2 Juta Orang Dijangka Pulang Ke Kampung 2 Hari Sebelum Raya Untuk Nikmati 50% Diskaun Tol
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Rosli Isa berkata, pengguna jalan raya harus merancang perjalanan sebelum pulang ke kampung halaman.
Rakyat Malaysia bakal dimeriahkan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam masa dua hari sahaja lagi. Oleh itu, anda seharusnya sudah mula untuk merancang perjalanan sebelum pulang ke kampung halaman.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Harian Metro, lebih dua juta rakyat Malaysia dijangka akan memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung sekitar dua hari sebelum menjelangnya perayaan Aidilfitri.
Oleh itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Rosli Isa telah menyuarakan supaya pengguna jalan raya lebih bersedia dan merancang terlebih dahulu perjalanan mereka untuk pulang ke kampung bagi mengelak kesesakan teruk.
Beliau juga mengatakan bahawa orang ramai dijangka bakal pulang ke kampung dua hari sebelum Hari Raya untuk menikmati 50% diskaun bayaran tol seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan baru.
Tempoh masa perjalanan juga akan meningkat dua kali ganda pada dua hari sebelum menjelang Hari Raya
Rosli berkata, “Contohnya, tempoh perjalanan ke Taiping, Perak hanya memerlukan masa empat jam pada waktu biasa, namun tempoh masa akan meningkat hingga dua kali ganda iaitu lapan jam untuk ke lokasi berkenaan pada dua hari sebelum raya.
"Bagaimanapun, kami turut menjangkakan lalu lintas mungkin lebih lancar berikutan ada yang sudah balik ke kampung masing-masing memandangkan cuti sekolah bermula minggu lalu."
Rosli juga menasihatkan supaya semua pemandu dapat mengelakkan dari terjebak dengan gejala Microsleep yang menjadi faktor utama peningkatan kemalangan jalan raya
Menurut Rosli, Microsleep biasanya akan berlaku ketika pemanduan di jalan yang lurus atau satu jam selepas pemandu makan. Oleh disebabkan itu, mereka akan mengalami gejala Microsleep ini yang membuatkan mereka tidak sedar antara dua hingga 30 saat dan boleh menyebabkan kecelakaan yang tidak diingini.
"Sekiranya berlaku gejala itu, pemandu atau penunggang dinasihatkan supaya tidak meneruskan pemanduan. Ambil masa untuk berehat atau meminta individu lain memandu bagi mengelak berlaku kemalangan," kata Rosli.
Selain itu, amaran juga turut dikeluarkan untuk pengguna jalan raya supaya lebih mematuhi peraturan lalu lintas untuk mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan atas mana-mana pihak.