Lebih 500 Pendaki Terkandas Di Gunung Rinjani, Tiada Jalan Selamat Untuk Mereka Turun
Gempa bumi kuat yang melanda Pulau Lombok telah membantutkan perjalanan para pendaki untuk turun dengan selamat.
Lebih 500 pendaki terkandas di Gunung Rinjani di Lombok selepas kepulauan itu digegarkan dengan gempa bumi sekuat 6.4 pada Skala Richter semalam, 29 Julai 2018
Sumber makanan dan minuman telah pun dihantar melalui udara untuk para pendaki di sana. Pasukan penyelamat kini sedang berusaha membantu mereka untuk turun dari gunung itu dengan selamat.
Walau bagaimanapun, mereka tidak menemui jalan yang selamat untuk para pendaki turun.
Pasukan penyelamat perlu bertindak pantas kerana bekalan yang dihantar mampu bertahan maksimum dua hari sahaja
"Masih ada kira-kira 560 orang yang terperangkap," kata ketua Taman Nasional Rinjani.
Antara yang terkandas adalah pendaki dari Perancis, Amerika Syarikat, Belanda, Jerman, dan Thailand.
"Untuk bekalan, mereka masih boleh bertahan selama satu hingga dua hari lagi," kata jurucakap pasukan penyelamat, Agus Hendra Sanjaya.
Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban di pulau itu apabila gempa melanda, salah seorang adalah pendaki rakyat Malaysia, Siti Nur Iesmawida Ismail, 30
Ketika kejadian, mangsa dikatakan ke tandas sebelum berlaku gegaran dan rumah berkenaan roboh menghempap mangsa.
Seramai 800 orang telah didaftarkan untuk mendaki pada hari Ahad dan para pegawai berkata kira-kira 300 pendaki telah selamat turun
Bagaimanapun, tiada seorang pun pendaki yang terkandas dilaporkan cedera.
Dalam pada itu, beratus-ratus bangunan dan kediaman telah musnah dan kira-kira 160 orang cedera. Lihat gambar-gambar di bawah:
Semoga semua pendaki yang terkandas dapat turun dengan selamat dalam masa terdekat. #PrayForLombok