"Apa You Buat Ni?" - Wanita Kongsi Kisah Ngeri Diraba Ketika Tidur Dalam Perjalanan Bas
Balik-balik kenderaan awam jadi tempat, bahaya betul!
Perjalanan pulang ke kampung menjadi mimpi ngeri buat gadis berusia 21 tahun ini apabila seorang pemuda mencabulnya dalam perjalanan bas
Sudah menjadi rutin buat gadis yang dikenali dengan nama Xin Yan ini untuk pulang ke kampung halamannya setiap hari minggu. Menurutnya, insiden ini berlaku ketika beliau sedang berada dalam perjalanan ke Batu Pahat dari Singapura pada petang Ahad yang lalu.
Xin Yan bekerja di Singapura dan selalu akan mengambil bas untuk pulang ke kampungnya di Johor
Mengambil bas dari stesen bas di Larkin, Xin Yan tidak menyangka perjalanannya kali ini akan berubah menjadi peristiwa yang paling pahit baginya.
Ketika berada di dalam bas itu, beliau dapat merasakan seperti ada orang yang menghulur tangan dan menyentuh pinggangnya. Beliau juga merasakan tangan itu seperti meraba-raba pehanya dari tempat duduk belakang.
"Saya terus menoleh ke belakang dan lelaki itu cepat-cepat memusingkan kepalanya memandang tingkap," kata Xin Yan.
Tanpa membuang masa, Xin Yan terus mengeluarkan telefon bimbitnya dan mengambil gambar pemuda itu
Tidak lama selepas itu, Xin Yan terlelap dan tiba-tiba dapat merasakan seperti ada tangan yang menyentuh dadanya.
“Saya terus membuka mata dan amat terkejut apabila melihat pemuda yang duduk di belakang saya sebelum itu kini duduk di sebelah saya.
“Apabila pemuda itu perasan saya sudah pun terjaga, dia terus bangun dan bergegas ke tempat duduk asalnya. Saya berdiri dan terus menjerit kepadanya, ‘Apa you buat ni?’ tetapi dia terus menoleh ke luar tingkap dan berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku,” luah Xin Yan.
Xin Yan segera memberitahu pemandu bas mengenai kejadian itu dan memastikan pemandu bas tidak membenarkan pemuda itu turun dan keluar dari bas. Namun, pemuda itu sempat cuba untuk melarikan diri dan cuba untuk turun di perhentian bas Ayer Hitam tetapi telah ditahan oleh penumpang lain.
Walau bagaimanapun, apabila ramai penumpang turun di perhentian bas Parit Raja, pemuda itu sempat melarikan diri menggunakan pintu kecemasan bas.
Namun dengan pertolongan dari orang ramai, mereka berjaya menangkap pemuda tersebut
Apabila pemuda itu melarikan diri, ramai penumpang yang turun di perhentian itu mengejarnya dan membawanya ke Balai Polis Parit Raja.
Xin Yan sudah pun membuat laporan dan berkongsi peristiwa pahit ini di laman Facebook, beliau sangat berterima kasih dengan pertolongan orang ramai dan mengharapkan bahawa kisah ini akan diambil sebagai pengajaran buat gadis di luar sana yang gemar menggunakan kenderaan awam.
Beliau juga menasihati bahawa gadis perlulah lebih berhati-hati dan harus beranikan diri untuk melawan semula. Jangan mendiamkan diri apabila berhadapan dengan keadaan sebegini.
"Jika anda melalui perkara yang sama seperti saya, jangan takut untuk bertindak. Orang ramai pasti akan membantu anda, jangan risau dan kuatkan semangat untuk melawan pencabul itu," nasihat Xin Yan lagi.