Pelajar Maut Dilanggar Lari Oleh Van, Lelaki Datang Pura-Pura Bantu Tetapi Curi Telefon
Ketika mangsa sedang rebah, lelaki itu mencuri telefonnya dan terus lari.
Remaja berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Muhammad Haikal Ahmad telah meninggal dunia selepas dilanggar lari oleh sebuah van di Johor Bahru
Kejadian tragis ini berlaku pada 2 Januari 2018 kira-kira jam 2 petang seperti yang dilaporkan oleh seorang pengguna Facebook, Harry Cyclone di laman JB TRACER: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service Report.
Difahamkan, ketika itu mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya selepas selesai sesi persekolahan.
Malang tidak berbau, mangsa telah dilanggar lari oleh sebuah van yang dikatakan dipandu dengan sangat laju untuk mengejar lampu isyarat merah
Menurut Harry Cyclone, mangsa mengalami pendarahan di kepala yang sangat teruk sebelum meninggal dunia beberapa minit selepas itu.
Tragedi menjadi semakin buruk apabila terdapat seorang lelaki datang dan berpura-pura mencari telefon mangsa untuk "menghubungi ibu bapanya."
Namun, lelaki itu kemudian bertindak mencuri telefon mangsa dan terus lari.
"Kami semua sedang sibuk membantu mangsa apabila lelaki itu secara tiba-tiba datang dan mencari telefon mangsa kononnya untuk menghubungi ibu bapa mangsa. Tetapi dia bertindak mencuri telefon tersebut dan melarikan diri," tulis Harry Cyclone.
Kejadian ini menyebabkan abang mangsa, Zaiful Ahmad gagal menghubungi mangsa untuk mengesahkan bahawa gambar yang diperoleh adalah adiknya
Zaiful dikatakan telah mencuba untuk menghubungi telefon mangsa namun gagal.
Bercakap kepada The Star Online, Zaiful menyuarakan kebimbangan yang dihadapi pada saat itu setelah menerima beberapa keping gambar yang dihantar oleh abang iparnya mengenai kejadian tragis yang menimpa adiknya itu.
Malangnya, orang awam tidak dapat mengejar pencuri telefon berkenaan.
Lebih menyedihkan, mangsa selalunya dihantar ke sekolah oleh bapanya.
Namun pada hari kejadian, mangsa terpaksa membawa motosikal untuk bergegas ke sekolah kerana telah lewat.
"Ayah saya yang selalunya menghantar adik saya ke sekolah, tetapi hari ini, dia bergegas membawa motosikal kerana dia sudah terlambat," kata Zaiful.
Sementara itu, pemandu van berusia 54 tahun telah ditangkap kerana memandu secara berbahaya dan mengakibatkan kematian, kata polis Johor.