seismik

Apa Tentang Hukum Hudud Yang Perlu Saya Tahu Sebagai Seorang Islam?

Adakah ia hukuman yang kejam seperti yang disangka?

Cover image via therakyatpost.com

Kelantan akan melaksanakan Hudud pada tahun ini. Tetapi, sejauh mana anda faham tentang hukum Hudud?

Apabila menyebut tentang hudud, ada beberapa perkara yang perlu kita fahami seperti apa itu hudud dan apa kedudukan hudud di dalam syariat Islam.

Ramai yang faham hudud sebagai hukuman potong tangan, rejam orang sampai mati, pancung, sebat dengan rotan dan salibkan seperti dalam peristiwa al-hirabah

Walau bagaimanapun, ramai yang masih lagi tidak faham apa sebenar hudud sama ada orang Islam mahupun orang bukan Islam.

Jadi, apakah itu hukum Hudud? Adakah ia hukuman yang kejam seperti yang disangka?

Image via The Rakyat Post

Para ulama menerangkan hudud sebagai “Satu hukuman yang muqaddar (telah ditentukan seperti kaedah pelaksanaan, jumlah, dan lain-lain) di sisi syarak, ke atas sesuatu maksiat yang dilakukan, tertumpu kepada perkara yang membabitkan hak Allah.

Hudud mengikut Islam adalah hukuman yang menghukum pesalah di dunia bagi meringankan hukuman di akhirat. Bagi yang fikir bahawa hukuman hudud itu kejam perlu memahami bahawa dalam Al-Quran itu sendiri telah menerangkan yang hukuman menanti di akhirat itu lebih perit dari hukuman yang dilaksanakan di dunia.

Tetapi secara logiknya, bukankah sesuatu barang yang dicuri itu boleh dikembalikan semula kepada tuannya? Jadi kenapa perlunya hukuman seperti hudud?

Jika hudud diaplikasikan, hukuman tetap mesti dilaksanakan dan ianya tidak boleh dimaafkan. Apabila laporan suatu jenayah sampai kepada pemerintah, pemerintah wajib melaksanakan hukuman tersebut.

Sabda Rasullah s.a.w:

Saling memaafkanlah di antara kalian, namun jika urusannya telah diangkat kepada pemerintah maka Allah melaknat orang yang memberi syafaat (menyelesaikan tanpa melaksanakan hukuman) dan yang diberi kemaafan.” (Riwayat An-Nasa: no. 4885)

Apakah jenayah-jenayah dan hukuman-hukuman hudud?

1. Hukuman bagi penzina

Hukuman bagi penzina terbahagi kepada dua iaitu:

a) Orang yang belum berkahwin
b) Orang yang telah berkahwin

Bagi penzina yang bujang, hukumannya adalah seratus kali sebatan manakala bagi penzina yang telah berkahwin, hukuman berzina adalah rejam.

Ramai ilmuwan kontemporari yang mereka melihat agak kurang sesuai hukum rejam dilaksanakan pada ketika ini dan mereka menggantikan rejam kepada hukuman ta’zir (seperti hukuman penjara). Alasan yang digunakan untuk menggantikan rejam dengan ta'zir adalah seperti iman orang pada hari ini tidak kuat, tidak mampu membaling batu dengan cepat sampai mati.

Mahupun begitu, hukuman hudud adalah ketetapan Allah s.w.t dan tidak boleh diubah.

Apakah syarat-syarat yang perlu ada ketika menjatuhkan hukuman zina?

a) Orang yang membuat pengakuan itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Pengakuannya tidak sah jika gila, mabuk dan sebagainya.
b) Iqrar (pengakuan) hendaklah dilakukan dengan pilihan sendiri, tanpa dipaksa.
c) Iqrar dilakukan secara lisan dan bukan dalam bentuk tulisan, pita rakaman dan sebagainya.
d) Iqrar hendaklah dilakukan berulangkali dalam perkara zina dan liwat, iaitu sebanyak empat kali, dalam majlis yang berasingan.
e) Iqrar itu dilakukan di hadapan hakim. Hakim pula perlu menunjukkan sikap tidak senang supaya orang yang beriqrar itu tidak mengulangi iqrarnya. Dalam perkara ini, bertaubat lebih baik daripada menyerah diri secara iqrar di hadapan pihak yang berkenaan.

Bagaimana pula dengan syarat-syarat menjadi saksi?

a) Seorang baligh dan berakal.
b) Saksi mestilah seorang Islam.
c) Sihat tubuh badan dan sempurna pancaindera.
d) Seorang yang adil dan tidak melakukan dosa-dosa besar
e) Hudud bagi zina dan liwat, saksi mestilah lelaki. Saksi wanita tidak diterima.
f) Seseorang yang tidak mendapat manfaat dari menjadi seorang saksi seperti saksi yang ada kaitan dengan konspirasi politik dan sebagainya.
g) Mestilah cukup 4 orang saksi dan menjadi saksi pada persidangan yang sama.

2. Hukuman bagi pencuri atau perompak

Hukuman mencuri, meragut mahupun merompak, hukumannya adalah dibunuh, disalib, dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilang atau dibuang dari negeri. Hukuman sedemikian adalah kerana jenayah merompak boleh membawa kepada kematian.

Pada zaman sekarang, seperti di Malaysia sendiri, ramai orang sering mengambil tindakan sendiri apabila menghukum penjenayah seperti kes orang ramai membelasah pesalah.

Islam tidak mengajar umatnya untuk menjadi kejam. Islam mengajar kita untuk menjatuhkan hukuman dengan cara terhormat dan bukan dengan cara menghina. Hukum dari segi Syariah adalah untuk menginsafkan manusia dan bukan sekadar menakutkan orang ramai.

Orang yang mencuri haruslah terus ditangkap dan tangannya perlu dipotong pada keesokan harinya. Tetapi, perlu dilihat barang apa yang dicuri. Kalau dia mencuri kereta BMW, tidak akan dipotong tangannya sebab kereta BMW tersebut bukan disimpan dalam almari. Kereta itu diletakkan di luar rumah, tidak kira ia dikunci atau tidak. Barang yang tersimpan rapi di dalam almari atau peti besi itulah yang dikira sebagai hukuman dipotong tangan.

Cara hukuman hudud dilakukan jika didapati bersalah adalah dengan melaksanakan bacaan ayat Al-Quran tentang hudud, diperdengarkan kepada manusia tentang kesalahan pelakunya yang melanggar perintah Allah SWT dan Allah berkehendak agar dilaksanakan hukuman ini. Dan setelah hukuman dilaksanakan didoakan semoga Allah mengampunkan dosanya.

3. Hukuman bagi yang minum arak

Image via Royal Design

Hukuman hudud pada zaman Rasullah s.a.w adalah 40 sebatan. Pada zaman Umar r.a. pula, beliau menambah lagi 40 sebatan maka ia menjadi 80 sebatan.

Hadis Nabi s.a.w, baginda bersabda yang maksudnya:

Sesiapa meminum arak maka pukullah dia, kemudian jika dia meminumnya lagi maka pukullah dia, kemudian jika dia meminumnya lagi, pukullah dia lagi, kemudian jika dia meminumnya lagi maka bunuhlah dia.

Ini kerana tidak ada manfaat lagi hidupnya (pesalah) di muka bumi. Oleh kerana itu, Umar bin Al-Khatthab r.a. berijtihad bahawasanya jika seseorang itu tidak mendengar, masih meminum arak, maka dinaikkan sedikit kadar sebatan. Asal kadar sebatan hudud yang ditetapkan adalah 40 kali sebatan. Lebih daripada 40 sebatan itu kembali kepada pemerintah di mana ia dipanggil hukum ta’zir.

4. Hukum Qadzaf iaitu menuduh seorang muslim yang lain berzina

Image via Vhijabe

Firman Allah s.w.t:

Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang suci (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang-orang saksi, maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan, dan janganlah kamu terima kesaksian yang mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah An-Nur: 4)

Setiap hukum Hudud perlu dilihat pada saksi dan banyak lagi perkara yang dibahaskan oleh para ulama.

Antaranya, jika tiada saksi tetapi ada qarinah (bukti lisan), adakah dijatuhkan hukum hudud ataupun ta’zir? Ada yang mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan kerana hudud mempunyai ketetapan maka hukum berpindah kepada ta’zir.

Inilah cara Islam. Ramai yang salah faham iaitu fikir apabila ditangkap sahaja pesalah mencuri contohnya, terus dipotong tangannya.

Namun begitu, mengikut Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, ada beberapa perkara tentang Hudud yang tidak sesuai dilaksanakan pada zaman moden

Image via mynewshub

Hukum Syariah adalah sah di mana-mana sahaja dan sampai bila-bila. Walau bagaimanapun, untuk melaksanakan Syariah, ijtihad (keputusan mengikut pertimbangan) oleh ulama yang berilmu perlulah diambil kira dalam keadaan sekarang.

Bagaimana jika pesalah itu tidak berkemampuan?

Rasullah menjadikan hukum islam iaitu solat, zakat bagi yang berkemampuan. Ia bertujuan untuk kesejahteraan manusia dan menjaga hak manusia walau apa pun. Contohnya, kalau seseorang itu mencuri, macam mana pula kalau dia tidak bekerja, lapar, sakit, anak yatim, dan merupakan gelandangan? Islam perlu didahulukan sebelum hudud boleh dilaksanakan.

Contoh hukum hudud bagi mencuri, sekiranya seseorang itu mencuri kerana lapar, hakim akan memanggil ketua kampung untuk bertanya mengapa dibiarkan penduduknya dalam keadaan kelaparan. Jika didapati bersalah, ketua kampung dan seluruh penduduk kampung akan didenda.

Masalah hudud untuk dilaksanakan bukanlah bagaimana untuk dikendalikan tetapi cara manusia melaksanakannya iaitu melaksanakan hudud dengan cara yang salah. Rasulullah telah menyediakan umat Islam zaman moden untuk hudud.

Kesimpulannya, hukum hudud adalah untuk menjaga kesejahteraan masyarakat dan pengendaliannya adalah teratur

Segala hukuman bagi hudud akan berbalik kepada bagaimana setimpalnya hukuman ke atas seseorang itu dengan kesalahan yang telah dilakukan.

Sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan dengan hukuman yang telah ditetapkan, pihak berkuasa perlulah mencari hukuman yang ringan sebelum melakukan hudud.

Oleh itu, Islam bukanlah untuk menghukum manusia. Menghukum adalah jika berlakunya kekejaman, atau rasuah iaitu hanya berlaku sebahagian daripada masyarakat.

Baca lebih lanjut tentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan:

You may be interested in: