyakit ini adalah amat berbahaya, dan merangkumi lumpuh, kerosakan otak yang berkekalan, kegagalan hati, kepekakan, buta, bahkan kematian dalam kes-kes ekstrem.

Image via tv14.my

Misalnya, jangkitan demam campak menyebabkan kematian dalam dua daripada setiap 1,000 kes yang dilaporkan. Sebaliknya, vaksin MMR hanya menyebabkan tindak balas alahan yang serius dalam satu daripada setiap sejuta individu yang diberi vaksin.

Mitos #5: Kebersihan dan sanitasi yang lebih baik mengurangkan penyakit

Image via cloudfront.net

Walaupun sanitasi dan nutrisi yang lebih baik, air bersih, dan keadaan hidup yang lebih sihat telah membantu mengurangkan penyakit secara keseluruhannya, namun banyak penyakit masih boleh merebak tidak kira betapa baik kita menjaga kebersihan. Justeru, vaksin masih diperlukan untuk mencegah pelbagai penyakit berjangkit.

Sebagai contoh, apabila beberapa negara maju seperti Great Britain, Sweden dan Jepun mengurangkan penggunaan vaksin pertusis (batuk kokol) lebih 20 dahulu berdasarkan penurunan kadar penyakit ini, negara-negara ini mengalami paras imuninasi yang jatuh menjunam, sekaligus mengakibatkan peningkatan kadar pertusis di ketiga-tiga negara ini.

Image via kqed.org

Adalah amat penting untuk kita menyedari bahawa, meskipun kebersihan dan sanitasi yang lebih baik telah membendung penyakit-penyakit tertentu daripada merebak, pendekatan terbaik untuk menjamin imuniti kelompok dalam komuniti adalah melalui vaksinasi yang konsisten pada paras yang tinggi untuk semua ahli dalam komuniti.

Pelbagai mitos yang tersebar menerusi golongan anti-vaksin telah menimbulkan ketakutan serta penolakan imunisasi dalam kalangan sesetengah ibu bapa

Sekiranya tidak dibendung, masalah ini mungkin akan mendatangkan kesan-kesan yang lebih buruk daripada keadaan yang sedang kita saksikan hari ini.

Oleh itu, mesej yang jelas lagi tepat adalah sangat penting untuk menyanggah tanggapan-tanggapan yang salah, di samping memastikan kita membuat keputusan berkaitan imunisasi berdasarkan maklumat dan bukannya emosi.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Ini contoh salah satu golongan anti-vaksin:

Ada banyak lagi mitos mengenai vaksin yang ibu bapa tidak perlu percaya. BACA SINI:

You may be interested in: