Hati-Hati Dengan Doktor Palsu Ini, Habis Melecur Kaki Ayah Saya Direndam Dalam Air Panas
Dikatakan mangsa disuruh untuk merendam kakinya di dalam air panas.
Baru-baru ini, viral di media sosial tentang kaki seorang pesakit kencing manis melecur teruk dikatakan diperdaya oleh rawatan oleh individu yang menyamar sebagai seorang doktor.
Melalui akaun Twitter anak mangsa, Ikhwal, bapanya yang tinggal seorang diri itu diperkenalkan dengan doktor palsu ini oleh rakannya.
Oleh kerana risau kerana tinggal seorang diri, mangsa akhirnya bersetuju untuk mendapatkan khidmat beliau.
Namun, lelaki itu sebenarnya adalah doktor palsu dan telah menyamar menjadi doktor peribadi untuk menjaga mangsa. Beliau juga telah menyuruh mangsa untuk merendam kakinya di dalam air panas.
Paling menyedihkan, Ikhwal menjelaskan bahawa ayahnya yang menghidap penyakit kencing manis itu kini menderita kerana kaki kebas dan kulit kaki rosak teruk. Doktor palsu itu pun melarikan diri sejurus kejadian berlaku.
Kejadian yang terjadi di sekitar kawasan Sungai Buloh dan Rawang itu dikatakan berlaku setelah rakannya mencadangkan doktor palsu itu kepadanya.
Mangsa terus bersetuju kerana memikirkan tiada siapa yang menjaganya di Rawang. Ketika itu, mangsa berseorangan di rumah manakala isterinya berada di Kelantan untuk menjaga anak yang masih bersekolah. Anak-anaknya yang lain pula semuanya sibuk, termasuk Ikhwal yang berada di kampus semasa kejadian.
Setelah doktor itu melarikan diri, rakan mangsa yang lain telah menghantar beliau ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.