Belanja RM4 Juta, Kutip RM37,000. Kenapa Filem Oh! LaLa Gagal Teruk?
Filem Oh! LaLa ni filem apa sebenarnya?
"Oh! LaLa? Cerita apa tu? Tak pernah dengar pun."
Kemungkinan, inilah soalan yang berada di dalam benak fikiran ramai orang sebaik sahaja nama filem Oh! LaLa disebut. Bukan setakat tidak popular, malah orang ramai memang tak pernah dengar langsung tajuk filem ini.
1. Oh! LaLa merupakan karya penerbit dan pengarah Datuk Abdul Rahman Sallehudin. Beliau yang memiliki 30 tahun pengalaman dalam industri animasi berhasrat untuk menghasilkan satu karya tempatan yang hebat.
"Saya banyak menonton filem-filem animasi dari luar negara, antaranya Show White, Toy Story dan Brave. Walaupun diterbitkan dalam bentuk animasi, namun ia sangat menarik."
"Saya turut merantau untuk menonton filem animasi dunia dan dari situ saya mula membuat perbandingan. Mengapa kita tidak boleh menghasilkan sesuatu yang hebat seperti itu? kata Datuk Abdul Rahman.
2. Ia adalah filem animasi bertemakan muzikal yang pertama di Malaysia
"Setelah membuat kajian, saya mendapati rakyat Malaysia menyukai muzik dan sukan. Jadi, saya memilih muzik untuk diterjemahkan menerusi, Oh La La," katanya.
sinarharian.com.my3. Menggunakan sepenuh tenaga kerja daripada anak-anak muda tempatan, yang terdiri daripada bekas-bekas pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk ASWARA, MMU, dan UPSI
"Untuk pelakon suara, saya mengadakan uji bakat peringkat demi peringkat untuk proses pemilihan. Dalam uji bakat berkenaan, saya dapati ramai dalam kalangan anak muda yang berbakat namun, kurang diberikan peluang."
"Kami memilih anak muda yang betul-betul berbakat dan mempunyai kebolehan untuk menyanyi serta berlakon. Malah, ada di kalangan pekerja tetap kami yang mempunyai latar belakang dalam bidang lakonan, nyanyian dan muzik yang menyertai pembikinan filem ini," katanya lagi.
4. Proses lakon suara mengambil masa selama enam bulan, dan keseluruhan masa yang diambil untuk menyiapkan filem ini dari segi skrip, idea, dan suntingan adalah dua tahun
5. Menelan kos produksi RM4 juta, dan mendapat kerjasama daripada FINAS dan turut mendapat bantuan dana kerajaan menerusi geran daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia
"Kami mendapat dana kerajaan sebanyak RM2 juta dan selebihnya adalah dana sendiri. Sejujurnya, kos penghasilan filem animasi adalah melebihi filem biasa."
"Namun, jika dinilai dari segi kos produksi untuk menghasilkan filem animasi, ia memerlukan kos yang lebih besar. Sebagai contoh penghasilan filem animasi luar negara, mereka membelanjakan sehingga RM400 juta (USD)."
"Kita agak terikat dengan kos produksi namun itu bukanlah halangan untuk menghasilkan filem yang kurang berkualiti. Kita akan tetap memastikan ianya setanding dengan filem luar," jelasnya lagi.
6. Filem ini bakal diterbangkan ke persada dunia termasuk Spain, Istanbul, Australia dan akan melalui promosi di Pasaran TV dan Filem di MIPCOM, Cannes, Perancis pada Oktober 2015 nanti
"Insya-ALLAH, selepas ini Oh! LaLa akan diperluaskan ke beberapa negara luar termasuk Spain, Istanbul dan Australia. Sebagai persediaan, kami telah menyediakan terjemahan suara dalam Bahasa Inggeris untuk pasaran dunia."
"Sekiranya pasaran itu diperluaskan, kami akan menyediakan proses alih suara kerana ada beberapa negara yang tidak begitu 'dekat' dengan Bahasa Inggeris."
"Saya berharap, percaturan pertama saya dalam bidang perfileman ini diterima ramai. Sokongan daripada masyarakat kita adalah amat diharapkan," ujar beliau.
Malangnya, walaupun menelan kos sebanyak RM4 juta, filem ini hanya berjaya mengutip RM37 ribu sahaja selepas dua minggu tayangan di pawagam, satu angka yang boleh buat kita facepalm
"Eh? Ada tayang kat wayang? Wayang mana yang ambil?"
Untuk makluman, filem ini ditayangkan di 47 buah pawagam di seluruh negara. Apa yang menyedihkan ialah secara purata, hanya 6 orang sahaja yang menonton filem ini setiap hari di setiap pawagam.
1. Trailer yang kurang menarik, tidak memberangsangkan, dan di takuk lama
Melihatkan pada trailer filem ini, ia nampak seperti tiada daya tarikan atau x-factor. Walaupun berdurasi selama hanya 2 minit, ada juga yang tidak sanggup untuk menghabiskannya.
2. Kualiti animasi yang rendah dan tidak setara dengan tahun 2015
Jika dibandingkan dengan dua animasi popular dan paling berjaya tempatan, Upin Ipin dan juga BoboiBoy, kualiti filem ini harus diakui amat jauh bezanya. Jadi, tidak hairanlah filem ini tidak mendapat sambutan.
3. Promosi yang sangat lemah seakan-akan tiada
Sememangnya, ramai yang tidak tahu langsung tentang kewujudan filem ini. Yang peliknya, kos RM4 juta itu takkan langsung tak digunakan untuk promosi? Kalau orang tak tahu memang orang tak akan tengok.
4. Bajet disalah guna dan mungkin berlaku pembaziran di mana-mana
Kalau diikutkan, dana RM4 juta itu sudah cukup besar untuk menghasilkan satu filem animasi yang baik. Buktinya? Produksi Boboiboy hanya menelan kos sebanyak RM2.6 juta untuk menghasilkan 30 episod iaitu bersamaan 330 minit atau 5 jam setengah bagi satu musim.
Selain itu, filem animasi sensasi Geng: Pengembaraan Bermula juga menelan kos sebanyak RM4.7 juta. Lihat saja pada hasilnya. Sangat menarik dan menghiburkan. Kutipan di pawagam juga amat memberangsangkan.
Jadi, untuk filem berdurasi 1 jam setengah seperti ini, takkan dana RM4 juta itu tak cukup lagi?
Persoalannya, kenapa kualiti filem ini begitu teruk walaupun menelan kos sebanyak RM4 juta?
Adakah disebabkan amalan kronisme? Kita sendiri tidak tahu. Melalui ruangan komen di Facebook Amanz Network, ramai yang menjadikan ini sebagai sebab utama.
Lebih menarik, seorang netizen memberitahu yang sebenarnya, bajet yang disediakan oleh FINAS adalah RM26 juta! Kami bagaimanapun kurang pasti sama ada betul atau tidak.
Dalam pada itu, jika dilihatkan pada sejarah, filem animasi tempatan memang kurang mendapat sambutan. Kebanyakannya membawa pulang kutipan yang sangat sedikit jika dibandingkan dengan harga kos. Di mana silapnya?