Pertama Di Malaysia, Budak 4 Tahun Warga China Sembuh Wabak Koronavirus
Wabak koronavirus boleh dirawat. Jangan salah anggap kononnya sesiapa yang dijangkiti virus ini pasti akan maut.
Berita baik untuk Malaysia. Seorang pesakit koronavirus dilapor sudah sembuh di Langkawi.
Pada 29 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mengenai kes seorang kanak-kanak perempuan warganegara China yang didapati positif wabak koronavirus dan dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah.
Terbaru Berita Harian melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun itu kini sudah pulih dan bebas sepenuhnya daripada wabak tersebut.
Ia adalah kes pertama membabitkan individu yang didapati positif koronavirus namun pulih sepenuhnya daripada wabak itu di negara ini
Menurut Noor Hisham, sampel klinikal kanak-kanak itu sudah diambil sebanyak dua kali
berturut-turut sejak dia dikesan positif 2019-nCoV sebelum mangsa disahkan negatif sepenuhnya daripada wabak itu.
Justeru katanya, ia membuktikan bahawa jangkitan wabak yang dianggap pasti membawa maut itu adalah tidap tepat bahkan ia boleh dirawat dan kembali pulih sepenuhnya sepertimana beberapa kes yang dilaporkan di China sebelum ini.
"Tanggapan ramai bahawa penyakit ini pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat.
“KKM ingin mengucapkan tahniah kepada Hospital Sultanah Maliha Langkawi yang telah memberikan rawatan dan pemantauan yang rapi sehingga kanak-kanak ini sihat semula dan dibenarkan pulang,” katanya.
Dalam pada itu, sebuah hospital sementara bagi menempatkan pesakit koronavirus telah mula beroperasi semalam di Wuhan, China
China telah membuka Hospital Huoshenshan sejak semalam, 4 Februari 2020 bagi merawat pesakit yang dijangkiti wabak itu di Wuhan.
Hospital yang dibina dalam tempoh dua minggu sejak penularan wabak itu menyediakan kemudahan kesihatan dengan kapasiti sebanyak 1,000 katil.
Sehingga kini, jumlah angka kematian akibat wabak itu di China berjumlah 425 orang, selain masing-masing seorang di Filipina dan juga Hong Kong.