seismik

Pesakit Termuda Koronavirus, Bayi Baru Lahir 30 Jam Disahkan Positif Di China

Ia secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan bahawa novel koronavirus boleh berjangkit kepada bayi meskipun ketika dalam rahim.

Cover image via News Vire

Penularan wabak koronavirus semakin mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat seluruh dunia lebih-lebih lagi selepas angka kematian dilihat meningkat khususnya di China

Sejak penularan wabak itu, kebanyakan kes yang didapati positif koronavirus sering melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa. 

Namun mungkin masih ramai yang tidak menyangka bahawa wabak itu juga mampu menjangkiti bayi.

Apa yang mengejutkan, terbaru di China, seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan dan hanya berusia 30 jam telah disahkan positif wabak koronavirus

Menerusi portal Sinar Harian yang memetik laporan CCTV dari China, ia memaklumkan bahawa dua bayi di Wuhan telah disahkan positif wabak itu dengan mangsa yang paling muda adalah berusia 30 jam. Kes terbaru ini sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa wabak itu boleh berjangkit ketika bayi di dalam rahim.

Menurut laporan itu, ibu bayi tersebut merupakan mangsa yang juga disahkan dijangkiti koronavirus dan buat masa ini tanda vital bayi itu adalah stabil.


Image via Hello Doktor

CCTV yang memetik laporan pakar berkata, ia mungkin kes "penyebaran menegak", berdasarkan kepada jangkitan yang disebarkan dari ibu kepada anak semasa hamil, bersalin atau serta merta selepas itu.

Sementara itu Dr. Zeng Lingkong yang merupakan doktor kanan jabatan neonatal Hospital Kanak-kanak Wuhan berkata, kes tersebut memberi isyarat bahawa semua pihak harus prihatin dengan kemungkinan laluan penyebaran baharu koronavirus.

"Wanita hamil perlu menjauhi pesakit yang dijangkiti," katanya.

Diharapkan agar semua lebih berjaga-jaga dan menjaga kebersihan diri masing-masing selepas ini bagi memastikan kita dan juga orang sekeliling tidak dijangkiti wabak koronavirus.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Ingin tahu lebih banyak mengenai koronavirus, baca artikel di bawah:

You may be interested in: