Bayi 10 Bulan Meninggal Dunia Dalam Buai Elektrik Di Rumah Ketika Ditinggalkan Sendirian
Kejadian tersebut telah berlaku di Kampung Bangkahulu, Gemas, Tampin hari ini, kira-kira jam 11:35 pagi.
Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan telah terkorban hari ini dalam sebuah kebakaran di rumahnya yang terletak di Kampung Bangkahulu, Gemas, Tampin, awal pagi tadi
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Harian Metro, bayi berkenaan, Siti Nur Aini Zulimi, 10 bulan, pada mulanya diletakkan di dalam buai elektrik sebelum ditinggalkan sendirian oleh ibunya sebelum wanita itu pergi ke Pejabat Pos Gemas kira-kira jam 10:30 pagi.
Ibu mangsa dipercayai telah meminta bantuan jirannya bagi menjenguk bayi berkenaan jika dia menangis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal berkata, ibu mangsa menerima panggilan dari jiran yang memberitahu bahawa rumahnya terbakar
Setelah itu, ibu mangsa bergegas pulang ke rumah dan mendapati bahawa anak perempuannya sudah maut dalam kebakaran itu. Ketika kejadian, bapa mangsa dikatakan sedang bertugas di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemas, Mohd Farid Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.38 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Tambahan lagi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal yang terbakar 60 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan.